suria

Pelajar gembira ada zoo mini di rumah, terkenang rutin bapa baru sebulan dijemput Ilahi - “Tinggal di bandar, tak dapatlah bela haiwan-haiwan ni”

Foto kiri angsa dan itik yang dibela Najwan, foto kanan adik-adik Najwab bersama beberapa ekor lembu, manakala gambar kecil menunjukkan Najwan dengan arnab belaannya.

SESIAPA saja pasti terpesona mendengar kicauan burung, ayam berkokok termasuk bunyi bising angsa seperti yang sering didengar di kampung-kampung.

Suasana yang mengasyikkan itu dirasai oleh seorang pemuda di mana rumahnya dikelilingi pelbagai jenis haiwan, ibarat sebuah zoo mini.

"Orang kata rumah aku macam mini zoo!" tulisnya menerusi video di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu segak di awan biru, kini kandang jadi tempat bermain! Lelaki ini buktikan 'pramugara tak lembik' - "Bergelumang najis, bau busuk perkara biasa"

ARTIKEL BERKAITAN: Digelar 'Mowgli Malaysia', Syukur impi miliki zoo sendiri

Pemuda berkenaan, Muhammad Safiy Najwan Saffuat memberitahu, dia menetap di rumah kampung bersama keluarganya di Jasin, Melaka.

Anak muda berusia 19 tahun itu berkata, kesemua haiwan itu dibela oleh arwah bapanya yang baru meninggal pada usia 42 tahun pada 2 Jun lalu akibat penyakit darah tinggi.

"Ayah dulu buat kerja-kerja kampung dan bela kebanyakan haiwan ini bagi menyara kehidupan keluarga. Bila ayah meninggal dunia, kami sekeluarga mengendalikannya.

"Rumah kami dikelilingi ayam, ayam belanda, itik, angsa, arnab pelbagai jenis ikan dan burung, serta lembu termasuk kucing," katanya kepada mStar.

zoo mini 1

Sekumpulan ayam, itik dan angsa di luar rumah Najwan.

Lebih mesra disapa Najwan, katanya, kesemua haiwan berkenaan dibela di sangkar dan kandang di sekeliling rumahnya di Kampung Kesang Luar di Jasin.

"Ayah memang bela lembu untuk dijual dagingnya. Sekarang ni ada kira-kira 45 ekor lembu. Biasanya saya akan lepaskan lembu-lembu ni tengah hari untuk makan dan bawa masuk ke kandang pada sebelah petang.

"Rutin harian saya juga seawal pukul 8 pagi setiap hari akan bagi makan kat haiwan-haiwan lain seperti ayam, itik dan angsa. Haiwan kesukaan saya adalah arnab, memang dibela sejak kecil lagi," katanya sambil menambah terdapat lebih 20 ekor arnab dibela keluarganya.

Tambah Najwan, antara lain yang diternak keluarganya adalah lebih 100 ekor ayam, 20 burung, lebih 10 itik, enam angsa dan tiga kucing.

zoo mini 2

Antara yang dibela Najwab sekeluarga adalah burung (kiri) dan ayam.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, selain dia dan ibunya yang merupakan suri rumah sepenuh masa, haiwan ternakan mereka turut dijaga oleh adik-adiknya.

Dalam pada itu, Najwan mengakui 'zoo mini' di rumahnya sebelum ini menjadi perhatian ramai dan sering dikunjungi rakan-rakan dan saudara-maranya.

Kalau saya tinggal di di bandar, tak dapatlah bela haiwan-haiwan ni. Cabaran saya di kampung pula perlu bijak menguruskan masa untuk pastikan semua haiwan dijaga dan diberi makan

NAJWAN

"Sekarang pula PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), memang kena berada di rumah kalau tiada urusan penting di luar. Jadi taklah bosan sebab ada haiwan-haiwan ni untuk dijaga.

"Kalau saya tinggal di bandar, memang tak dapatlah nak bela haiwan-haiwan ni. Cabaran saya di kampung pula perlu bijak menguruskan masa untuk pastikan semua haiwan diaga dan diberi makan dengan baik," katanya.

zoo mini 3

Foto kiri sekumpulan arnab, manakala foto kanan sekumpulan lembu di rumah Najwan.

Pelajar Diploma Sains di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu bagaimanapun terkenangkan sewaktu arwah bapanya menjaga haiwan-haiwan ternakan.

"Ayah paling suka jaga lembu-lembu. Rutin dia sama macam yang saya lakukan sekarang, tengah hari lepaskan lembu-lembu untuk makan dan petang jemput bawa masuk kandang.

"Saya dan ibu bercadang untuk menambah lagi haiwan ternakan di kawasan rumah iaitu kambing. Sebelum ini kami ada bela kambing, tapi ayah jual kambing-kambing untuk tambahkan jumlah ternakan lembu.

"Dulu ada kira-kira 18 kambing. Jadi kami berhasrat untuk jaga kambing semula seperti dulu, sebagaimana semua haiwan-haiwan yang dijaga dengan baik oleh arwah ayah," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain