suria

Penangan idea bekas pembantu arkitek! Wanita ini terkejut ramai minta ‘open order’ segera baju mesra vaksin - “Mak belum sempat pakai...”

Kisah baju kurung mesra vaksin itu tular di laman Twitter Husna.

APABILA sudah tiba giliran untuk menerima vaksin, pasti banyak perkara yang bermain di fikiran kita.

Paling penting tentunya pakaian yang sesuai untuk dipakai bagi memudahkan proses suntikan nanti.

Begitu juga wanita ini yang meraih perhatian netizen ini apabila dia menghasilkan baju kurung 'mesra vaksin' buat ibunya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu persoal kenapa anak rakam journey disuntik vaksin Covid-19, siapa sangka video usikan di TikTok raih hampir 100,000 tontonan

ARTIKEL BERKAITAN: Selamba buat cerita palsu kematian akibat suntik vaksin, ramai desak Mak Teh munculkan diri!

Menurut Nadhiratul Husna Abdul Haris, 27, dia mendapat idea itu setelah ibunya, Noraishah Sumirih, 57, mengadu mengenai pakaian yang akan dipakai ke pusat vaksin.

"Mak cakap tak tahu nak pakai baju apa, baju memang banyak cuma tak boleh sinsing lengan. Mula-mula saya bagi idea suruh pakai cardigan. Tapi saya terfikir, macam tak best pula.

"Kalau boleh nak pakai baju lawa-lawa, ambil gambar selepas disuntik vaksin. Jadi saya jahit baju kurung dengan zip sorok pada kedua-dua bahagian lengan.

Husna bersama suami dan anaknya yang berusia lima bulan.

"Kebetulan memang mak ada hantar kain untuk saya jahit baju. Walaupun idea tu saya rasa mengarut pada mulanya, tapi Alhamdulillah ia siap juga," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Husna, dia yang menetap di Butterworth, Pulau Pinang mendedahkan baju itu tidak sempat digayakan ibunya yang berada di Perak untuk suntikan dos pertama vaksin Covid-19 pada Ahad.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Namun katanya, dia berharap baju itu dapat dipakai oleh ibunya ketika menerima suntikan kedua vaksin pada tarikh seterusnya yang akan ditetapkan.

"Saya baru pos baju itu, tapi mak tak sempat nak pakai untuk suntikan pertama.

"Saya pula duduk di Pulau Pinang, mak di Perak. Harap mak dapat pakai baju ini untuk suntikan kedua nanti," ujarnya.

Setakat ini ada dalam 100 mesej, dan 30 pasang tempahan baju sudah disahkan.

HUSNA

Dalam pada itu, penangan posting tular mengenai baju kurung mesra vaksin di laman Twitter turut membuka peluang rezeki buat dirinya.

Dedah Husna, dia dihujani mesej orang ramai yang meminta agar tempahan baju itu dibuka segera.

"Saya mula-mula hanya kongsi di Instagram, sekadar melawak. Kemudian ramai komen positif. Jadi saya kongsikan pula di Twitter.

Ibu dan bapa Husna.

"Boleh dikatakan 100 peratus komen positif. Ramai yang reply minta buka tempahan. Jadi pada Sabtu saya secara rasmi buka tempahan.

"Setakat ini ada dalam 100 mesej, dan 30 pasang tempahan baju sudah disahkan.

"Saya harap dengan inisiatif yang saya wujudkan ni dapat menggalakkan golongan wanita, ibu-ibu terutamanya serta memudahkan urusan frontliner sepanjang proses vaksinasi," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai dirinya, Husna baru sahaja meninggalkan kerjayanya sebagai pembantu arkitek di sebuah firma di Pulau Pinang pada Disember tahun lalu.

Antara baju yang pernah dijahit oleh Husna.

Ibu kepada seorang cahaya mata berusia lima bulan ini sudah lama minat menjahit, namun mula melakukannya secara serius sejak awal tahun ini.

Untuk rekod, posting viral Husna di Twitter sehingga kini meraih hampir 15,000 ulang kicau (Retweet).

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain