suria

Disamakan dengan Tokti, pelajar muzik UiTM belum pasti mampu jadi penyanyi... mungkin pilih kerjaya tukang masak lauk - “Jauh lagi nak sama dengan beliau”

Puteri gembira video di TikTok miliknya meraih perhatian ramai.

TIDAK mempersiakan bakat suara yang dimiliki, gadis ini melanjutkan pengajian dalam bidang muzik demi menggapai cita-citanya untuk bergelar penyanyi.

Demi menampung kos pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Puteri Quratul Ain Abd Halim Hakim, 22, turut mencari pendapatan sampingan dengan memenuhi undangan nyanyian di majlis-majlis kecil.

Terbaharu, video nyanyian gadis ini pada Oktober tahun lalu tiba-tiba menjadi tular di aplikasi TikTok sehingga dia menjadi tumpuan ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Suara bak nyanyian dalam mimpi, ada kata penuntut UiTM ini boleh dodoi tidur... belum dengar full version lagi tu!

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar ‘rindu ex’ nyanyi di tangga, kawan rakam pun tak sedar... tahu-tahu ramai offer jadi pengganti!- “Saya masih tak boleh move on”

Dalam video itu, dia menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu dendangan asal Datuk Seri Siti Nurhaliza di sebuah majlis perkahwinan di Ayer Keroh, Melaka.

Bercakap kepada mStar, dia yang mesra disapa Puteri mengakui terkejut apabila video itu meraih perhatian ramai sehingga ada yang menyifatkannya sebagai pengganti kepada penyanyi nombor satu negara itu.

"Buat masa ini saya meminati Ernie Zakri dan Aina Abdul. Tapi saya dibesarkan dengan lagu Tokti. Masa saya umur 18, saya cuba lari dari bunyi-bunyi seakan Tokti sebab pernah digelar tiada identiti.

Puteri merupakan penuntut bidang muzik di UiTM.

"Tapi sebenarnya jauh lagi suara saya nak disamakan dengan beliau. Jauh sangat. Banyak beza nak dibandingkan dengan Tokti. Banyak lagi saya kena capai untuk jadi macam Tokti.

"Saya terima dengan hati terbuka pendapat masing-masing. Ada yang kata tak sama pun dengan Tokti. Tapi apa pun komen, memang buat saya terhibur. Tersenyum-senyum baca," ujarnya.

Bercerita mengenai video tular di sebuah majlis perkahwinan itu, Puteri mengakui dia berada di situ selepas dijemput oleh seorang individu yang juga pengikutnya di Instagram.

Walaubagaimanapun, saya kena ada juga plan B. So kalau tiada rezeki, saya masih di kedai makan mak ayah saya, jadi seorg tukang masak.

PUTERI

"Sebenarnya persembahan tu saya dijemput melalui salah seorang pengikut di Instagram. Memandangkan saya memang freelance singer, so saya on je.

"Saya mula ambil jemputan nyanyian sejak diploma. Tapi saya bermula dengan kadar rendah je, sebab siapa je saya?

"Sewaktu buat persembahan, kadang-kadang lagu saya pilih. Kadang-kadang client pilih. Mereka macam tahu tone suara saya ni lebih sesuai dengan lagu Tokti, jadi lagu beliau mesti wajib.

"Sedikit-sebanyak saya dapat bayar yuran pengajian dengan duit menyanyi. Alhamdulillah rezeki yang ada, cukup-cukup untuk saya," ujarnya.

Puteri meminati Ernie Zakri dan Aina Abdul.

Menurut Puteri lagi, bukan mudah untuk dia menggapai impian dan dia pernah terdetik untuk berputus asa.

Malah, dia juga pernah menyertai tiga uji bakat program nyanyian televisyen, namun hanya disenarai pendek sahaja dan tidak terpilih untuk ke peringkat lebih jauh.

"Selalu rasa nak putus asa. Contohnya hari ni nak putus asa, esok bangun tidur... bangkit balik, cuba lagi.

"Saya percaya, kalau nak menyanyi kena ada ilmu. Dan sebab itu saya masih di sini sedang belajar. Saya sentiasa bersangka baik.

Puteri turut bekerja secara sambilan di kedai makan ibu bapanya.

"Mungkin ada lagi yang saya perlu perbaiki, baru orang nampak bakat saya. Tapi saya percaya rezeki masing-masing. Cuma masa je kita tak tahu. Bukan mudah orang nak nampak kewujudan kita dalam bidang muzik.

"Sebelum ni Instagram jadi platform saya. Dulu selalu post video Smule. Saya baru main TikTok dalam dua ke tiga bulan. Tak jangka video tu viral. Alhamdulillah. Harap semua terhibur dengan video saya," ujarnya.

Menurut Puteri, dia juga memiliki rencana lain sekiranya hasrat menjadi penyanyi tidak menyebelahinya.

"Mak ayah saya support saya menyanyi dari kecil, keluarga semua support. Saya serious nak jadi penyanyi dari dulu, tapi masih tercari-cari.

Ibu bapa Puteri memberi sokongan penuh terhadap impiannya itu.

"Saya sebenarnya sejak belajar online ni part time tolong kerja di kedai makan mak ayah saya. Jika ada rezeki, InsyaAllah saya tidak menolak untuk menjadi seorang penyanyi.

"Walaubagaimanapun, saya kena ada juga plan B. So kalau tiada rezeki, saya masih di kedai makan mak ayah saya, jadi seorang tukang masak," ujarnya.

Kata Puteri, kedai makan yang terletak di Ayer Keroh itu menawarkan lauk-pauk kampung serta makanan berasaskan Negeri Sembilan.

"Saya masak lauk basic je. Setiap hari, tugas saya kena ambil task masak ayam masak merah, ayam kicap madu, asam pedas daun kari dan ayam salai masak lemak cili padi," ujarnya berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain