suria

Wajahnya sering buat pengikut di TikTok keliru,tapi masih ramai berminat nak dalami ilmu daripada jejaka Arab-Malaysia ini

Sadiq banyak berkongsi ilmu bahasa Inggeris dan video motivasi menerusi TikTok.

SELAIN video berunsur hiburan, aplikasi TikTok kini menjadi medan perkongsian ilmu dalam kalangan penggunanya.

Tidak ketinggalan, seorang jejaka berketurunan Arab turut mencuri perhatian ramai apabila sering berkongsi tip bahasa Inggeris dan video motivasi menerusi aplikasi berkenaan.

Menurut Syed Umar Sadiq Syed Ab Rahman, 24, yang menetap di Johor, dia gembira apabila video dihasilkannya mampu memberi manfaat kepada mereka yang menontonnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Disangka berdarah kacukan gara-gara video TikTok, jejaka akui ada yang terkejut dia boleh cakap loghat Kelantan - “Orang pelik saya ada accent?”

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih TikTok platform berdakwah... gadis berpurdah seawal usia 14 tahun hampir menangis saat terima mesej individu luah hasrat berhijrah

“Saya merupakan pelajar bidang bahasa Inggeris untuk Komunikasi Antarabangsa. Saya juga memang minat bahasa Inggeris sejak kecil lagi.

“Jadi bila dah besar dan belajar mengenai bahasa itu, saya rasa lagi faham. Pada masa sama, saya rasa seronok dan berkongsi ilmu.

“Selain content bahasa Inggeris, saya juga suka bagi motivasi di TikTok," ujarnya kepada mStar.

Sadiq merupakan penuntut bidang bahasa Inggeris untuk Komunikasi Antarabangsa.

Mesra disapa Sadiq, jejaka itu turut berdepan pelbagai pertanyaan orang ramai yang keliru mengenai status dirinya di aplikasi itu.

Jelas Sadiq, biarpun dia dilahirkan di United Kingdom (UK) dan ibu bapanya berketurunan Arab, namun mereka merupakan warganegara Malaysia.

“Saya lahir di UK tapi ibu bapa saya memang orang Malaysia walaupun mereka berketurunan Arab. Sebab keluarga saya sudah lama datang Malaysia sejak dulu.

Pada saya rupa ni subjektif. Mungkin menarik bagi orang lain, tak menarik pula ada invididu lain.

SADIQ

“Tapi ramai yang keliru. Saya balik ke Malaysia sewaktu berumur tiga atau empat tahun. Saya memang dibesarkan dan bersekolah di Malaysia.

“Tapi ramai juga yang keliru dan tak sangka saya boleh cakap bahasa Melayu. Antara komen paling banyak saya dapat, mereka ingat yang saya ni mat salih.

“Tapi saya hanya rasa terhibur dengan komen-komen itu. Saya anggap sebagai jenaka sahaja," ujarnya.

Menurut Sadiq lagi, dia juga boleh bertutur dalam tujuh bahasa.

Sadiq boleh berkomunikasi dalam tujuh bahasa.

Selain bahasa Melayu, Inggeris dan Arab, dia juga boleh bertutur dalam bahasa Perancis, Jepun, Indonesia dan Mandarin.

“Saya boleh faham bahasa Arab, tapi tak lancar. Paling fasih bahasa Melayu dan Inggeris.

“Sejak kecil lagi saya minat dan belajar sikit-sikit. Bila dah masuk universiti, baru saya belajar betul-betul.

“Kelebihannya, selain belajar bahasa, kita dapat pelajari budaya mereka. Ia akan membuka lagi minda kita," ujarnya.

Malah kata Sadiq, dia gembira apabila kerajinannya berkongsi ilmu bahasa di TikTok turut disambut baik oleh pengikutnya.

Tamhahnya lagi, dia bersyukur apabila rata-rata komen yang ditinggalkan bersifat positif dan baik sahaja.

Sadiq bersyukur dengan penerimaan positif yang diterimanya di TikTok.

Namun dedahnya, dia juga tidak ketinggalan menerima komen usikan mengenai rupa parasnya.

“Pada saya rupa ni subjektif. Mungkin menarik bagi orang lain, tak menarik pula ada invididu lain. Saya rasa saya biasa je. Yang penting saya mahu fokus untuk beri content ilmiah.

“Tapi saya rasa terkejut juga sebenarnya. Saya buat suka-suka, Alhamdulillah ia dapat membantu orang ramai untuk lebih mengenali bahasa Inggeris," ujar Sadiq.

Bercerita mengenai dirinya, Sadiq yang juga penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Pagoh turut memendam hasrat bergelar sebagai pengacara suatu masa nanti.

Sehingga kini, Sadiq memiliki lebih 171,000 pengikut di aplikasi itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain