SELAIN busana nikah dan pelamin untuk bersanding, kek juga menjadi elemen penting dalam majlis pada hari bahagia. Di Manjoi, Perak, seorang pengantin lelaki mencuri perhatian ramai kerana menghasilkan sendiri kek berbentuk tepak untuk dipersembahkan kepada isterinya. Menurut Muhammad Amin Kamarul Bahar, kek itu dihasilkannya sendiri pada malam sebelum dia dinikahkan dengan wanita pilihan hati yang juga rakan sekolahnya, Nor Liana Asraf pada 13 Mac lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin lelaki gagal tahan air mata ketika sebut ‘aku terima nikahnya’, rakan MRSM sejak Form 2 sah jadi isteri - “Banyak kami dah lalui bersama” ARTIKEL BERKAITAN: Pilih kek, tinggalkan pesakit! Lelaki ini kagum dengan diri sendiri selepas lebih 6 tahun belajar di Rusia, tidak lagi bergelar doktor "Saya buat kek itu pada malam sebelum saya akad nikah. Petang saya dah bakar kek, malam pula saya buat dekorasi pada kek. "Selain itu, saya juga buat sendiri kek untuk doorgift kepada tetamu. Sampai 3.30 pagi baru saya tidur. Esoknya akad nikah pukul 10 pagi. "Bersengkang mata, memang lebam mata saya masa nikah," ujarnya berseloroh. Antara kek yang pernah dihasilkan Amin. Mesra disapa Amin, graduan Ijazah Seni Halus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu mendedahkan dia mula meminati bidang penghasilan kek selepas mendapat inspirasi daripada sebuah rancangan masakan di televisyen beberapa tahun lalu. Malah, minat itu turut didorang oleh ibunya, Norehan Mohd Salleh yang pernah mengusahakan kedai barangan hantaran dan turut berkebolehan dalam penghasilan kek serta pastri. "Saya ada tengok satu rancangan tv mengenai orang buat kek. Saya rasa macam nak cuba. Jadi saya bekerja di sebuah kedai kek dekat dengan rumah selepas habis belajar pada tahun 2019. Terkejut bila viral, sebab kita orang biasa-biasa je. Saya juga bersyukur dengan doa yang dititipkan orang ramai. AMIN "Sebulan bekerja, saya pelajari teknik-teknik asas. Kemudian mak bagi modal sikit untuk berniaga kek di kedai lama mak. "Pada waktu itu saya jual kek kecil-kecil je. Kemudian saya tambah kemahiran dengan belajar di YouTube dan berguru dengan mak sendiri. "Masa belajar pun saya ambil pengkhususan dalam bidang Arca. Jadi saya ada kemahiran untuk membentuk fondant. Dari kecil pun selalu bermain plastesin. Amin bersama isterinya. "Sebelum ini, saya juga buat kek di rumah. Sekarang saya ada sebuah baking studio di Manjoi. Kedai kecil je, InsyaAllah ada perancangan untuk besarkan pada masa akan datang," ujarnya. Dalam pada itu, Amin bersyukur apabila foto dia bersama kek itu yang dikongsi di Facebook meraih lebih 100,000 tanda suka (likes). Selain dihujani komen netizen, dia turut menerima banyak pertanyaan berkaitan tempahan kek penangan posting tular itu. Amin kini memiliki sebuah baking studio. "Terkejut bila viral, sebab kita orang biasa-biasa je. Saya juga bersyukur dengan doa yang dititipkan orang ramai. "Memang terharu, ada juga yang mesej nak tempah kek. Terima kasih atas sokongan dan doa. "Saya pun sekadar suka-suka kongsi di Facebook," ujarnya lagi. Dedah Amin, dia juga kini dalam proses untuk memulakan penghasilan biskut raya sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tak lama lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!