suria

Dulu malu kini gagap jadi punch line buat persembahan standup comedy, caranya cakap perlahan-lahan... semuanya bermula ketika CD minus one rosak

Shashic menggunakan gagap sebagai topik ketika melawak di atas pentas mengiburkan penonton.

ADA yang menganggap gagap itu satu kelemahan kerana ia mengganggu pertuturan seseorang sehingga membuatkan mereka mengelak daripada berinteraksi dengan sesiapa.

Mana tidaknya, orang yang gagap mengambil masa untuk menyampaikan sesuatu kerana terpaksa mengulang perkara yang hendak dicakap itu berkali-kali.

Namun bagi Muhammad Noor Shashic Iewan, 30, ia tidak menjadi penghalang untuk dia beraksi sebagai seorang pelawak di pentas.

ARTIKEL BERKAITAN: Masuk aplikasi cari jodoh, gadis terpaut hati lelaki bukan Melayu... gembira hubungan dapat restu - “Dulu gagap baca doa, sekarang makin lancar”

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan anggap Alzheimer penyakit orang tua, kenali 5 gejalanya

Pemuda itu memuat naik salah satu video lawaknya di aplikasi TikTok dan berjaya meraih hampir 500,000 tontonan di aplikasi tersebut. Rata-rata netizen terhibur dengan paparan visual yang dimuat naik dan kagum dengan kebolehannya menjadikan gagap sebahagian dari persembahan.

Berkongsi cerita dengan mStar, dia yang mesra disapa Shashic mengakui berdepan masalah pertuturan sejak dari kecil lagi dan tidak pernah merujuk dengan doktor kerana terlalu malu dengan kondisinya itu.

"Masalah gagap saya ni memang ada dalam keturunan famili. Dulu saya suka ajuk cakap abang saudara yang gagap. Bila dia gagap masa tengah bercakap tu, saya akan ejek cara dia cakap.

"Sampailah saya sendiri yang tergagap-gagap sekarang ni. Sewaktu di sekolah dahulu, saya akan cuba sembunyikan masalah ini dengan bertutur secara perlahan-lahan supaya masalah gagap ni tidak terlalu ketara sehingga orang lain perasan," katanya yang menetap di Bandar Sunway, Selangor.

Sewaktu melakukan persembahan bersama kumpulannya, Shashic (dua, kanan) mampu menyanyi dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Selain daripada itu, Shashic juga belajar menyanyi sebagai salah satu cara untuk mengawal masalah gagapnya kerana dia tidak dapat menerima keadaannya ketika itu.

Ternyata teknik yang digunakan itu berjaya mengurangkan gagapnya, malah dia langsung tidak gagap ketika menyanyi. Sehingga ada yang langsung tidak menyangka pemuda itu sebenarnya mempunyai masalah pertuturan.

"Waktu dulu saya ada macam boy band la. Kami pernah perform untuk showcase penyanyi Nubhan di Saloma Bistro. Bila menyanyi ni kan kita kena hafal lirik lagu, melodi dan harmoni vokal. Jadi itu membuatkan saya focus dan yakin untuk bersuara.

"Orang mula sedar sisi lawak saya sewaktu kami sedang buat satu persembahan dan tiba-tiba CD minus one rosak. Tapi masa tu media semua ada di depan, yang lain semua dah cuak sebab tak tahu nak buat apa. Jadi untuk mengawal keadaan di situ, saya pun buat lah lawak,"

"Tak sangka pula mereka terhibur dengan lawak yang saya buat sehingga kawan-kawan yang lain pun suruh saya berhenti menyanyi dan jadi pelawak sahaja lepas ni," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Untuk mengurangkan gagap ketika persembahan, Shashic menulis dan menghafal skrip lawaknya sebelum beraksi di atas pentas.

Sejurus selepas kejadian itu, Shashic menurut kata-kata rakannya untuk mengembangkan bakat dengan menceburi bidang stand up comedy.

Namun begitu, lawak yang dilakukan Shashic bukanlah lawak spontan seperti pelawak lain kerana kondisinya yang gagap, dia harus menulis dan hafal skrip agar lawaknya itu dapat disampaikan dengan sempurna.

"Saya sebenarnya berat hati juga nak cuba jadi pelawak, sebab takut orang akan ketawakan saya kerana gagap. Cukuplah sebelum ni orang ketawakan kelemahan yang saya ada.

"Tetapi memandangkan kawan-kawan beri semangat dan sokongan untuk mencuba nasib jadi pelawak, saya pun tulislah skrip supaya tak gagap bila berada di atas pentas. Orang gagap ni kalau dia menghafal, percakapan mereka memang akan nampak normal.

"Saya gunakan kondisi gagap ini sebagai bahan untuk melawak dan pada masa sama untuk buktikan pada orang ramai bahawa golongan seperti kami ini mampu untuk melakukan apa sahaja seperti orang lain. Tetapi itu pun ada juga yang ingat saya ni sengaja buat-buat gagap untuk melawak, padahal itu memang diri saya yang sebenar.

Saya ni belum mampu nak menolong keluarga dari segi kewangan, jadi dengan menyumbang tenaga lah cara saya berbakti kepada keluarga,

MUHAMMAD NOOR SHASHIC IEWAN

Walaupun ada masalah pertuturan, Shashic ada menerima tawaran untuk jadi sebagai tetamu jemputan untuk memeriahkan majlis dengan stand up comedy dan mengacara majlis kecil-kecilan. Dia cuba untuk melakukan apa sahaja kerja untuk menaggung keluarga memandangkan dia adalah anak tunggal.

Setiap kali habis persembahan, Shashic akan pulang dengan segera kerana mahu menolong ibu bapanya berniaga di gerai air yang terletak di Sunway. Mereka menjual pelbagai jenis air seperti air kelapa, coconut shake dan air kordial.

Selesai sahaja setiap persembahan, Shashic akan bergegas pulang untuk menolong ibu bapanya di gerai air mereka.

"Masa mula-mula PKP tu saya tak dapat banyak tawaran sangat sampai terpaksa menjual jam dan kasut sendiri untuk menampung perbelanjaan. Cukup la lepas duit makan dan minum untuk tiga hari. Sekarang bila dah ada dapat tawaran sikit saya pergi la keluar dan lepas tu tolong famili lepas habis kerja.

"Saya ni belum mampu nak menolong keluarga dari segi kewangan, jadi dengan menyumbang tenagalah cara saya berbakti kepada keluarga," ujarnya kepada mStar.

Menurut pemuda berusia 30 tahun itu, dia tidak menyangka bahawa ramai rupanya yang mempunyai masalah gagap sepertinya. Shashic juga berharap agar mereka yang gagap diluar sana tidak menjadikan kondisi itu penghalang untuk mengejar impian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain