suria

Campak barang secara ganas, tidak menyenangkan... J&T akui silap - “Maaf kami telah menjejaskan barang-barang rakyat Malaysia”

Video permohonan maaf yang dikongsi di Facebook rasmi J&T Express pada Ahad.

VIDEO tular di media sosial memaparkan petugas syarikat penghantaran barangan J&T Express yang mencampak barang pelanggan ternyata menimbulkan kekecohan netizen.

Susulan kejadian itu, tujuh pekerja syarikat itu tampil membuat permohonan maaf atas apa yang berlaku menerusi Facebook J&T Express Malaysia - Perak, Ahad malam.

"Kepada pelanggan yang dihormati, para pekerja J&T Express Perak ingin meminta maaf atas perangai pekerja dalam mengagihkan bungkusan dengan secara ganas dan sebarang keadaan yang tidak menyenangkan.

"Pihak J&T Express akan menyediakan lebih banyak latihan kepada pekerja kami untuk meningkatkan mutu perkhidmatan. Di samping itu, pihak J&T Express ingin menjelaskan perkara tentang pekerja J&T mogok dan tentang komisen adalah tidak benar.

"Segala perkara yang berlaku adalah satu salah faham semata-mata. Sekali lagi, J&T Express ingin meminta maaf atas kejadian yang tidak diingini. Pihak J&T Express akan sedaya upaya meningkatkan mutu perkhidmatan kami," ujar pengendali Facebook itu.

Malah, satu video permohonan maaf melibatkan tujuh kakitangan itu turut dimuat naik di Facebook.

"Kami ingin memohon maaf dan ingin menjelaskan bahawa tiada isu dalaman ataupun pemotongan gaji dalam kalangan pekerja J&T Express Perak.

"Kami ingin menjelaskan bahawa kami tidak ada melakukan tindakan mogok.



Paparan skrin video tular yang menimbulkan kemarahan ramai.

"Kami sekali lagi memohon maaf kerana telah menjejaskan nama syarikat dan menjejaskan barang-barang rakyat Malaysia," ujar pekerja dalam video itu.

Menerusi satu lagi kenyataan media, mereka turut menyertakan surat terbuka yang memberi penjelasan mengenai isu pemotongan gaji kakitangan yang menyebabkan tercetusnya video tular itu.

Menurut J&T, ia berlaku kerana ada yang kurang jelas dengan sistem pengagihan bonus dalam kalangan pegawai jabatan sehingga berlakunya pengagihan bungkusan secara ganas pada 4 Februari lalu.

"J&T sudah memberikan pembayaran pekerja akhir tahun selepas membuat pertimbangan komprehensif, bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang bonus serta undang-undang perburuhan.

"Bonus penuh dibayar kepada pekerja yang bekerja selama tempoh satu tahun dan ia (bonus) dibayar mengikut tempoh masa pekerja yang bekerja kurang dari satu tahun," ujar kenyataan itu lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain