suria

Meriah! Mak mentua bagi bekal sampai penuh bonet, menantu dan cucu pasrah berhimpit dalam kereta... mungkin kena beli lori pula

Bonet kereta Sha dipenuhi bekalan yang disediakan keluarga mentuanya.

PELUANG dapat balik rumah ibu bapa di kampung memang menyeronokkan.

Masakan tidak, selain dapat melepaskan rindu setelah sekian lama tidak berjumpa, dapat juga merasa makanan kampung termasuk hasil tanaman atau ternakan sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini akur mak ayah tak restu jadi askar, ketika persiap diri bergelar cikgu PJ sering ditegur tentang aurat pula

ARTIKEL BERKAITAN: “Ayah tinggalkan duit, saya guna berniaga” - Anak buka 3 bisnes selepas lebih setahun bapa meninggal, lupakan hasrat jadi doktor

Tambah seronok apabila dapat pula 'bekal' penuh satu kereta untuk dibawa balik ke rumah.

"Ha nampak tak bila mentua bekalkan... rasa nak beli lori pula," tulis seorang wanita disertakan dengan video bonet kereta jenis Proton Saganya yang dipenuhi barang-barang.

"Tu dia, penuh bonet, untung la," komen seorang warga maya.

Bercakap kepada mStar, wanita berkenaan, Siti Noraishah Abd Aziz, 38, berkata video tersebut dirakam pada 18 November lalu, iaitu ketika dia pulang bersama keluarganya ke kampung di Kota Kuala Muda, Kedah.

Pemilik spa yang menetap di Ipoh, Perak ini berkata, itu merupakan kali pertama mereka sekeluarga pulang selepas 10 bulan.

Dia yang mesra di panggil Sha berkata ibu mentuanya memang akan sentiasa membekalkan makanan dan hasil tanamannya sendiri setiap kali dia pulang ke kampung.



Mentua Sha turun memberi bekalan makanan laut.

Selain itu, tambahnya, bapa mentuanya yang juga seorang nelayan juga akan turut memberi bekalan makanan laut.

"Kalau balik kampung mak mentua mesti sediakan bekal macam tu sampai tak cukup ruang nak letak beg.

"Macam-macam ada udang, ketam, pisang, ulam, buah kelapa, limau purut, betik, jambu dan asam jawa.

"Memang mak tanam semuanya, bapa mentua pula nelayan," katanya.



Sha (kanak sekali) bersama keluarganya.

Katanya, 'bekalan' yang banyak itu menyebabkan dia dan empat lagi orang anaknya terpaksa berhimpit di dalam kereta.

"Masa tu separuh daripada barang kami dekat bonet tapi yang kecil-kecil tu sumbat dekat tempat duduk penumpang.

"Dah macam sardin anak-anak dengan mak yang duduk dekat belakang," katanya.



Ibu mentua Sha rajin menyediakan "bekal" buat anak, menantu dan cucunya.

Sha yang rapat dengan ibu mentuanya seperti keluarga kandungnya sendiri berkata selain bahan mentah, ibu mentuanya turut memberi bekalan laksa Kedah yang juga makanan kegemarannya.

"Lauk-lauk yang dah masak pun ada kemudian ada laksa Kedah.

"Akak memang hantu laksa," katanya.

Menurut Sha, kesemua bahan yang diberikan termasuk ketam dan udang tersebut telah selamat dimasaknya.

"Syok sangat dapat udang fresh saiz L.

"Akak masak buat sambal, ketam pula akak buat masak lemak," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain