suria

Pakcik berkopiah handal main ping pong di pusat kuarantin dapat perhatian... boleh jadi coach! - “Dua kakinya dimasukkan besi”

Bapa Nur Atikah yang berusia 76 tahun lincah bermain ping pong ketika ditempatkan di pusat kuarantin.

JIKA ditinjau rakaman-rakaman video dan perkongsian di laman sosial, penghuni pusat kuarantin berkongsi pelbagai ragam dan gelagat sepanjang berada di sana.

Antara aktiviti yang dilakukan termasuklah solat berjemaah, bersenam, menyanyi, bergurau senda dengan petugas barisan hadapan, bergotong royong dan sebagainya.

Mungkin ini merupakan sebahagian daripada cara mereka untuk melupakan kerinduan kepada keluarga dan juga mahu kekal positif di kala diri sedang melawan virus berbahaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dugaan... Aidilfitri hambar selepas bapa positif Covid-19 pada 1 Syawal, 7 yang lain menyusul tapi berpecah-pecah - “Tak sabar nak reunite dan raya sekali lagi”

ARTIKEL BERKAITAN: Menangis berdua dengan ibu... anak tunggal sebak kenang pemergian bapa akibat Covid-19, tiada lagi teman bergaduh manja

Baru-baru ini tular pula satu video di aplikasi TikTok memaparkan kelincahan seorang lelaki warga emas menunjukkan skil bermain ping pong dengan beberapa pesakit lain di pusat kuarantin.

Siapa sangka, lelaki yang sudah dikategorikan lanjut usia itu kelihatan cergas dan tenaganya setanding dengan orang muda!



Bapa Nur Atikah lincah bermain ping pong bersama pesakit Covid-19 yang lain ketika ditempatkan di pusat kuarantin.

"Ayah kuat! Covid fighter... seronok pula dia dekat sana. Adik rindu," demikian kapsyen yang ditulis pada video tersebut yang sehingga kini meraih lebih 151,000 jumlah tontonan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nur Atikah Arsat berkata video tersebut dimuat naik di aplikasi berkenaan bagi melepaskan rasa rindu kepada bapanya, Arsat Omar.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Sebenarnya video itu dirakam oleh seorang rakan saya... dia pun secara kebetulan ditempatkan di pusat kuarantin yang sama di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka.

"Jadi dia la yang share video ayah menerusi WhatsApp. Katanya, boleh dikatakan ayah setiap hari main ping pong. Ayah memang jenis tak reti duduk diam walaupun dah berusia 76 tahun. Dia lincah walaupun kedua-dua kaki dimasukkan besi kerana kemalangan dua tahun lalu.



Ibu dan bapa Nur Atikah merupakan bekas pesakit Covid-19.

"Lega apabila ada kawan di sana, saya selalu pesan kepadanya untuk tengok-tengokkan ayah dan mak. Mak di pusat kuarantin yang sama juga. Saya dan adik beradik memang hari-hari berhubung dengan mak ayah. Hilang sikit rasa risau di hati bila tahu mereka baik-baik sahaja," ujar wanita berusia 27 tahun ini.

Menurut Nur Atikah, kedua ibu bapanya juga sudah dibenarkan pulang dari pusat kuarantin pada Jumaat lalu.

Mengimbas kembali detik awal kedua ibu dan bapanya disahkan positif Covid-19, Nur Atikah berkata bapanya dijangkiti selepas beberapa jemaah masjid di kampungnya turut positif virus berkenaan.

Ayah memang jenis tak reti duduk diam walaupun dah berusia 76 tahun. Dia lincah walaupun kedua-dua kaki dimasukkan besi kerana kemalangan dua tahun lalu.

NUR ATIKAH ARSAT

ANAK

"Ayah merupakan bilal di Masjid Melaka Pindah... nak dijadikan cerita, nenek saudara saya yang tinggal di sebelah rumah ibu ayah jatuh sakit, dan mereka pergi melawat. Tak lama kemudian, nenek saudara disahkan positif.

"Ayah dan mak masa tu dah start demam dan batuk. Mereka buat ujian calitan dan keputusannya positif. Mereka kuarantin di rumah dahulu sebelum diambil untuk ke pusat kuarantin.



Bapa Nur Atikah melakukan sendiri proses sanitasi rumahnya selepas dibenarkan pulang dari pusat kuarantin, Jumaat lalu.

"Masa tu kami adik beradik memang risau... kami masing-masing tinggal jauh. Mak dan ayah tinggal berdua saja di Melaka Pindah. Mereka pula ada sejarah penyakit darah tinggi dan mak ada kencing manis sekali. Alhamdulillah kini kedua-duanya dah sihat," ujar anak ketiga daripada tiga adik beradik ini.

Tidak menyangka videonya meraih perhatian, Nur Atikah yang menetap di Port Dickson, Negeri Sembilan berkata dia terharu apabila membaca komen-komen netizen yang mendoakan kesihatan kedua orang tuanya.



Nur Atikah merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik kini menetap di Port Dickson.

"Kalau tengok dekat video tu, dia main dengan orang-orang muda. Ayah memang peramah... dia senang 'masuk' dengan sesiapa saja.

"Tapi ada juga komen lucu.... siap kata ayah boleh jadi coach ping pong. Ayah sebenarnya memang suka bersukan. Dia suka main badminton dan bola tampar. Kalau cucu-cucunya balik, memang riuhlah dia melayan bermain bola dan sebagainya," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain