SEPERTI dalam drama, begitulah reaksi seorang ibu yang berdepan detik cemas apabila menyedari anaknya yang baru dilahirkan tertukar dengan bayi orang lain. Kisah mengenai bayi tertukar itu menjadi tular apabila wanita berkenaan, Siti Suriani Wahiddin membuat perkongsian menerusi Facebook (FB) Live, Sabtu malam. Berkongsi pengalaman, wanita berusia 22 tahun itu mengakui pada mulanya tergamam berdepan detik mencemaskan itu yang membabitkan anak lelaki keduanya. ARTIKEL BERKAITAN: Bayi tertukar: Suami isteri terganggu emosi, sanggup selongkar sampah cari bukti sebab dah mula rasa sayang - "Tengok anak kami, teringat bayi satu lagi" "Saya tak tahu nak gambarkan macam mana. Sebelum ni kita tengok kat dalam drama je, tapi perkara ini terjadi pada diri sendiri. "Saya memang terkesima, terdiam, risau semua ada. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya bila dapat tahu anak yang saya pegang tu bukan anak saya. "Saya asyik fikir anak saya kat mana, dengan siapa, macam mana keadaan dia," katanya kepada mStar sambil menambah dia melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital di Shah Alam, kira-kira pukul 2.30 pagi pada 11 Jun. Siti Jamumall semasa di hospital. Lebih dikenali sebagai Siti Jamumall, dia hanya menyedari bayi itu bukan anaknya semasa suaminya mahu memotong tanda nama pada kaki bayi berkenaan selepas pulang ke rumah. "Saya discaj petang semalam (Sabtu), masa waktu Maghrib suami nak potong tag di kaki anak, ada nama wanita lain dan bukannya nama saya. "Nasib baik suami tengok dulu tag nama tu sebelum dia buang. Dia siap tanya kenapa nama ibu lain? Masa tu kami terus keliru, eh betul ke ini anak kami? "Kami ada ambil gambar anak selepas saya bersalin sebelum anak dibawa ke nurseri, tapi kami sedapkan hati sendiri mungkin muka bayi berubah," katanya sambil menambah tanda nama tersebut dipercayai merujuk kepada ibu kepada bayi yang dilahirkan pukul 3 petang 10 Jun. Saya memang terkesima, terdiam, risau semua ada. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya bila dapat tahu anak yang saya pegang tu bukan anak saya SITI JAMUMALL Menurut usahawan itu, dia dan suaminya menghubungi pihak hospital berhubung perkara itu sebelum bergegas ke hospital pada Sabtu malam dan kemudian mendapat pengesahan berlaku pertukaran bayi. "Setibanya di hospital, kami dibawa jumpa ibu bapa yang juga tertukar bayi dengan membawa pulang anak kami, bersama pihak hospital. "Bila kami dibawa jumpa dengan anak kami yang sebenar, saya tak tengok tag dah. Saya terus teringat muka anak saya yang pertama. Memang iras dengan wajah abang dia yang berusia setahun dan enam bulan," katanya. Siti Jamumall membuat laporan polis. foto FB Jamumall.com Bagi mendapatkan kepastian, suaminya yang juga berusia 22 tahun bertanyakan tentang corak penyusuan bayi berkenaan. "Soalan pertama suami tanya, betul tak anak susah nak minum susu dan muak sebab tahu perangai anak yang pertama pun macam tu. Dan bayi ni pun sama susah minum susu dan muak-muak. "Sebab masa mula-mula bawa balik bayi (anak orang lain) ke rumah, saya tertanya-tanya kenapa anak ni berlainan kerana kuat minum susu berbanding abangnya. Tapi masa tu fikir mungkin anak ada beza-beza," ujarnya. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Dalam pada itu, Siti Jamumall tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya apabila telah menyusukan kedua-dua bayi termasuk anak orang lain yang tertukar itu. "Bagaimanapun, saya amat bersyukur kerana dipertemukan dengan anak saya. Ada hikmah di sebaliknya. Tak jangka, mak saya pun ingatkan situasi macam ni berlaku dalam drama je. "Hari ni saya ke hospital semula untuk melakukan pemeriksaan kesihatan penuh terhadap anak memandangkan dia dibawa keluar dari hospital lebih awal dari sepatutnya. "Saya juga akan mendapatkan khidmat nasihat guaman dalam mempertimbangkan tindakan selanjutnya sebagai pengajaran," katanya yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Sementara itu, mStar telah menghubungi pasangan suami isteri yang berdepan insiden bayinya tertukar di sebuah hospital swasta di Shah Alam menerusi artikel berasingan. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram! TONTON VIDEO PILIHAN!