suria

Bukan sekadar ‘tayang’ rupa, bekas pramugara pernah dihina jual pisang salai tak sangka strategi cari rezeki di TikTok berbaloi... ada kata dulu terbang tak ingat dunia!

Azeem yang juga bekas pramugara sempat bekerja dalam bidang hartanah selama dua bulan sebelum menemui kerjaya baharu sebagai jurujual kereta.

ENAM tahun terbang di awan biru, kerjaya jejaka ini sebagai pramugara berakhir pada pertengahan tahun lalu.

Menurut Azeem Asmadi, 26, dia merupakan salah seorang kakitangan sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang terpaksa diberhentikan akibat pandemik Covid-19 yang melanda.

Enggan lama meratapi nasib sedih itu, dia sempat bekerja dalam bidang hartanah selama dua bulan sebelum menemui kerjaya baharu yang lebih dekat di hati, sebagai jurujual kereta.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah puas ‘layan’ menangis dibuang kerja, pramugari terima 2 tawaran job datang serentak

ARTIKEL BERKAITAN: Foto kru kabin dukung bayi viral ketika ramai singkap memori bersama MAS, anak dedah sisi penyayang bapa

Mesra disapa Azeem, dia mengakui sukar untuk menyesuaikan diri pada mulanya, namun perlahan-lahan mengorak langkah demi meneruskan kelangsungan hidup.

"Ketika pertama kali dapat email, saya tak rasa apa-apa. Masih dalam khayalan ketika itu. Dalam seminggu, saya lihat ramai kawan-kawan yang dibuang kerja juga, barulah saya rasa sedih.

"Pada masa itu, saya terfikir bagaimana nak cari kerja lain. Mula-mula saya fikir nak jual insuran, tapi ramai kawan-kawan yang dah buat.

Dedah Azeem, dia sudah enam tahun bekerja sebagai pramugara.

"Kemudiannya saya beralih ke bidang hartanah, tapi ia tidak menjamin saya dapat wang dalam tempoh segera. Bagaimana saya nak teruskan hidup.

"Selepas itu saya hadiri temuduga dan bermulalah kerjaya sebagai jurujual kereta sejak November tahun lepas. Bulan pertama agak sukar, sekarang Alhamdulillah semakin baik," ujarnya kepada mStar.

Menurut anak pertama daripada dua beradik itu, dia banyak membuat content video, berkongsi maklumat mengenai proses pinjaman dan pembelian kereta menerusi aplikasi TikTok.

Rupa paras tak memadai. Dengan rupa semata-mata, tak akan keluar sebuah kereta.

AZEEM

Idea kreatif itu ternyata membuka pintu rezeki buatnya apabila dia semakin dikenali, sekaligus membolehkan dia meraih pelanggan menerusi platform itu.

"Sudah ramai yang jual kereta di Facebook, jadi saya cuba buat di TikTok. Sekarang kena cari platform untuk pasarkan diri.

"Biasanya saya kongsi topik mengenai pinjaman dan sebagainya. Alhamdulillah saya ada dapat pelanggan dari TikTok.

Azeem turut menjual pisang salai untuk mencari pendapatan sampingan.

"Saya juga boleh hantar ke seluruh Malaysia jika ada yang berminat untuk dapatkan kereta," ujarnya.

Dalam pada itu, Azeem yang menetap di Batu Caves, Selangor tidak terlepas menerima persepsi negatif termasuklah yang beranggapan dia 'menjual muka' di media sosial.

Kata Azeem lagi, dia yang membuat perniagaan sampingan dengan menjual pisang salai turut menerima komen berbentuk penghinaan menerusi Instagram.

Kata Azeem, dia bersyukur apabila platform TikTok turut membuka pintu rezeki buat dirinya.

"Memang ada persepsi sebegitu, kononnya saya jual muka. Tapi pada saya, rupa paras tak memadai. Dengan rupa semata-mata, tak akan keluar sebuah kereta.

"Yang penting kena ada ilmu dan kemahiran. Saya anggap rupa paras itu sebagai bonus. Saya percaya kepada rezeki. Apa orang kata, saya aminkan sahaja.

"Ada juga orang yang pandang rendah apabila saya jual pisang salai sebagai bisnes sampingan. Saya terima mesej di Instagram.

Azeem tak menolak rezeki seandainya berpeluang kembali ke dunia penerbangan suatu masa nanti.

"Orang tu kata, dulu terbang tak ingat dunia, sekarang jual pisang salai je... saya biarkan saja. Kita tak boleh tutut mulut orang.

"Kalau nak berhenti disebabkan kata-kata orang, rugilah kita," ujarnya lagi.

Kata Azeem, dia kini sudah jatuh hati dengan bidang yang diceburinya itu, namun tidak menolak rezeki seandainya berpeluang kembali ke awan biru.

Untuk rekod, Azeem memiliki 58,000 pengikut di TikTok.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain