suria

Gadis kacukan Melayu-Korea ini bikin ramai keliru, nama penuhnya jadi persoalan rakan dan abang rider - “Sampai nak tengok kad pengenalan”

Hannah berkongsi kisah mengenai ibu dan bapanya di aplikasi TikTok.

MELIHAT kepada raut wajahnya yang berkulit cerah dan bermata sedikit sepet, pasti ramai yang menyangka gadis ini mempunyai darah kacukan Cina.

Tidak kurang juga ada yang menyangka dia merupakan seorang saudara baru atau mualaf.

Itulah tanggapan yang sering diterima tatkala pertama kali bersua muka dengan orang yang tidak dikenalinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mix Filipina, bukan juga keturunan Melayu Borneo! Gadis ini buat ramai terkejut selepas dedah identiti diri

ARTIKEL BERKAITAN: Calon SPM bangga berdarah kacukan Jepun walau ada pertikai wajahnya ‘Melayu habis’ - “Takkan muka kena setepek macam anime?”

Namun hakikatnya gadis ini mempunyai darah kacukan Korea di sebelah bapanya.

Berkongsi cerita dengan mStar, Han Hannah Jae Sung Han berkata bapanya sememangnya berasal dari Korea Selatan sebelum berhijrah ke Malaysia selepas berkenalan dan mengahwini ibunya pada 1994.

"Ayah saya berasal dari Incheon. Ayah dan ibu bertemu kerana ayah mempunyai urusan berkaitan perniagaannya di Malaysia dan dia juga perlu belajar bahasa Melayu.

"Kebetulan ibu saya merupakan seorang guru tuisyen bahasa Melayu jadi ayah saya nak belajar dengan ibu. Ibu pada mulanya menolak, tapi ayah tak putus asa sampai ibu rimas. Dia tolak sebab tak selesa dan takut juga kot sebab 'foreigner'.

"Banyak kali ayah approach sampai pekerjanya merayu pada ibu... dan akhirnya ibu terima. Dalam dua minggu ayah belajar dengan ibu, dia dah boleh faham dan cakap Melayu... sampai tidur pun dengan kamus.

"Selesai urusan, ayah pulang semula ke Korea... sebelum balik, ayah beritahu ibu yang dia akan datang lagi. Ibu tak berharap pun. Namun dua bulan kemudian, ayah datang semula ke Malaysia dan masa itulah dia beritahu niatnya untuk jalin hubungan ke fasa seterusnya," cerita gadis berusia 21 tahun ini.

korea baru 2

Bapa Hannah berasal dari Incheon, Korea Selatan.

Menurutnya yang senang disapa sebagai Hannah, selepas kedua-dua buah keluarga memberi 'lampu hijau', bapanya terus memeluk Islam dan mengahwini ibunya seterusnya menetap di Malaysia.

Bercerita mengenai adik beradiknya, Hannah yang merupakan anak kelima daripada tujuh bersaudara berkata, wajah mereka sememangnya ada iras bapa kecuali adik bongsu yang sedikit kemelayuan.

"Kalau bahasa pertuturan di rumah, ayah banyak cakap Korea bercampur bahasa Melayu. Saya tak fasih tapi bolehlah 'tangkap' sikit-sikit tapi abang dan kakak boleh membaca dan bertutur bahasa Korea. InsyaAllah saya memang berniat nak belajar cuma sekarang ni ada kekangan masa.

korea baru 1

Hannah (kanan, bawah) bersama adik beradik perempuan yang memiliki wajah iras bapa mereka.

"Kalau bab makanan, memang dekat rumah ni ibu akan masak masakan Korea sebab ayah tak boleh 'masuk' makanan Melayu. Kadang-kadang campur lauk Melayu dan Korea. Kalau masakan Korea, memang wajib ada sup.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Ibu memang pandai masak masakan Korea sebab ayah yang ajar. Kimchi, Bibimbap, Gimbap tu memang biasa makan. Orang lain pergi restoran Korea, kami makan dekat rumah je," ujarnya berseloroh.

Hannah turut berkongsi insiden lucu yang pernah dialaminya gara-gara mempunyai nama ala-ala Korea.

Ibu memang pandai masak masakan Korea sebab ayah yang ajar. Kimchi, Bibimbap, Gimbap tu memang biasa makan.

HANNAH

"Pernah masa buat tugasan berkumpulan (group assignment), ada kawan hairan tengok nama saya dan mereka fikir saya saja-saja letak nama atau peminat K-pop. Bila beritahu, mereka mulanya tak percaya sampai nak tengok kad pengenalan.

"Ada juga orang yang confident bercakap bahasa Cina dengan saya sebab ingat saya berketurunan Cina.

"Kalau order makanan online, rider yang call nak hantar makanan mesti sempat berjenaka sebab ingat saya saja-saja letak nama," ceritanya yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Sumber Manusia di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Shah Alam, Selangor.

korea baru 3

Abang-abang Hannah juga memiliki raut wajah persis jejaka Korea.

Tidak menyangka perkongsiannya menarik perhatian ramai, Hannah berkata dia memuat naik video berkenaan sekadar suka-suka selepas mendapat pertanyaan daripada kenalan di aplikasi tersebut.

"Tak sangka ramai teruja nak nak tahu lebih lanjut lagi kisah ibu dan ayah, dan adik beradik saya. InsyaAllah saya akan cuba muat naik video lain pula nanti," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain