suria

Selesai SPM, pelajar MCKK tak tidur malam... siap minta mak ayah datang pakai baju sama 5 tahun lalu, tapi apa plannya? - "Menyesal lambat hargai setiap saat di sekolah dan asrama”

Foto tahun 2016 dan 2021 yang dikongsi di Twitter kini tular.

SETIAP insan yang pernah bergelar pelajar pastinya menyimpan 1001 kenangan pada zaman persekolahan.

Begitu juga dengan remaja ini apabila dia berkongsi foto hari pertama dan hari terakhir dia bersekolah.

Dalam muat naik di Twitter, Ishqi Azrai Mustaffa berkongsi beberapa foto memaparkan dia dan ibu bapanya di asrama Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak, pada 2016 dan 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Interior Design jelmakan sentuhan magis di kamar tidur, ibu 'teringin' siap buat permintaan khas

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 9 tahun keluar-masuk sekolah, akhirnya lelaki ini dapat lihat pelajar Cina ‘rare’

"Gambar pertama dirakam ketika hari pertama saya masuk asrama pada tahun 2016. Gambar kedua pula dirakam pada Rabu lalu, hari terakhir saya di sekolah itu.

"Sebelum mak ayah datang jemput ke asrama, saya juga minta mereka pakai pakaian dan tudung sama yang dipakai pada tahun 2016.

"Nasib baik baju dan tudung masih ada, cuma ayah kata bajunya ketat sedikit. Yang pakaian sama tu memang saya rancang," ujarnya kepada mStar.

Foto perbandingan tahun 2016 dan 2021.

Mesra disapa Ishqi, dia yang menduduki kertas peperiksaan terakhir bagi subjek Biologi pada Selasa lalu mendedahkan perjalannya di sekolah itu bukanlah satu proses yang mudah untuknya.

Malah, dia yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri di institusi pengajian terkemuka itu.

"Kalau tengok gambar hari pertama pada tahun 2016 tu, nampak muka saya macam tak rela. Saya ambil masa sehingga tingkatan empat barulah dapat sesuaikan diri.

Saya pun sedih, rasa menyesal sebab lambat untuk betul-betul hargai setiap saat di sekolah dan asrama.

ISHQI

"Masa tingkatan satu, setiap malam saya hubungi mak. Saya alami homesick. Setiap minggu mak ayah datang melawat, mereka pujuk saya jangan keluar sekolah tu.

"Masa tingkatan dua dan tiga juga pernah nak tukar sekolah, tapi tak jadi sebab sekolah yang saya nak masuk tu dah penuh.

Ishqi bersama ibunya.

"Memang takdir untuk saya kekal di MCKK. Tingkatan empat baru saya sesuaikan diri dan mula mengenali alam persekolahan sebenar. Baru rasa seronok duduk asrama," ujarnya.

Imbas Ishqi yang menetap di Sri Iskandar, malam terakhir dia di sekolah itu turut menjadi kenangan cukup indah buat dirinya.

Dia dan rakan-rakan yang selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal menahan sebak mengenangkan perpisahan yang akan berlaku.

Ishqi bercita-cita untuk menjadi peguam.

"Masa habis last paper, kami ramai-ramai menjerit. Pergi berendam dalam kolam pakai baju sekolah, main bola pakai baju sekolah.

"Malamnya kami ada menyanyi bersama-sama, memang tak tidur. Kemudian kami bersembang, semua menangis.

"Saya pun sedih, rasa menyesal sebab lambat untuk betul-betul hargai setiap saat di sekolah dan asrama," ujarnya.

Ishqi menduduki kertas peperiksaan SPM terakhir pada Selasa lalu.

Menurut Ishqi, dia berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang dan menyimpan impian bergelar peguam suatu hari nanti.

Sehingga kini, posting gambar kenangan Ishqi bersama bapa, Mustaffa Mohsin, 63, dan ibunya, Rozita Mat Zahari, 53, di laman Twitter meraih lebih 3,600 ulang kicau (Retweet).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain