suria

Selepas bersusah cari duit beli kamera, job pula kurang... jurufoto pemalu tebalkan muka dekati orang tak dikenali demi ‘content’ TikTok

Foto seorang bayi yang dirakam Syahmi di Kuala Ibai, Terengganu baru-baru ini.

BUKAN mudah untuk membuang rasa malu.

Namun kata jurugambar perkahwinan dari Terengganu ini, perasaan segan itu terpaksa dibuang jauh-jauh demi menyempurnakan misinya dalam mendapatkan hasil gambar yang terbaik.

Graduan bidang Seni Reka Perindustrian, Muhammad Syahmi Sulong, berusia 24 tahun itu kini meraih perhatian ramai apabila kerap berkongsi hasil 'street photography' dan 'POV photography' menerusi TikTok miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas berhati-hati 200 peratus hasilnya cukup wow! Jurugambar ajak pengantin 'berendam' di air terjun, pengalaman sekali seumur hidup

ARTIKEL BERKAITAN: Demi pengantin, jurugambar lebih ‘sayangkan’ kamera sebelum minta diselamatkan - “Tak sangka tanah jadi lembut”

Paling mencuri tumpuan tentunya video di sebalik tabir di Kuala Ibai, memaparkan dia mendekati sebuah keluarga sebelum menawarkan dirinya untuk merakam gambar bayi mereka.

Hasil gambar dan video di sebalik tabir yang dikongsi di TikTok ternyata mencuri perhatian ramai sehingga meraih ratusan ribu tontonan.

Bercakap kepada mStar, dia yang mesra disapa Syahmi mengakui terpaksa 'menebalkan muka' untuk bertanya kepada orang awam sebelum merakam gambar mereka.

"Saya sebenarnya seorang yang sangat pemalu. Ketika itu saya sedang buat street photography. Saya ternampak pasangan suami isteri sedang rakam gambar anak mereka menggunakan telefon.

syahmi4

Syahmi kini bergelar jurugambar perkahwinan sepenuh masa.

"Dalam hati saya terdetik, apa kata saya offer mereka untuk ambil gambar. Saya beranikan diri pergi tanya mereka. Alhamdulillah mereka bagi kebenaran.

"Kemudian selepas ambil gambar, saya kongsikan hasilnya kepada mereka melalui Google Drive. Mereka suka dengan hasilnya.

Duit saya kerja menggunakan kamera itu dijadikan duit tepi, jadi saya tak perlu bergantung sepenuhnya kepada mak ayah.

SYAHMI

"Tapi pada awalnya saya pun risau nak dekati orang tak dikenali. Bagaimana kalau mereka tolak pelawaan? Tapi saya rasa lega, ia memberi semangat untuk saya hasilkan lebih banyak content begitu," ujarnya.

Menurut Syahmi, dia gembira apabila pasangan itu berpuas hati dan menghargai karya yang dihasilkannya.

Malah, dia turut bersyukur apabila menerima pujian atas karya yang dihasilkan.

Selain itu katanya, penangan tular di TikTok turut membuka rezeki, sekali gus membantu jurufoto sepertinya mencari sumber pendapatan.

"Tujuan utama saya main TikTok sebab nak engage dengan client, supaya orang tahu mengenai servis yang saya tawarkan.

"Alhamdulillah, bila beberapa video jadi tular, ada beberapa individu hubungi saya. Mereka kenal saya melalui TikTok.

syahmi6

Antara hasil fotografi oleh jejaka itu.

"Sekarang susah nak cari kerja. Saya buat full time wedding photography selepas tamat belajar tahun lepas.

"Alhamdulillah, biarpun banyak majlis tak dapat dijalankan, tapi kami masih dibenarkan ambil gambar pengantin ketika akad nikah di pejabat agama. Itu pun dah kira bersyukur sangat," ujarnya lagi.

Mengimbas perjalanan hidupnya, Syahmi mengakui sudah lama meminati bidang fotografi, namun ia mula dilakukan secara serius ketika tahun pertama mengikuti pengajian di UiTM.

Kata Syahmi, dia mengumpul wang sendiri untuk mendapatkan kamera pertama sebelum ia dimanfaatkan untuk menampung kos pengajiannya.

"Saya minat dari zaman sekolah, tapi pada waktu itu saya tak berpeluang ada kamera. Masuk UiTM, saya jumpa kawan-kawan yang ada minat sama dengan saya. Jadi saya buat kerja part time di kedai pizza, pada masa sama, saya jual popcord di kampus.

syahmi5

Foto seorang kanak-kanak yang dirakam oleh Syahmi di Kuala Ibai, baru-baru ini.

"Saya juga ada menang telefon dalam sebuah peraduan, kemudian saya jual telefon itu dan campur dengan duit saya kerja part time, saya beli kamera pertama pada umur 21 tahun.

"Dengan kamera itu saya cari makan. Saya shoot gambar konvo. Pada masa sama, saya jadi pembantu kawan yang buat wedding photography. Di situ saya banyak belajar.

"Alhamdulillah, duit saya kerja menggunakan kamera itu dijadikan duit 'tepi', jadi saya tak perlu bergantung sepenuhnya kepada mak ayah," ujar anak keempat daripada lima beradik itu.

Kata Syahmi, dia memasang impian untuk memiliki studio sendiri suatu hari nanti dan berharap lebih ramai orang mengenali bakat dan khidmat yang ditawarkannya.

Jelas Syahmi, perkongsian hasil karya di TikTok juga dianggap sebagai satu platform untuknya mengasah kemahiran, disamping mencari pelanggan baharu buatnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain