suria

Gadis ini ‘tiada masalah’ wajahnya dikata iras Sari Yanti, patutlah ayu... rupa-rupanya pegang gelaran Ratu Lepa 2019

Wawa anggun memakai busana tradisional Bajau. foto masarekastudio

ORANGNYA cantik, senyumannya manis, sedap mata memandang, demikian kata-kata pujian terhadap foto-foto seorang gadis memakai busana tradisional yang dikongsi di laman sosial.

Busana lawa yang dipakainya turut menjadi perhatian, namun ada yang memberikan komen tidak biasa melihat baju tradisonal itu.

Tidak kurang juga rata-rata netizen menyamakan wajah ayunya persis pelakon Sari Yanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Karya seni secantik pelukisnya! Gadis ini gigih sewa kostum puteri legenda 4 negeri demi lengkapkan projek kad raya Aidilfitri

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan kembar lincah berjoget 13 tarian tradisi di TikTok, lebih kagum sebab guna lagu moden - "Kami masih dipandang sebelah mata"

Siapa sangka gadis manis ini merupakan Ratu Lepa 2019 (lepa bermaksud perahu dalam bahasa Bajau), yang merupakan pertandingan tarian tradisional bagi suku kaum Bajau di Pantai Timur Sabah.

Gadis berkenaan, Emeraazwa Emeraldi berkata, baju yang dipakainya merupakan busana tradisional Bajau di Semporna, yang diberikan sentuhan moden dengan perincian manik.

Baru berusia 20 tahun, gelaran Ratu Lepa itu yang dimenanginya dalam pertandingan tarian tradisional Bajau iaitu igal-igal pada 2019, sebelum pandemik Covid-19.

"Saya menyukai seni tradisional igal-igal kerana saya sendiri merupakan anak Bajau dari Semporna. Saya mula menari sejak lima tahun, diajar oleh ibu sebelum belajar sendiri.

"Pelbagai tarian Igal-Igal yang saya boleh lakukan dari segi tradisional seperti Igal Tabawan, Igal Limbayan, Igal Lellang dan Igal Tarirai termasuk tarian igal-igal yang diberikan sentuhan moden," katanya kepada mStar.

gadis bajau 1

Wawa (tengah) dinobatkan sebagai Ratu Lepa pada 2019. foto semporna.com

Lebih mesra disapa Wawa, katanya, pertandingan Ratu Lepa dianjurkan sempena sambutan pesta air Regatta Lepa yang menyaksikan perarakan masuk lepa atau perahu cantik dan berhias.

"Ketika itu saya menyertai saringan melibatkan 21 peserta sebelum ke peringkat akhir dengan 10 peserta. Syukur Alhamdulillah, saya mendapat gelaran Ratu Lepa 2019," ujarnya.

Bukan setakat tarian lemah-gemalai igal-igal, gadis dari Kampung Bubul Lama, Semporna ini turut belajar tarian tradisional Melayu seperti zapin dan inang.

gadis bajau 3

Tarian lemah-gemalai Wawa menarik perhatian ramai.

Menurut Wawa, dia menyertai kelab tarian di Universiti teknologi Petronas (UTP) di Perak kerana bergelar pelajar Ijazah Sarja Muda Pengurusan Perniagaan di universiti itu.

"Saya amat minat tarian tradisional. Sebab itulah, saya banyak merakamkan video saya menari tarian igal-igal dengan memakai busana tradisional Bajau, di laman YouTube.

Harap suatu hari nanti budaya Bajau lebih dikenali ramai. Saya mahu mempromosikan tarian tradisional igal-igal

EMERAAZWA EMERALDI

"Tujuan utama adalah mahu memperkenalkan budaya saya. Saya sedar budaya Bajau masih kurang dikenali. Atau ramai ingat kaum Bajau tinggal atau buat kerja-kerja di laut.

"Sebenarnya banyak jenis kaum Bajau, ada je yang tinggal di darat seperti keluarga saya. Bukan setakat tarian dan busana tradisional, makanan tradisi masyarakat Bajau juga begitu enak seperti latok yang merupakan sejenis rumpai laut, juga dikenali sebagai 'anggur laut'," katanya sambil menambah makanan tradisional putu, yang seakan ubi kayu juga begitu enak.

gadis bajau 2

Wawa merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan.

Mengenai wajahnya dikatakan iras Sari Yanti, gadis yang suka 'online shopping' ini hanya tersenyum setiap kali menerima pujian atau pandangan sebegitu.

"Kebiasaannya yang cakap muka saya macam Sari Yanti, sama ada mereka jarang nampak saya atau tak pernah berjumpa dengan saya secara berdepan.

"Jika dalam gambar dan bermekap, mungkin agaknya (iras). Tapi kalau depan-depan, sebenarnya wajah kami tidak seiras. Tapi saya anggap ia sebagai satu pujian kerana Sari Yanti pelakon yang cantik, wajahnya sentiasa muda macam awet muda," katanya.

gadis bajau 4

Wawa mahu mempromosikan tarian igal-igal. foto masarekastudio

Mengakui dirinya pemalu, gadis yang berminat dalam bidang perniagaan ini mahu memartabatkan budaya kaum Bajau menerusi platform media sosial.

"Harap suatu hari nanti budaya Bajau lebih dikenali ramai. Saya mahu mempromosikan tarian tradisional igal-igal dalam persembahan secara solo atau berkumpulan, impian saya untuk menari di Istana Budaya," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain