suria

Remaja jalan kaki 5km ke tempat kerja, bos baru peluk Islam akui nikmat sedekah selepas hadiahkan basikal untuknya - “Dia ibarat ketua keluarga”

Rinie dan suaminya menghadiahkan pekerja mereka sebuah basikal bagi memudahkan pergerakannya.

"TIDAK akan miskin seseorang apabila bersedekah."

Itulah kata-kata yang dipegang oleh wanita ini yang tidak lokek untuk berbahagi rezeki dengan orang lain.

Video yang dimuat naik di aplikasi TikTok menunjukkan dia menghadiahkan basikal untuk kemudahan salah seorang pekerjanya, mengundang pujian daripada warganet.

ARTIKEL BERKAITAN: Gigih jadi Pink Walker! Mula-mula jalan kaki hantar makanan, kini naik basikal... nak beli motor tak lama lagi - “Dia tolak wang, apa yang diterima dah cukup”

ARTIKEL BERKAITAN: Bagi kucing makan hari ini, esok dapat 2 tawaran kerja... Jejaka ini sungguh terkejut!

"Tiap hari dia berjalan kaki dari rumahnya untuk bekerja di kedai kami yang agak jauh juga kalau tak guna kenderaan. Hatiku tersentuh dan saya segera ke kedai basikal dan membelikan untuk kemudahannya bekerja di kedai," tulisnya pada perkongsian video tersebut.

Menurut Rinie Muji, pekerjanya yang bernama Amri atau mesra disapa sebagai Dadu sudah bekerja di kedai runcit miliknya yang terletak di Taman Aman Jaya 3, Lahad Datu, Sabah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0).

"Masa itu saya dan suami baru saja buka kedai runcit ini. Suatu hari, seorang wanita datang nak beli beras. Dia bertanya sama ada kami memerlukan pekerja.

"Mula-mula keberatan juga sebab kami pun baru beroperasi. Namun malam itu saya dan suami berbincang. Kami fikir mungkin dia orang susah yang memerlukan pendapatan, jadi kami buat keputusan untuk ambil seorang pekerja.

"Saya terus hubungi wanita tersebut dan minta anaknya yang mahu bekerja tu supaya datang ke kedai keesokan hari," ujarnya.

basikal baru 3

Aktiviti makan bersama pekerja menjadi aktiviti wajib pada setiap hujung minggu.

Menurut wanita berusia 40 tahun ini, Amri sememangnya berasal dari sebuah keluarga yang susah di mana hanya dia dan seorang lagi adiknya yang bekerja untuk menyara ibu dan adik-adiknya yang masih kecil.

"Amri baharu saja berusia 15 tahun tapi dia ibarat ketua keluarga dan abang kepada adik-adiknya. Dia mempunyai dua kakak dan seorang abang yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

"Ibunya tak dapat keluar bekerja kerana perlu menjaga adik beradiknya yang OKU itu serta adik-adik lain yang kecil. Saya tak pasti mengenai bapa Amri, namun ibunya sudah lama membesarkan anak-anak bersendirian.

basikal baru 2

Rinie dan suaminya membuka perniagaan kedai runcit sejak Januari lalu.

"Saya bangga kerana Amri ni seorang yang rajin dan patuh walaupun sedikit pemalu dan pendiam. Hari-hari datang bekerja berjalan kaki dari rumahnya yang sejauh lima kilometer dari kedai. Apabila habis bekerja, saya atau ibu mentua akan hantarnya pulang.

"Kasihan dan dalam masa sama nak menghargai Amri, kami suami isteri berpakat hadiahkan sebuah basikal untuk kemudahannya. Gembira bukan kepalang bila dia dapat kejutan... tapi dia segan sebab rasa ia hadiah yang mahal. Tak lekang ucapan terima kasih daripada mulutnya," ujar Rinie yang juga seorang saudara baharu.

Menurut Rinie yang juga seorang kakitangan awam, dia menganggap Amri dan seorang lagi pekerjanya seperti ahli keluarga sendiri, malah mereka akan meluangkan masa untuk makan bersama-sama setiap hujung minggu.

Gembira bukan kepalang bila dia dapat kejutan... tapi dia segan sebab rasa ia hadiah yang mahal.

RINIE MUJI

Tidak menyangka perkongsian videonya menjadi tular, Rinie menegaskan niatnya bukan untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya mengharapkan agar ia sedikit sebanyak dapat memberi mesej positif kepada orang lain.

"Saya banyak kali juga fikir sebelum kongsi. Tapi bagi saya, mungkin ia boleh beri contoh kepada orang lain. Syukur, selepas viral, ada yang siap sumbang helmet dan barangan lain kepada Amri.

basikal baru 1

Anak-anak dan ibu mentua Rinie turut meluangkan masa membantunya di kedai runcit tersebut.

"Malah nasib keluarganya turut menjadi perhatian sebuah badan bukan kerajaan. Selain itu, ada hamba Allah mendermakan wang dan minta supaya kedai kami ni menyediakan kotak bantuan makanan untuk orang yang memerlukan. Alhamdulillah, inilah hikmah bersedekah.

"Moga-moga video ini membuka hati ramai untuk sama-sama berbahagi rezeki kerana ramai yang terkesan sejak pandemik. Janganlah sesekali kita takut untuk bersedekah," katanya lagi.

Sehingga kini video yang dimuat naik oleh Rinie meraih melebihi 780,000 jumlah tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain