suria

“Apabila wang bukan lagi keutamaan hatinya...” - Aktivis masyarakat kongsi kisah doktor mulia, wakaf rumah berkembar 2 tingkat

Inilah rumah berkembar 2 tingkat yang diwakafkan oleh seorang doktor untuk tujuan kebajikan.

SEMEMANGNYA kita digalakkan untuk bersedekah atau berkongsi rezeki lebih-lebih lagi apabila berkemampuan.

Bukan sahaja beroleh pahala, malah kuasa sedekah itu sendiri akan memanfaatkan si pemberi dengan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Bayangkan pula pahala yang mengalir buat si pemberi jika mewakafkan sesuatu harta milik mereka untuk tujuan kebaikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Luar biasa! Isteri sanggup hidup susah, buat laporan supaya suami penagih ditangkap... kini tolong jual pisang goreng sara 4 anak

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki 6 beranak, seluruh rumah diubah suai selepas ahli perniagaan pijak ‘lantai lembut’ ketika buat lawatan - “Saya yakin dia nampak sesuatu dalam keluarga ini”

Menerusi posting seorang aktivis masyarakat, Natipah Abu baru-baru ini, dia berkongsi cerita mengenai seorang insan mulia yang mewakafkan sebuah rumah berkembar dua tingkat miliknya untuk tujuan kebajikan.

"Hari ini aku menerima kunci dari pemilik rumah berkembar dua tingkat yang betul-betul terletak di tengah bandar Sungai Petani. Hebatnya Hamba Allah ini apabila wang bukan lagi keutamaan hatinya.

"Andai disewa atau dijual, rumah ini mampu menjana pendapatan yang lumayan kerana kedudukannya benar-benar di kawasan yang strategik," tulisnya pada perkongsian tersebut.



Rumah kos rendah ini diwakafkan oleh seorang insan mulia, dan kini ia dijadikan Rumah Qaseh Ayah.

Berkongsi cerita dengan mStar, Natipah berkata pemilik rumah berkenaan merupakan seorang doktor perempuan yang akan berhijrah ke United Kingdom (UK).

Justeru pemiliknya mengamanahkan rumah tersebut kepada Natipah daripada membiarkannya kosong tidak bertuan.

Malah menurut Natipah, doktor tersebut menyerahkan semua urusan termasuk dokumentasi kepada dirinya.

"Untuk pengetahuan, ini rumah kedua yang Kakpah dapat daripada pewakaf. Sebelum itu Kakpah dapat rumah kos rendah... rumah itu kami dah ubah suai dan jadikannya Rumah Qaseh Ayah.



Penghuni Rumah Qaseh Ayah mengikuti kelas mengaji yang diadakan dua minggu sekali.

"Rumah Qaseh Ayah tu ada ustaz datang ajar mengaji dua minggu sekali. Ada seorang anak muda yang berusia 21 tahun yang kematian bapa jaga di sana termasuk memasak, basuh kain. Kira macam wardenlah. Kita bantu dan beri elaun juga.

"Rumah itu mula diziarahi orang ramai termasuklah pengasas produk Klubna Laleh. Kakpah juga terima wakaf rumah kedai dua tingkat yang sedang dalam proses untuk dijadikan kedai," ujarnya yang sudah berkecimpung dalam aktiviti kebajikan dan misi kemanusiaan sejak 11 tahun yang lalu.

Menurut Natipah, rumah berkembar dua tingkat yang baharu diwakafkan kepadanya itu bakal dijadikan sebagai rumah anak yatim perempuan.

Kakpah pun tak tahu macam mana orang confident nak bagi (wakaf) dekat Kakpah macam tu sahaja. Mungkin mereka selalu baca perkongsian Kakpah di Facebook.

NATIPAH ABU

AKTIVIS MASYARAKAT

"Untuk rumah ini, Kakpah cadang nak buka selepas Aidilfitri. Kakpah cadang memang nak beri keutamaan kepada status anak yatim sahaja sebab di Sungai Petani, tak ada lagi rumah anak yatim perempuan.

"Kakpah pun tak tahu macam mana orang confident nak bagi (wakaf) dekat Kakpah macam tu sahaja. Mungkin sebab mereka selalu baca perkongsian Kakpah di Facebook. Mereka mungkin mengenali Kakpah menerusi perjalanan aktiviti kebajikan yang selalu Kakpah kongsikan.



Natipah (depan) sudah hampir 11 tahun berkecimpung dalam lapangan kebajikan dan misi kemanusiaan.

"Kakpah nak berterima kasih kepada semua rakan Facebook yang menyokong Kakpah dari mula. Walaupun ada komen netizen yang mengguris, tapi Kakpah dah biasa... Kakpah anggap tak kenal maka tak cinta.

"InsyaAllah, amanah ini bakal disempurnakan sebaik mungkin. Terima kasih kepada semua insan di luar sana yang selama ini selalu mendoakan Kakpah," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain