suria

Gara-gara gelabah buka pintu bilik hotel, member tak pakai tudung berdesup menyorok belakang langsir... apa jadi sampai kelam kabut, siapa datang sebenarnya?

Staycation empat sahabat baik di Desaru baru-baru ini terselit kenangan lucu.

SETIAP saat yang dirakam bersama sahabat pastinya meninggalkan 1001 kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila.

Siapa sangka, percutian pertama empat gadis selepas lebih setahun tidak bersua muka antara satu sama lain turut terselit peristiwa lucu.

"Bila kau staycation, tiba-tiba tv takde signal. Abang maintenance berdesup datang, tak sempat capai apa-apa," demikian kapsyen yang ditulis pada video yang dikongsi di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Janji tak nak kahwin, eh dia naik pelamin dulu! Bersahabat 12 tahun, wanita kongsi kisah BFF seorang perahsia - “Kenal lama, tak tahu pula bercinta”

ARTIKEL BERKAITAN: Baik dari bujang sampai kahwin, kini ‘jangkit’ ke anak... keakraban 2 sahabat beza bangsa jadi perhatian - “Seminggu sekali mesti Kak Mala ambil nak jaga”

Menerusi video tersebut, kelihatan salah seorang daripada mereka terpaksa lari bersembunyi di sebalik tirai langsir gara-gara tidak sempat memakai tudung ketika bilik hotel mereka didatangi pekerja penyelenggaraan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Intan Radhziah Basir berkata insiden lucu itu berlaku ketika dia dan tiga lagi sahabat baiknya bercuti di sebuah lokasi peranginan di Desaru, Johor, minggu lalu.

"Malam tu kami keluar pergi barbeku. Selepas selesai dan balik bilik, kami pun buka tudung sebab nak berehat. Tiba-tiba bilik kami 'blackout'. Rasanya ketika itu satu aras hotel di tingkat dua blackout.

"Lepas blackout dalam 15 minit, situasi kembali pulih tapi televisyen tak boleh hidupkan sebab tiada signal. Puas kami cuba sendiri, tapi akhirnya saya ambil keputusan untuk call operator dan minta mereka periksa.

"Agaknya sebab ramai yang buat aduan sama, sekejap je pekerja maintenance datang. Tak sampai tiga minit lepas saya call, terus dengar ketukan dekat pintu. Saya tak mahu buat pekerja tu tertunggu-tunggu sebab mungkin dia nak betulkan kerosakan di bilik lain pula.

staycation 2

Empat sahabat ini menghabiskan masa bercuti bersama-sama selepas lebih setahun tidak bersua muka.

"Jadi saya terus capai tudung dan buka pintu. Dua lagi kawan sempat tutup kepala dengan hoodie, yang seorang lagi menyelinap di belakang langsir. Insiden lucu tu sempat dirakam oleh salah seorang rakan," ceritanya sambil ketawa kecil ketika mengimbas kembali momen lucu tersebut.

Senang disapa sebagai Intan, gadis berusia 21 tahun ini berkata, dia dan dua rakan lain hanya mampu menahan ketawa apabila menyedari salah seorang daripada mereka bersembunyi di sebalik langsir.

"Sebenarnya saya tak perasan yang seorang tu belum ready, tapi saya pula terus gelabah buka pintu. Bila abang maintenance tu masuk, kami gelak-gelak tapi sedaya upaya cuba tahan.

"Saya rasa bersalah juga dekat kawan saya jadi terus tanya abang tu, 'Abang, lama lagi tak?'. Dia tipu dan cakap ambil masa sejam nak betulkan.

Lepas abang tu keluar, kami berdekah gelak. Kawan saya yang menyorok belakang langsir tu geram jugalah sebab saya gelabah terus buka pintu.

INTAN RADHZIAH BASIR

"Tapi sebenarnya kejap je, dalam lima minit saja dia betulkan signal televisyen. Mujur sekejap. Kalau tidak, lama lagilah kena duduk di balik langsir tu.

"Lepas abang tu keluar, kami berdekah gelak. Kawan saya yang menyorok belakang langsir tu geram jugalah sebab saya gelabah terus buka pintu. Memang memori betul dan kalau ingat, memang pecah ketawa," ujar penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini lagi.

Bercerita mengenai persahabatan mereka, Intan berkata dia dan tiga lagi sahabat baiknya itu merupakan rakan sekelas yang dikenali sejak semester satu di institusi berkenaan.

"Kami merupakan penuntut Diploma Pentadbiran Awam di UiTM Seremban 3. Dah setahun lebih tak jumpa sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kami mula kenal ketika semester satu tapi kemudian masing-masing 'terpisah' kerana PKP.

"Walaupun sempat bersua muka sekejap je, tapi hubungan kami rapat. Ketika pembelajaran secara atas talian, kami buat assignment sama-sama, dan jadi ahli group assignment sampailah sekarang dah semester lima.

staycation 3

Intan (dua, kanan) mengenali tiga sahabat baiknya ketika mereka sama-sama berada di semester 1.

"Bila dah boleh merentas, yang seorang tu sanggup datang ke Johor untuk bercuti bersama saya dan dua lagi rakan yang memang menetap di Johor. Itulah percutian pertama kami dan InsyaAllah, akan ada lebih banyak percutian selepas ini," ujarnya yang berasal dari Mersing.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Intan berkata dia terharu apabila menerima komen positif daripada netizen.

"Kebanyakannya terhibur dengan video tu, tapi Alhamdulillah, ramai yang puji sebab sedaya upaya menjaga aurat walaupun sampai terpaksa menyorok. Ada juga yang DM, mereka kata susah nak jumpa perempuan macam ni yang jaga aurat.

"Apapun, saya nak tekankan, dalam persahabatan ni, janganlah kita putus hubungan walaupun dah lama tak jumpa. Gunakanlah kemudahan yang ada untuk berhubung supaya persahabatan terus kekal rapat," katanya lagi.

Sehingga kini video yang dikongsikan Intan menerusi aplikasi TikTok meraih lebih daripada 45,000 jumlah tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain