suria

Gadis rajin kongsi video tip berfesyen ‘cantik tapi murah’, cuma dah jarang guna suara sendiri sebab netizen kata ‘macam kartun’

Hani banyak berkongsi video mengenai petua penggayaan fesyen di TikTok.

BUKAN harga yang menjadi ukuran, sebaliknya kita perlu tahu cara yang betul untuk menggayakan pakaian.

Begitulah pesan ringkas wanita berusia 21 tahun ini yang banyak berkongsi petua penggayaan fesyen sehingga meraih lebih 40,000 pengikut di TikTok.

Menurut Hanisha Jaafar, dia mendapat ilham untuk berkongsi sedikit ilmu berkaitan fesyen memandangkan dirinya juga sering berhadapan dilema dalam memilih pakaian.

ARTIKEL BERKAITAN: Fesyen ke ofis jadi rujukan, video catwalk raih jutaan tontonan! Ibu 3 anak gembira beri inspirasi, tapi enggan jawab ‘soalan paling ramai orang tanya’

ARTIKEL BERKAITAN: Selesa jadi ‘tukang jahit biasa’ walau hasil jahitan luar biasa! Lelaki ini kongsi kisah ditentang belajar fesyen, bawa mak ayah naik pentas selepas berjaya

"Dulu saya tak selesa dengan penampilan sendiri. Kemudian saya mula buat rujukan di internet, melalui Pinterest.

"Kemudian saya mula beli baju di Shopee sebab tak boleh keluar kerana pandemik Covid-19.

"Saya secara suka-suka buat video outfit of the day (OOTD). Tak sangka viral dan ramai mula bertanya. Jadi saya pun teruskan perkongsian di TikTok," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Hani, dia yakin setiap individu ada pilihan tersendiri, namun jenama dan harga tidak pernah menjadi keutamaannya.

hani4

Antara video yang dikongsi di TikTok.

"Setiap orang ada citarasa masing-masing. Kalau ada duit lebih, tak salah beli pakaian berjenama mahal.

"Tapi pada saya, saya tak kisah pakai apa saja asalkan selesa dan sopan serta tak perlu keluar banyak duit.

Saya tak nak susahkan mak abah untuk bayar yuran. Sebab itu saya teruskan bisnes.

HANI

"Saya beli baju biasa saja, saya juga beli baju bundle untuk support perniagaan lokal. Yang penting kena tahu mix and match dan pandai main warna.

"Yang murah pun boleh nampak cantik sebenarnya. Kalau ada duit lebih, tak apa... itu pilihan masing-masing," jelasnya lagi.

Menurut anak keeenam daripada tujuh beradik itu, dia juga sering menerima usikan mengenai suaranya setiap kali menghasilkan video tutorial di TikTok.

Tak pernah berkecil hati, Hani juga bersedia menerima teguran di aplikasi itu jika ia disampaikan dengan cara berhemah.

hani1

Hani terhibur apabila netizen menegur suaranya yang disamakan dengan watak kartun.

"Sebenarnya ada orang kata suara saya macam kartun Upin dan Ipin. Saya anggap sebagai gurauan saja. Saya pun terhibur.

"Disebabkan itu juga, saya jarang guna suara sendiri dalam video. Bukan tak yakin, cuma kelakar bila dapat komen macam tu.

"Tapi kalau orang bagi teguran, saya terima dengan hati terbuka. Kalau orang tegur seluar ketat misalnya, saya akan cuba labuhkan baju.

"Pada saya, bertudung bukan penghalang untuk bergaya. Cuma kita kena pandai gayakan dan yakin. Yang penting menutup aurat," ujarnya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.

hani3

Hani merupakan pelajar bidang Pengurusan Perniagaan.

Kini menetap di Ampang, Hani merupakan penuntut tahun akhir jurusan Pengurusan Perniagaan di Universiti Tun Abdul Razak.

Enggan menyusahkan kedua ibu bapanya, Hani mula menjalankan perniagaan tudung demi menampung kos pengajian sejak pandemik melanda tahun lalu.

"Saya nak cari duit lebih. Selain berkongsi pengetahuan fesyen, saya juga berniaga melalui TikTok. Alhamdulillah, sejak dua bulan lepas, saya dapat ramai pelanggan dari TikTok.

"Saya tak nak susahkan mak abah untuk bayar yuran. Sebab itu saya teruskan bisnes. Ini masa untuk saya bagi pada mereka pula," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain