TERPAKSA tidur meniarap, dada rasa nak pecah dan melihat bukan satu tapi dua individu bersebelahannya 'tewas' dalam pertarungan mereka melawan Covid-19 - tiada lain yang difikirkan Mohd Syaham Saupy selain mati. Dia yang baru sahaja dibenarkan keluar hospital beberapa hari lalu setelah bergelut dengan Covid-19 selama lebih kurang 12 hari, kini masih lagi terlantar tak bermaya, kesan daripada virus tersebut. "Saya masih belum sembuh sepenuhnya, masih perlu berjuang sebab kesan Covid-19. Walaupun dah discaj 2 Jun lalu, saya masih tak boleh berdiri lama... rasa pening. "Jadi sejak balik rumah sehingga sekarang saya masih terbaring dan masih lagi bergantung pada ubat-ubatan, ” katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Angkara rentas negeri, ziarah Aidilfitri... 2 keluarga cetus kluster Covid-19 terbesar di Hulu Terengganu, jangkiti 3 kampung lain ARTIKEL BERKAITAN: Sudah lengkap dua dos vaksin, selamatkah kita bersalaman dengan orang lain? Gejala awal Berkongsi pengalamannya dijangkiti virus yang kini sudah meragut lebih 3.72 juta nyawa di seluruh dunia, Syaham berkata dia mula mendapat gejala awal pada 19 Mei iaitu dua hari selepas isteri dan seorang anaknya disahkan positif. Syaham berdepan dengan simptom yang teruk ketika dijangkiti Covid-19. "Pada 17 Mei isteri dan seorang anak saya memulakan kuarantin kendiri di rumah jadi kami tinggal di bilik berasingan. "Isteri saya hilang deria rasa, anak saya dua-dua langsung tak ada gejala saya pula rasa seakan-akan demam denggi, rasa sakit-sakit badan kemudian lenguh. "Mulanya saya ingat biasa je, saya tak buat ujian lagi tapi saya minta nasihat daripada rakan doktor yang kemudiannya mencadangkan saya buat ujian sendiri," katanya. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Diarahkan kuarantin di Maeps Pada 20 Mei, dia bersama seorang lagi anaknya disahkan positif dan mereka sekeluarga kemudiannya diarahkan untuk menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Maeps. “Mula-mula saya cuba bincang untuk kuarantin di rumah je sebab alang-alang semua positif, saya sangkakan apa yang saya alami sama macam kebanyakan kawan saya lain yang pernah positif Covid-19, mereka ada gejala juga tapi lepas tempoh kuarantin mereka okay. "Tapi pegawai dekat Pusat Kesihatan Daerah tu berkeras dan minta saya pergi ke Maeps juga. "Bila sampai dekat sana masa proses screening dijalankan anak-anak dan isteri saya semua lepas, mereka dapat gelang lepas tu diarahkan ke katil untuk menjalani kuarantin, tapi saya 'sangkut'," ujarnya. Isteri Syaham dan anak sulung mereka (tiga dari kiri) disahkan positif dua hari lebih awal. Menurut Syaham dia disahkan mengalami jangkitan pada paru-paru dan setelah ujian X-ray serta darah dilakukan, dia ditempatkan di bahagian pesakit berisiko tinggi. "Pada 25 Mei saya mula rasa tak boleh bernafas, saya jumpa jururawat untuk minta ubat sebab saya pening, tapi doktor dekat situ nampak saya, dia kata awak ni dah lain macam. "Doktor tarik saya ke katil dan bagi oksigen, hari yang sama saya dipindahkan Hospital Sungai Buloh," katanya. Keadaan semakin kritikal Malangnya, sewaktu di hospital keadaan kesihatannya semakin merosot. "Malam pertama saya duduk dalam bilik... kira keadaan saya masih belum high risk sangat, nurse pun jauh. Tapi pernafasan saya makin teruk, oksigen saya jatuh bawah 90 (normal 95) walaupun dengan bantuan alat pernafasan. "Saya kemudian diletakkan berdekatan dengan kaunter nurse dan dipantau 24 jam tapi masa tu keadaan saya semakin teruk. "Saya diberi bantuan nebulizer, saya tengok tahap yang diberikan pada saya dah hampir maksimum tapi saya masih lagi langsung tak boleh nak bernafas," katanya. Syaham menjalani kuarantin Maeps. Rasa nak mati, dada macam nak pecah Disahkan berada di tahap 4, Syaham berkata nyawanya kini bergantung kepada alat bantuan pernafasan. "Kalau buka je alat pernafasan rasa macam nak mati, dada rasa macam nak pecah. "Kalau nak pergi ke bilik air saya kena rancang betul-betul sebab saya ada beberapa saat saja untuk bertahan, kalau lambat sampai ke katil semula, saya rasa saya akan mati. "Jadi saya akan buka alat pernafasan kemudian lari, selepas beberapa saat dalam tandas saya akan lari semula untuk pakai alat pernafasan," katanya. Kedua-dua anak dan isteri Syaham dibenarkan pulang selepas tamat tempoh 10 hari kuarantin di Maeps. Kematian yang tak disangka-sangka Namun segala kesakitan yang dialaminya tidak dapat menandingi perasaannya sewaktu menyaksikan dua orang pesakit lain tewas dalam pertarungan mereka. "Mula tu ada seorang pakcik duduk katil sebelah meninggal tapi yang betul-betul buat saya terasa bila ada seorang abang ni, dia muda umur dalam 40an, siang tu dia boleh bercakap dan bersembang. "Dia nampak lebih sihat daripada saya, saya tak boleh bangun, terbaring je. Tapi malam tu tiba-tiba oksigen dia drop dia meninggal sekelip mata, macam tu je. "Yang tu buat saya betul-betul trauma, masa tu saya fikir saya kalau tidur ni entah-entah saya dah tak bangun lagi," katanya sebak. Kalau buka je alat pernafasan rasa macam nak mati, dada rasa macam nak pecah. MOHD SYAHAM SAUPY PESAKIT COVID-19 Menipu setiap hari Menurut Syaham walaupun dengan sokongan rakan-rakan serta keluarga dia masih berasa hilang semangat serta hampir berputus asa. "Sepanjang di sana ramai kawan dan keluarga mesej tapi saya tak balas sebab saya tak ada kekuatan nak balas, masa tu saya rasa berada di tahap paling rendah dalam hidup. "Bila saya ada tenaga untuk tengok telefon saya akan baca je mesej kemudian menangis dan tutup telefon. "Setiap hari juga saya akan WhatsApp adik beradik, saya tipu mereka, saya suruh beritahu dekat mak saya sihat, hari ini saya semakin pulih InsyaAllah boleh keluar, walhal saya masa tu fikir mati je," ujarnya. Berat badan Syaham turun 11 kilogram setelah 12 hari bertarung nyawa menentang Covid-19. Tidur meniarap Menurut Syaham dia juga terpaksa tidur secara meniarap bagi membantunya bernafas dengan lebih baik. "Bila paru-paru dah tak berfungsi memang kena tidur meniarap untuk buka paru-paru, jadi bayangkan berapa minit je kita boleh tidur dalam keadaan macam tu, memang rasa macam jarum jam tu tak bergerak. "Sakit belakang tak payah ceritalah, memang sepanjang 12 hari saya di sana berat saya turun 11 kilogram," katanya. Dia nampak lebih sihat daripada saya, saya tak boleh bangun, terbaring je. Tapi malam tu tiba-tiba oksigen dia drop dia meninggal sekelip mata, macam tu je. MOHD SYAHAM SAUPY PESAKIT COVID-19 Tidak pasti jangkitan dari mana Sehingga kini tidak dapat dipastikan bagaimana dia sekeluarga boleh dijangkiti virus tersebut. "Saya bekerja sendiri di rumah jadi kontak saya mungkin sewaktu saya ke kedai runcit, itu sahaja. Isteri saya bekerja di pejabat tapi bila dia positif, semua rakan di pejabatnya perlu buat swab test juga, tapi keputusan mereka semua negatif. "Ini maksudnya sekarang ni bukan soal kluster mana lagi dah tapi virus ini memang sudah berada dalam komuniti," katanya. Kerja boleh dicari, nyawa tiada ganti Dia turut meminta masyarakat untuk bersabar serta mengikut segala arahan yang dikeluarkan kerajaan termasuk untuk tidak keluar sewenang-wenangnya. "Kalau pada permulaan ada yang rasa ini cuma konspirasi, cukuplah, kita dah setahun lebih melawan Covid-19 ni dan virus ini sekarang dah ada dalam komuniti, jadi kita perlu buat apa yang kita mampu untuk jaga keluarga kita. "Memang tak dinafikan ramai yang terkesan, mereka hilang pekerjaan, tapi bagi saya yang ada pengalaman kena Covid-19 ni, saya rasa baiklah saya hilang pekerjaan dari hilang nyawa, tak apa hilang kerja saya boleh cari kerja baru, hilang nyawa apa akan jadi pada anak dan isteri saya," katanya. Dia turut menzahirkan perasaan simpati terhadap barisan hadapan yang terpaksa merawat pesakit dalam jumlah yang begitu ramai pada satu-satu masa. "Dulu saya hanya tengok dekat TV dengar cerita, tapi bila tengok sendiri memang kesian sangat pada mereka. Saya memang berterima kasih sangat pada mereka yang menjaga saya. "Ada yang bekerja sampai 12 jam tanpa henti, mereka memang nampak penat sangat dan saya tak tahu sampai bila mereka ni mampu bertahan," ujarnya. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram! TONTON VIDEO PILIHAN!