suria

Jejaka ini ‘kebal’ body shaming! Bangga ada bakat menari, belum terfikir nak kurus - “Saya sayang bentuk badan saya”

Saiz badan bukan penghalang untuk mengejar impian.

SEBUT sahaja tentang tarian, pasti terbayang dalam kotak fikiran individu yang berbadan kurus dan lincah sedang melakukan gerak tari berlatarkan muzik.

Namun tanggapan ini nampaknya sudah tidak relevan kerana ada juga individu yang berbadan gempal berani memilih untuk mengembangkan bakat mereka sebagai penari.

Nabil Izwan Norsaiful Adlan, 24, berkata sejak kecil lagi dia amat meminati bidang tarian walaupun pada awalnya berasa malu dan hanya menari di dalam biliknya sahaja.

Menginjak usia dewasa, Nabil Izwan memberanikan diri menyerlahkan bakatnya dalam bidang tarian dan juga persembahan teater.

ARTIKEL BERKAITAN: Pereka grafik balik kampung tolong keluarga jual sate, tak sangka main TikTok tambah rezeki - “Dulu mak ayah diperlekeh, bisnes tak kaya-kaya”

"Saya mula menari sejak di bangku sekolah lagi. Mula-mula segan kerana fizikal saya yang besar. Jadi saya hanya menari di dalam bilik sahaja.

get

Bael0n selesa menerima keadaan diri sendiri.

"Ceritanya bermula sejak saya memasuki Universiti Teknologi Mara dan mengambil jurusan teater. Sejak itulah saya mula belajar menari pelbagai jenis tarian tradisional, sekali gus menambahkan kemahiran dalam bidang tarian," cerita Nabil kepada mStar.

Mesra disapa sebagai Bael0n, jejaka yang baru sahaja menamatkan pengajiah peringkat ijazah dalam bidang Produksi Teater ini mengakui pada awalnya memang orang ramai agak sukar menerima situasi di mana lelaki bersaiz besar menjadi seorang penari.

"Ada satu masa tu macam-macam orang hina saya, semuanya berlaku ketika saya gemar berkongsi video tarian tradisonal bersama rakan-rakan yang lain di Instagram dan TikTok,

Ramai yang body shaming saya. Ada yang kata orang lain menari kurus, kau menari tak kurus-kurus pun. Tapi saya tak kisah. Saya hanya buat apa saya rasa gembira sahaja.

Nabil Izwan

GRADUAN UiTM

Selain bertindak mengecam, ada juga yang kagum dengan kebolehan yang dimiliki oleh pemuda yang berasal dari Bandar Baru Enstek ini.

"Tapi ada juga juga yang suka melihat saya menari tradisional. Mereka suka lihat persembahan saya bersama rakan-rakan yang saya selalu kongsikan di media sosial.

"Ramai yang puji saya boleh menari tradisional dengan baik dan ada yang sanggup minta buka kelas dan ajar mereka pula," kongsi Bael0n lagi.

get (2)Bael0n bersama rakan-rakan turut menerima undangan sebagai backup dancer.

Daripada tarian ke bidang nyanyian

Selain menerima tawaran melakukan video sebagai konten, Bael0n juga telah dirisik oleh pihak Sony Music Entertainment Malaysia dalam menjalinkan kerjasama untuk setiap acara mereka secara sepenuh masa.

"Bagai bulan jatuh ke riba. Tak sangka saya dapat bekerjasama bersama Sony. Mula-mulanya saya hanya bekerjasama menjadi penghibur dalam setiap event yang dianjurkan oleh mereka.

"Namun selepas itu pihak Sony menawarkan saya bernaung di bawah label mereka dan menghasilkan satu single yang bertajuk 'Gedik' pada Mac tahun lalu.

get (3)

Single Bael0n yang bertajuk Gedik di bawah label Sony Music Entertaiment Malaysia.

Jelas Bael0n, apa yang dilakukannya pada ketika ini banyak mengajarnya untuk menjadi lebih optimis dan menerima diri seadanya. Ditanya mengenai impiannya pada masa akan datang, anak bongsu daripada lima beradik ini ingin menjadi seorang penghibur yang versatil satu hari nanti.

"Saya sangat mengimpikan untuk menjadi seorang penghibur yang boleh mengharumkan nama Malaysia ke peringkat dunia. Saya juga nak menjadi inspirasi kepada mereka yang memiliki saiz badan seperti saya. Tiada apa yang perlu kita bimbang tentang diri kita," terang Bael0n.

Apabila ditanya mengenai perancangan untuk menurunkan berat badan, Bael0n hanya ketawa.

"Kalau saya kurus, orang dah tak kenallah saya nanti. Saya sayangkan bentuk badan saya. Jika satu hari nanti saya ingin menurunkan berat badan, ia hanyalah untuk tujuan kesihatan semata,"

Pesan Bael0n, jangan sesekali berasa rendah diri dengan bentuk badan sendiri dan jangan pernah mempedulikan kata-kata orang lain berkenaan diri kita.

"Body shaming ini tidak akan pernah berhenti namun saya fikir untuk tidak mengendahkannya,

"Hidup ni hanya sekali, kalau kita asyik dengar kata orang tentang diri kita, kita takkan ke depan,

"Usaha keras itu tidak akan pernah mengkhianati. Jangan pernah berhenti berusaha," pesannya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain