SIAPA sangka dugaan menimpa seorang peniaga di bulan Ramadan apabila tempahan biskut raya yang dijualnya dibatalkan pelanggan pada saat akhir. Kesedihan itu diluahkan menerusi video di aplikasi TikTok, yang memaparkan tangkap layar mesej pelanggan berkenaan bersama 13 balang biskut raya yang ditempahnya. Berdasarkan mesej tersebut, pelanggan wanita itu membatalkan tempahan tersebut selepas suaminya telah membeli biskut raya daripada seorang rakan. ARTIKEL BERKAITAN: Dugaan hantar order untuk 'manusia paling sibuk kat Malaysia', rider titip pesanan kepada staf hospital batal order selepas sejam kena 'bersidai' ARTIKEL BERKAITAN: Naya! Pemilik butik popular 'lari' selepas desak peniaga tengah sarat siapkan 400 skirt,"Dari nak bersalin, sampai berpantang dia terus hilang" Peniaga berkenaan, Muhammad Azmi Mohd Suhaimi berkata, pelanggan tersebut baru dikenalinya menerusi Facebook dan tidak pernah bertemu denganya sebelum ini. Tangkap layar mesej pelanggan yang membatalkan tempahan saat akhir. Pemuda berusia 23 tahun itu memberitahu, 13 balang yang ditempah pelanggan wanita itu berjumlah RM140 itu telahpun siap ketika pembatalan dibuat saat akhir, pada Rabu. "Kesemua 13 balang tu dah siap, tinggal nak hantar je. Dengan akak tu saya memang tak ambil wang deposit sebab saya buka tempahan untuk mereka yang saya kenal saja. "Tapi sebelum ni okay je, tak sangka pula akak tu cancel order, saya sedih dan terkilan. Tapi nak buat macam mana, saya reda dan anggap ia sebagai adat berniaga, ada ujian dan dugaannya," katanya kepada mStar. Lebih mesra disapa Azmi, dia sebenarnya berniaga burger dan hanya membuka tempahan biskut raya secara kecil-kecilan sepanjang bulan Ramadan, sejak usianya 19 tahun. Antara biskut raya yang dijual. Dia yang berasal dari Serendah di Hulu Selangor, Selangor itu menetap bersama ibu bapanya, masing-masing berusia 41 dan 46 tahun serta adik lelaki berusia 19 tahun. "Kedua-dua mak dan ayah pernah bekerja sebagai cleaner di sekolah, tapi mereka tidak lagi bekerja selepas jatuh sakit. Seorang hamba Allah sudi membeli kesemua 13 balang tersebut dan telah membuat bayaran penuh. Dia minta saya sumbangkan kepada mereka yang memerlukan AZMI "Mak menghidap tiroid sejak 2018, manakala ayah kena strok sejak tahun lepas. Sejak itu, saya dan adik-beradik menjaga mak ayah," ujar anak kedua daripada tiga beradik itu. Menurut Azmi, akaun banknya sebenarnya tidak aktif menyebabkan dia sebelum ini hanya mengambil bayaran penuh secara pembayaran tunai semasa serahan (COD). Azmi tidak putus asa dengan insiden yang menimpanya. Namun katanya, kebanyakan netizen menyarankannya untuk menetapkan bayaran deposit terlebih dahulu sebelum tempahan dibuat bagi mengelakkan kejadian berulang. "Saya terima nasihat mereka dan mengaktifkan semula akaun simpanan saya di bank pada Khamis. Dan saya hanya mengambil tempahan selepas bayaran deposit telah dibuat. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Apa yang telah berlaku saya jadikan sebagai pengajaran dan berterima kasih buat mereka yang banyak memberi sokongan kepada saya," katanya sambil menambah antara biskut raya yang dijualnya adalah tart nanas, semperit dan biskut Milo. Dalam pada itu, Azmi memberitahu 13 balang biskut raya yang telah dibatalkan seorang pelanggan itu telahpun dijual susulan videonya di aplikasi TikTok menjadi tular. Azmi (tengah) bersama bapa (kiri) dan ibu. "Saya terima mesej daripada seorang hamba Allah yang sudi membeli kesemua 13 balang tersebut dan telah membuat bayaran penuh. "Dia minta saya sumbangkan kepada mereka yang memerlukan. Alhamdulillah. Saya tunaikan permintaannya," katanya. Tambah Azmi, video yang tular itu juga menyebabkan bisnes biskut rayanya mendapat permintaan ramai yang amat menggalakkan. "Jika sebelum ini, saya dapat tempahan kira-kira 30 balang biskut raya dalam seminggu. Tapi belum pun dua hari penuh selepas viral, saya telah terima tempahan 25 balang dan bayaran ada yang dibuat penuh dan deposit. Alhamdulillah rezeki saya," katanya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!