suria

Pemuda ini puas hati dapat lepas gian travel ke ‘Bali’! Balik kerja, ambil tilam dan campak tepi kolam ikan mak... santai habis

Video Hisham 'melepas gian' dalam kolam ikan ibunya menjadi tular di TikTok.

SITUASI pandemik Covid-19 yang masih belum reda di seluruh dunia menyaksikan kebanyakan negara masih belum membuka pintu sempadan sepenuhnya kerana bimbang dengan penularan virus berkenaan.

Begitu juga Malaysia yang sehingga kini masih tidak membenarkan aktiviti pelancongan domestik dan antarabangsa berikutan kes harian yang dicatatkan masih tinggi.

Sudah tentu perkara ini membuatkan ramai yang terlalu rindu untuk melancong, lebih-lebih lagi 'kaki travel'.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki si gadis desa! Gagau punya gagau, dapat habuan haruan besar lengan... video raih jutaan views di TikTok - “Pernah je kena sengat...”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Subang ‘terperangkap’ di kampung bikin ramai cemburu, tak tahan rindu pulang ke desa - “Gagau ikan salah satu aktiviti wajib”

Gara-gara kerana terlalu lama terperap di rumah, ada yang terlebih kreatif mencipta suasana ala percutian untuk menghilangkan rasa bosan sebagaimana dilakukan pemuda ini.

Menggunakan tilam angin, pemuda ini selamba bersantai di kolam ikan milik ibunya yang terletak di sebelah rumah.

"Rindu nak travel sangat-sangat ni. Kolam ikan mak pun jadi la. Bali versi Perlis," demikian kapsyen yang ditulis pada video yang dimuat naik di TikTok.

Menurut Hasrul Hisham Hashim, 33, dia sememangnya seorang 'kaki travel' dan kerap bercuti bersama rakan-rakan ke luar negara untuk melakukan aktiviti mendaki gunung (hiking) sebelum pandemik Covid-19 bermula.

santai bali 1

Hisham sering berkongsi video pemandangan dan masakan kampung di TikTok.

"Negara yang pernah dikunjungi adalah Indonesia, China, India dan Thailand. Saya sememangnya gemar melakukan aktiviti hiking di negara yang dikunjungi.

"Kali terakhir travel ke luar negara adalah pada Mac tahun lepas. Saya ke Hatyai, Thailand. Masa tu dah ada kes Covid-19 tapi masih rendah.

"Nak dijadikan cerita, saya sempat pulang betul-betul sehari sebelum kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac. Tapi mujurlah dekat saja dari kampung halaman di Perlis. Hanya sekitar 45 minit menaiki kereta api," katanya yang senang disapa sebagai Hisham.

santai bali 2

Di sebalik tabir proses pembikinan video.

Bercerita mengenai videonya bersantai di kolam ikan yang mengundang perhatian ramai, Hisham berkata dia sekadar suka-suka memuat naik di TikTok memandangkan sering membuat perkongsian mengenai pemandangan cantik di kampungnya.

"Hari itu kebetulan baru balik kerja... sajalah nak hilangkan tekanan. Tengok ada tilam angin, saya pun ambil dan terus campak dalam kolam ikan mak... kononnya ala-ala di Bali sebab ada sawah padi sekali.

santai bali 3

Hisham mengambil keputusan untuk menetap di kampung dan menjaga ibunya sejak bapa tirinya meninggal dunia pada 2014.

"Seronok bila dongak tengok langit sambil angin petang bertiup... sekurang-kurangnya bukan saja dapat hilangkan penat bekerja tapi hilangkan juga rasa rindu nak travel.

"Kalau nak tahu, itu adalah video ke-80 yang saya kongsi di TikTok... tak sangka ramai yang tengok. Itulah video pertama saya yang viral," ujar pemuda ini sambil berseloroh.

Sehingga kini video berkenaan meraih lebih daripada 40,000 jumlah tontonan.

Kalau nak tahu, itu adalah video ke-80 yang saya kongsi di TikTok... tak sangka ramai yang tengok.

HASRUL HISHAM HASHIM

Bercerita lebih lanjut, pemuda yang menetap di Kampung Permatang Keriang, Sanglang, Perlis ini berkata dia gemar berkongsi keindahan pemandangan di kampungnya serta menu masakan kampung untuk dijadikan sebagai content di TikTok.

"Sebelum ini saya bekerja di Terengganu dalam bidang perhotelan namun mengambil keputusan pulang ke Perlis untuk menjaga dan menemani ibu selepas ayah tiri meninggal dunia pada 2014.

santai bali 4

Aktiviti hiking ketika berkunjung ke Indonesia.

"Di Perlis, saya bekerja di Hotel Seri Malaysia Kangar dan kini dah tujuh tahun berkhidmat. Sambil-sambil ada di kampung, saya kongsi tempat menarik, aktiviti masa lapang dan menu kampung.

"Mak yang masak menu-menu ni semua. Bila kongsi menu kampung, ramai yang suka tengok lebih-lebih lagi setting pemandangan sawah padi dan kolam ikan tepi rumah ni sebagai latar belakang.

santai bali 5

Menawan puncak Gunung Prau.

"Ramai yang komen cakap video-video saya mengubati kerinduan mereka kepada kampung halaman masing-masing. Siap minta saya share banyak lagi video macam ni. Seronok baca komen mereka.

"Kalau boleh, saya nak kongsi banyak lagi tempat menarik di sini tapi kes makin naik pula. Insya-Allah bila kes makin pulih, saya cuba kongsi," ujar anak bongsu daripada lima adik beradik ini lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain