suria

Gara-gara sado, nampak muda lelaki ini kena menjawab dengan polis lalu ‘fast lane’ di PPV - “Dulu orang panggil pakcik, sekarang abang”

Foto kiri Nass berisi pada 2012, foto tengah Nass bersenam di gim dan foto kanan penampilan terkini Nass.

SIAPA sangka pada usianya yang kini dikategorikan sebagai warga emas, namun penampilan lelaki ini tidak seiring umurnya.

Video transformasinya di aplikasi TikTok dengan badan yang tegap dan berotot menjadi perhatian, sehingga ramai tertanya-tanya berapakah umur sebenarnya.

Lelaki berkenaan, Nasarudin Sulaiman tampil mendedahkan dia dilahirkan pada 1961 dan usianya genap 60 tahun pada Januari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara patah kaki, kini berbadan sado... pemuda berhabis ribuan ringgit 'buka' gim di bilik, asalkan tak kacau abang tidur!

ARTIKEL BERKAITAN: Gemuk, kurus dan kini sado! Lelaki buat transformasi 'Bang Jago' dedah kisah isteri menangis ketika urut kakinya

Pesara kerajaan itu berkata, dia sebenarnya mula bersenam pada umurnya lewat 40-an tetapi ‘tidak menjadi’ disebabkan tidak menjaga pemakanan.

"Selama ni tak jaga makan, sia-sia kerja keras selama ni. Masa tu badan naik jadi berisi dengan berat badan 82 kilogram (kg), orang kata gemuk.

"Saya buat perubahan drastik, tak makan nasi dan makanan karbohidrat selama enam bulan sampai berat turun kepada 68kg, tapi saya dikata macam orang sakit," katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Nass, katanya, pada usianya 53 tahun dia mula rajin memasuki gim dan mengikuti laman YouTube mengenai senaman termasuk mengikuti tip pemakanan daripada bekas jaguh bina badan negara, Sazali Samad di laman Instagram.

pakcik sado 4

Penampilan Nass sebelum bersenam dan menjaga pemakanan.

"Selain tanya rakan-rakan di gim, saya juga curi-curi tengok personal trainer (jurulatih peribadi) melatih klien mereka.

"Selepas enam bulan workout, berat badan saya naik kepada 72kg, dan naik sikit-sikit kepada 80kg. Walaupun berat hampir sama, tapi bezanya dulu saya berbadan gempal, tapi sekarang lebih kepada berotot," ujarnya yang berasal dari Sendayan, Negeri Sembilan.

pakcik sado 5

Nass melakukan senaman.

Selain melakukan senaman di gim seperti mengangkat berat, anak keenam daripada 12 adik-beradik itu turut mengamalkan pemakanan sihat dan mengambil suplemen.

"Biasanya saya sarapan sebelum Subuh, pukul 5.30 pagi dah makan. Masih makan nasi untuk tengah hari dan malam tapi hanya segenggam.

Saya berjiwa muda. Teringin nak pakai baju fit, nampak bicep dan tricep. Lantak orang nak kata apa, badan fit ni tak mengira usia.

NASS

"Lauk pula sama ada sup ikan, atau ikan mahupun ayam bakar berserta sayur. Snek petang saya keledek rebus, tempe goreng atau buah-buhan.

"Saya juga akan pastikan makan malam awal pada waktu petang. Malam tak makan, lagipun saya biasa tidur seawal pukul 10 malam," katanya sambil menambah rutin senamannya sama ada di gim atau di rumah adalah lima kali seminggu.

pakcik sado 2

Perubahan pada bentuk badan Nass selepas bersenam.

Nass mengakui dia mahu kelihatan kemas dengan penampilan bergaya seperti kebanyakan orang muda, pada masa sama memiliki bentuk badan menarik.

"Saya berjiwa muda. Teringin nak pakai baju fit, nampak bicep dan tricep. Jadi saya kena fit dengan bersenam dan jaga makan.

"Lantak orang nak kata apa, badan fit ni tak mengira usia. Dulu masa badan saya gemuk, orang panggil saya pakcik tu perkara biasa,” tambahnya.

Mempunyai rambut beruban, badannya yang gempal membuatkan ramai terutama anak-anak muda sebelum ini menyangka dirinya lebih tua daripada usia sebenar.

pakcik sado 3

Penampilan terkini Nass sewaktu menerima dos pertama dan kedua vaksin Covid-19, baru-baru ini.

"Ada budak-budak muda bagi saya tempat duduk masa naik LRT. Dengan rambut saya beruban dan badan pun berisi, mereka panggil saya pakcik... dua kali saya kena macam ni, tapi saya respek dengan mereka kerana menghormati orang tua.

"Bila dah sado sekarang, saya tetap ditegur anak-anak muda. Tapi kali ini dipanggil abang, siap tanya umur saya berapa sebab mereka tengok badan saya macam kaki gim.

"Baru-baru ini saya nak ambil vaksin di PPV (pusat pemberian vaksin), tapi orang ramai beratur panjang. Jadi saya gunakan laluan warga emas sebab kosong, tak ada orang.

"Mulanya seorang anggota polis wanita pandang saya atas bawah sebab guna lorong warga emas, kemudian dua anggota polis lelaki pula tanya apa tip saya dapat badan sado.

"Nak ada badan fit ni tak kira umur, tapi kena ada minat, semangat dan kena istiqamah serta konsisten. Kena tabah dengan cabaran, seperti saya terpaksa melupakan mi goreng mamak dan teh tarik kesukaan saya... hanya makan bila cheat meal," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain