suria

Karya seni secantik pelukisnya! Gadis ini gigih sewa kostum puteri legenda 4 negeri demi lengkapkan projek kad raya Aidilfitri

Gambar kiri Syamimi anggun dalam persalinan persis Puteri Lindungan Bulan, sementara foto kanan dengan imej Puteri Santubong.

TERPESONA... penampilan seorang gadis dalam persalinan persis puteri legenda menarik perhatian ramai di laman Twitter.

Dari puteri legenda Pahang, Puteri Walinong Sari, Puteri Santubong (Sarawak), Puteri Lindungan Bulan (Kedah), termasuklah legenda Cik Siti Wan Kembang di Kelantan.

Semuanya persalinan anggun digayakan bersama kad raya lukisan bertemakan seni bina terkenal di empat negeri berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Inspirasi Sailor Moon, Harry Potter juga filem Marvel, gadis ID jadi 'model' karya sendiri - "Semua koleksi DIY ya!"

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai kagum lukisan pemuda ini ketika di Tingkatan 4, kehilangan 3 karya di kolej kekal misteri - "Teringin Bront Palarae, Remy Ishak jadi model... ada market"

Gadis berkenaan, Syamimi Harni Zulkifli berkata, dia pernah menyuarakan hasrat untuk membuat lakaran melambangkan negeri-ngeri di Malaysia tahun lalu.



Syamimi dengan busana tradisional seperti Walinong Sari (kiri), manakala foto kanan pula dengan gaya Cik Siti Wan Kembang.

Konsep tersebut bukan sahaja diterjemahkan dalam seni lukisan, malah pelukis bebas itu juga mahu menjadi model bergambar dalam persalinan mengikut tema setiap legenda itu.

"Saya menggabungkan karya seni dan fesyen. Jadi, setiap penampilan mengikut gaya ala puteri atau figura legenda di empat negeri iaitu Kedah, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

"Pun begitu, ia tidak hanya sekadar karya lukisan semata-mata, saya menukarkannya konsep tersebut kepada projek kad raya sempena Hari Raya Aidilfitri," katanya kepada mStar.



Seni bina rumah tradisional hasil karya Syamimi.

Syamimi yang berusia 23 tahun berkata, dia menghasilkan lapan lukisan yang meliputi seni bina rumah tradisional dan masjid terkenal di keempat-keempat negeri.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mengulas lanjut, katanya, lukisan tersebut terdiri daripada rumah Melayu Kedah dan Masjid Zahir di Alor Setar; rumah Melayu Kelantan dan Masjid Kampung Laut di Kota Bharu; rumah Melayu Pahang dan Masjid Sultan Ahmad Shah di Kuantan; dan rumah Melayu Sarawak dan Masjid India di Kuching.



Bergaya bersama kad raya karya sendiri.

Menjadikan filem Magika arahan Edry Abdul Halim sebagai inspirasi, Syamimi yang berasal dari Alor Setar itu berusaha untuk memenuhi gaya figura legenda yang diimpikan.

"Baju-baju tradisional ni saya sewa dari sebuah butik kostum tradisional di Pulau Pinang. Sebab sekarang tak boleh rentas negeri, penghantaran dibuat melalui pos.

Sekarang ni tak boleh merentas negeri, sekurang-kurangnya pemberian kad raya dapat mengubat kerinduan mereka yang kejauhan dan lama tidak berjumpa

SYAMIMI

"Nasib baik muat semua pakaian ni. Dapat juga saya bergaya seperti puteri legenda. Saya ni memang gemar berfesyen sejak dulu.

"Saya berharap untuk menjadikannya sebagai projek raya tahunan. Mungkin tahun depan saya akan lukis legenda di negeri-negeri lain pula seperti Puteri Gunung Ledang," ujar anak bongsu daripada dua beradik itu.



Lakaran masjid terkenal menghiasi kad raya.

Selain kad raya, Syamimi berkata, projek tersebut turut membabitkan koleksi sampul raya dengan kerjasama seorang rakan, Haikal Arif Azhar, 24, yang menghasilkan lukisan pemandangan isometrik monumen ternama di keempat-empat negeri itu.

"Haikal di Seremban, Negeri Sembilan dan saya pula di Alor Setar. Jadi, kami hanya berbincang dari jauh menerusi WhatsApp dan panggilan telefon.

"Maklumlah, sekarang tak boleh merentas negeri. Jadi, kami lakukan dengan cara yang lebih mudah dan pantas," katanya sambil menambah kad raya berharga RM5 sekeping atau satu set merangkumi empat kad berharga RM20.



Sampul raya dengan pemandangan isometrik monumen ternama di empat negeri.

Menurut Syamimi, penghasilan kad raya dan sampul duit raya itu bertujuan untuk menghidupkan suasana Hari Raya Aidilfitri meskipun negara masih dilanda pandemik Covid-19.

"Dengan teknologi sekarang ni, kebanyakannya hanya menghantar ucapan ringkas. Kenapa tidak hantar kad raya untuk menghargai orang tersayang dan rakan-rakan.

"Sekarang ni tak boleh merentas negeri, sekurang-kurangnya pemberian kad raya dapat mengubat kerinduan mereka yang kejauhan dan lama tidak berjumpa," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain