suria

Hari ni kedai kek musnah, esoknya pemilik terus bangkit... buka semula premis selepas 3 minggu - “Pelanggan tak percaya kedai pernah terbakar”

Foto kiri menunjukkan kedai kek yang musnah dijilat api, foto kanan Fendi mengusahakan bisnes kek.

SEMUA musnah sekelip mata, begitulah yang ditunjukkan keadaan kedai kek yang diusahakan oleh seorang pemuda, terlibat dalam kejadian kebakaran.

Kisah tragis itu dikongsikan oleh pemuda berkenaan, menerusi satu video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

Video berdurasi seminit itu kemudian menunjukkan transformasi kedai berkenaan yang dahulunya hangus terbakar kembali beroperasi seperti kedai baharu di tapak sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Akui frust berjualan di zon merah, peniaga nasi lemak tak jangka 'pelanggan bertambah' selepas bantu kerja kebajikan - "Jangan berhenti walau kecewa"

ARTIKEL BERKAITAN: Simpanan licin, pemuda hilang kerja akibat PKP tak sangka bisnes masyuk! Menu dari seberang buat pelanggan jauh pun terliur, nak order banyak

Pemuda berkenaan, Fendi Islam Adenan berkata, kedai kek pertamanya di Temerloh, Pahang terlibat dalam kejadian kebakaran lewat malam, pada 2018 akibat litar pintas.



Foto kiri pasukan bomba memadamkan kebakaran, foto kanan bahagian luar kedai selepas kejadian.

Berkongsi pengalaman, anak muda berusia 32 tahun itu memberitahu, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Dungun, Terengganu dalam keadaan tidak sihat.

"Kedai itu dijaga oleh saudara saya, tetapi saya ada datang ke kedai selama beberapa hari sebelum kejadian. Malah, saya sempat tidur bersendirian di tingkat atas kedai.

"Bila esoknya saya datang, memang dah musnah teruk. Tak ada lagi yang tinggal. Namun saya bersyukur kerana saya tidak bermalam di kedai ketika kejadian.

"Kedai baru beroperasi kurang setahun, tak fikir aspek kecemasan. Hanya satu jalan keluar ikut pintu hadapan. Tak dapat bayangkan apa akan jadi pada saya jika tidur di kedai, malam tu," katanya kepada mStar sambil menambah kebakaran dipadamkan oleh pasukan bomba.



Keadaan kedai yang mengalami kerosakan.

Fendi berkata, melihat kemusnahan kedai di hadapan mata membuatkan dirinya tidak mampu berkata-kata, hanya diselubungi perasaan sedih, kecewa dan terkilan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Insurans pun tak ada. Kesedihan tu sehingga saya rasa susah sampai nak putus asa. Masih terfikir apa akan jadi pada diri saya kalau terus tidur di kedai dan tak balik ke Terengganu.

"Walaupun berat hati, saya reda dan anggap ada hikmah di atas kejadian yang menimpa saya. Kerugian yang dialami agak banyak, kira-kira RM30,000," ujarnya.

Menurut anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu, dia nekad untuk terus membangunkan semula kedai yang musnah dijilat api, pada hari kedua selepas kejadian.



Proses pengubahsuaian kedai kek mengambil masa tiga minggu.

"Takkan saya nak stop? Saya perlu teruskan apa yang saya telah bina. Tapi 'sakit' juga sebab modal untuk membangunkan semula lebih dahsyat iaitu kira-kira RM48,000.

"Syukur ada simpanan hasil bisnes sejak hampir setahun, simpanan peribadi dan peruntukan daripada ahli keluarga turut membantu," kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Bisnes ada naik dan turun, memang sedih bila ada masalah atau rugi. Biar sedih sekejap saja kerana kena cari alternatif untuk bangkit semula

FENDI

Fendi berkata, kedai kek miliknya melalui pengubahsuaian secara besar-besaran dengan menekankan aspek keselamatan untuk kecemasan, termasuk jalan keluar di belakang premis.

"Saya juga mendapatkan jaminan menerusi insurans, mengubah suai kedai dengan dekorasi lebih cantik termasuk pembelian lebih banyak mesin dan peralatan baharu.

"Esoknya selepas kejadian, kerja-kerja pembersihan dijalankan dan pengubahsian selama tiga minggu sebelum kedai beroperasi semula seperti kedai baharu. Ada pelanggan tak percaya mereka masuk kedai yang pernah terbakar," katanya.



Fendi berbangga dengan hasil titik peluh mengusakan bisnes kek.

Selepas tiga tahun, dia bersyukur apabila kedai keknya terus bertahan meskipun terjejas akibat pandemik Covid-19, selain mengusahakan bisnes secara dalam talian.

"Ada sebab saya kongsi video kedai kek terbakar di TikTok. Saya mahu mereka yang terkesan akibat pandemik sedia berdepan dengan dugaan dan cabaran masing-masing.

"Bisnes ada naik dan turun, memang sedih bila ada masalah atau rugi. Tapi biar sedih sekejap saja kerana kena cari alternatif untuk bangkit semula.

"Dalam berniaga kita jangan putus asa. Dengan usaha dan kerja keras, insyaAllah kita dimurahkan rezeki. Semoga perkongsian saya dapat memberi semangat kepada mereka yang terkesan dengan kerja atau bisnes pada masa ini," katanya yang kini mempunyai sebuah lagi kedai kek di Dungun.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain