suria

“Dengan atok, buat muka kesian terus dapat” - Takutkan ibu garang, anak guna ‘taktik tidur’ selepas dikesan main handphone datuk

Aksi Sofiyya yang menyakat ibunya dengan berpura-pura tidur mencuit hati netizen.

BUKAN sahaja comel, tetapi gelagat nakal si kecil ini yang menyakat ibunya benar-benar membuatkan sesiapa yang melihatnya menjadi cair.

Menerusi video yang dikongsi di aplikasi TikTok, kelihatan si comel tersebut berpura-pura tidur kerana bimbang dimarahi oleh ibunya gara-gara bermain telefon bimbit milik datuknya.

"Dengan ibu, nangis pun tetap tak dapat. Dengan atok, buat muka kesian terus dapat," demikian kapsyen pada video yang sehingga kini meraih lebih 126,000 jumlah tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Suka sangat main peti sejuk, bayi usia setahun belajar sesuatu selepas pantas capai makanan dalam pinggan - “Saya bagi je apa dia nak buat”

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas hitamkan mata anak suka main telefon, wanita ini dedah dirinya pula ‘disekolahkan’ si kecil ketika syok layan filem Tamil

Berkongsi cerita dengan mStar, Ku Nur Azlina Ku Aziz berkata video tersebut dirakam pada minggu lalu ketika dia dan suami pulang ke kampung halaman yang terletak di Machang, Kelantan untuk menziarahi kedua-dua orang tua.

"Bila dah boleh rentas negeri dan kami suami isteri sudah lengkap dua dos suntikan vaksin, kami pulang ke kampung saya, Kampung Pangkal Jenereh sebab hampir tujuh bulan tak dapat jenguk mak ayah.

"Tahun lalu masa pulang kampung, Sofiyya Qisthina baru je boleh merangkak. Sekarang ni dia dah 'dapat kaki'. Jadi saja bawa dia dengan atok dan neneknya jalan-jalan.

"Dia duduk seat belakang dengan atok dan neneknya. Masa itulah dia main handphone atoknya. Saya minta dia bagi balik dekat atok, atoknya cakap tak apa... bagi main sekejap je sebab nak suruh diam.

anak baru 1

Permata hati Azlina dan suami, Sofiyya Qisthina.

"Saya jeling-jeling sambil rakam. Dia tahu saya garang, saya dan suami memang jarang sangat bagi dia main handphone. Sebab tu dia pura-pura tidur. Tapi saya tak sangka dia boleh sakat buat macam tu," cerita wanita ini mengenai anak tunggalnya yang berusia 16 bulan.

Senang disapa sebagai Azlina, wanita berusia 29 tahun ini berkata dia dan suami menghadkan penggunaan telefon bimbit kepada anak mereka kerana tidak mahu si kecil tersebut terlalu bergantung kepada gajet.

anak baru 2

Azlina dan suami lebih gemar mendedahkan Sofiyya dengan aktiviti luar.

"Kami kurangkan gajet sebaliknya lebih suka biar dia explore aktiviti di luar seperti ke taman permainan dan aktiviti lain.

"Ada juga kami bagi sekejap terutama kalau dia melasak. Kami memang muat turun bacaan zikir dan Upin Ipin. Itu saja dia boleh tengok. Kalau beri dia pegang handphone, kami tukar kepada flight mode.

"Bimbang kalau selalu sangat bagi, nanti dia jadi excited nak tengok hari-hari. Jadi kami hadkan sebab dia kecil lagi," ujarnya yang menetap di Kuantan, Pahang.

Kami kurangkan gajet sebaliknya lebih suka biar dia explore aktiviti di luar seperti ke taman permainan dan aktiviti lain.

KU NUR AZLINA KU AZIZ

IBU

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Azlina yang juga seorang usahawan produk kecantikan berkata dia sekadar memuat naik video berkenaan untuk diabadikan sebagai kenangan.

"Saya saja nak share momen lucu. Sebenarnya, saya dan suami menunggu dua tahun sebelum kami dianugerahkan Sofiyya. Video-video dirakam untuk mengabadikan setiap momen berharga mengenai perkembangannya dan aktivitinya.

anak baru 3

Ramai terhibur dengan telatah dan kecomelan Sofiyya.

"Tambahan pula dah lama kami tak balik kampung. Bila balik kampung, atok dan neneknya tak habis melayan... kejap bawa tengok lembu, ayam, bawa naik motor... sampai minta kami tinggalkan Sofiyya di kampung.

"Bila video Sofiyya bersama atok dan neneknya viral, ramai yang terhibur tengok gelagatnya. Ada yang kongsi gelagat anak masing-masing, ada juga yang komen moga dapat rezeki anak perempuan.

"Kita kadang-kadang macam tak nak post takut orang terasa tapi kami anggap ia kenangan untuk diabadikan. Bila dia besar, boleh tengok balik," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain