suria

Hanya ada foto dan alamat, anak usaha cari bapa kandung terpisah 22 tahun kerana satu mimpi - “Bila terjaga, saya menangis betul rupa-rupanya”

Yani mencari bapa kandungnya (gambar kanan) yang terpisah selama 22 tahun.

SELAMA 22 tahun tiada khabar berita!

Demikian penantian seorang wanita ini yang mengharapkan untuk bertemu semula dengan bapa kandungnya yang 'hilang' sewaktu usianya tiga tahun.

Membuat hebahan di Twitter sebagai satu usaha dalam misi pencariannya, ciapan Sri Moryani Kaniseh Supri ini mengundang perhatian ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ditinggalkan sejak usia 6 bulan harapkan ‘hadiah’ bermakna di hari bahagia, tak pernah putus asa mencari... - “Pulanglah demi nenek”

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak cari adik dan ayah... hanya ‘berbekalkan’ nama Abdullah - “Kami sikit pun tak pernah dicium, dibelai oleh ibu bapa kandung”

"Saya mencari ayah kandung saya yang bernama Supri Bin Sarno. Dia warganegara Indonesia. Saya terpisah dengan dia sewaktu umur saya tiga tahun dan sekarang umur saya 25 tahun.Saya tidak tahu keberadaaan dia sama ada ada di Malaysia ataupun di Indonesia," demikian ciapan wanita yang senang disapa sebagai Yani ini.

Sehingga kini ciapannya meraih lebih daripada 18,000 retweet selain dibanjiri dengan komen netizen yang turut sama berusaha mahu membantu misi pencariannya.

Berkongsi cerita dengan mStar, Yani berkata bapanya, Supri Sarno, hilang tanpa khabar berita tidak lama selepas ibunya meninggal dunia.

ALAMAT AYAH

Surat yang dikirim oleh ayah kandung Yani yang masih disimpan hingga kini.

"Dulu ibu dan ayah duduk Ipoh, Perak. Kemudian masa umur tiga tahun, ibu meninggal dunia dan saya dipelihara oleh makcik, iaitu adik kepada arwah ibu di Ijok, Kuala Selangor.

"Ayah ada beberapa kali menjenguk saya ketika di bawah jagaan makcik yang saya panggil mak. Namun kemudian dia tidak lagi berbuat demikian sehinggalah sekarang... dah hampir 22 tahun lamanya," katanya.

Menurut Yani, bapa saudaranya memberitahu bapanya ada mengutuskan sepucuk surat ketika itu, yang memaklumkan keberadaannya di kampung halaman di Indonesia dan kesulitan yang dihadapi untuk pulang semula ke Malaysia.

MAK AYAH ANGKAT

Ibu dan bapa saudara yang memelihara Yani seperti anak kandung sendiri.

"Ayah meminta bantuan untuk bapa saudara saya tolong pindahkan wang miliknya dalam akaun bank. Wang itu mahu digunakan untuk dia kembali ke Malaysia.

"Bapa saudara saya kemudian mengutuskan surat sebagai balasan kepadanya. Tapi langsung tiada balasan dah selepas itu... tak tahu sama ada surat itu sampai ke tangan ayah, atau apa statusnya.

"Jadi hanya alamat pada surat yang dikirim ayah, dan sekeping gambarnya sahaja yang saya ada sebagai rujukan ketika ini untuk mencarinya, " kata Yani yang juga graduan dalam jurusan logistik dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Selangor.

FAMILI ANGKAT

Hubungan Yani dengan adik beradik angkat yang juga sepupunya begitu rapat.

Bercerita lebih lanjut, Yani berkata dia sebenarnya sudah lama berhasrat untuk mencari bapa kandungnya namun baru ketika ini mempunyai kekuatan untuk berbuat demikian.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Sejak kebelakangan ini saya kerap baca artikel mengenai situasi pandemik di Malaysia dan Indonesia yang teruk terjejas. Jadi saya terfikir, bagaimana jika saya tak berpeluang lagi jumpa ayah jika sesuatu berlaku.

"Saya juga ada pernah bermimpi dapat bertemu dengan ayah baru-baru ini. Dalam mimpi tu ayah diam saja. Saya menangis dan bila tersedar dari tidur, memang saya menangis betul rupa-rupanya.

Jika ada peluang bertemu, saya nak luahkan isi hati saya dan saya juga nak dengar isi hatinya.

YANI

"Itulah kali pertama saya bermimpi bertemunya sepanjang 22 tahun ini. Saya ceritakan kepada makcik, dia dia beritahu mungkin ayah merindui saya. Dia serahkan kepada saya untuk tindakan seterusnya... sebab itu hati saya tergerak untuk cari ayah," katanya.

Tidak menyangka perkongsiannya tular, Yani meluahkan rasa bersyukur yang tidak terhingga kerana mendapat maklum balas yang positif daripada netizen.

"Tak sangka netizen bersungguh-sungguh mahu bantu saya. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada mereka.

GRAD

Yani merupakan graduan jurusan Logistik daripada sebuah IPTS.

"Sudah tentu harapan saya adalah dapat peluang bertemu dengan ayah. Jika ada peluang bertemu, saya nak luahkan isi hati saya dan saya juga nak dengar isi hatinya... kenapa tak cari saya sedangkan kami tak pernah berpindah dari dulu.

"Mungkin ketika itu ayah berdepan dengan situasi yang tak dijangka... kita tak tahu struggle yang dihadapi setiap orang.

"Di mana saja ayah berada, saya doakan agar ayah panjang umur, diberikan kesihatan yang baik agar kami dapat bertemu juga satu hari nanti, " katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain