suria

Abang tersipu-sipu saat pertama kali bertemu bakal isteri, gementar sampaikan nak patah balik rumah... tak sangka ramai ‘approved’ jodoh pilihan keluarga!

Muhammad Haziq tersipu malu ketika pertama kali bertemu bakal isterinya.

TIDAK dapat dinafikan sama ada lelaki mahupun wanita, sudah pastinya timbul perasaan gugup atau berdebar apabila pertama kali bertemu dengan keluarga bakal mentua.

Begitulah juga kisahnya dengan pemuda ini yang bukan sahaja pertama kali bersua muka dengan keluarga bakal mentua, tetapi juga bakal isterinya.

Menerusi rakaman video, jelas kelihatan wajah pemuda berkenaan yang malu-malu dan tersenyum sipu apabila dia dipertemukan dengan wanita yang bakal menjadi permaisuri hatinya kelak.

ARTIKEL BERKAITAN: Gugup teruk, gadis nyaris tak duduk di pelamin gara-gara jodoh diatur mak ayah - “Itulah kali pertama dia lihat wajah bakal suami”

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini berdepan ujian sukar sebelum kahwin! Semua ahli keluarga perlu merasa Covid-19, mula-mula tunang kemudian nikah pula ditangguh

Berkongsi cerita dengan mStar, gadis bernama Bibi Maidiana Mariam Mahadi berkata, video gelagat abangnya, Muhammad Haziq Mahadi, 23, yang dirakam baru-baru adalah sewaktu mereka bertandang ke rumah keluarga calon isteri lelaki berkenaan di Taiping, Perak.

"Ketika majlis perkenalan atau taaruf antara kedua-dua keluarga, saya sengaja rakam gelagat abang sebab nak mengusiknya yang kelihatan gementar.

"Mula-mula dia tak perasan saya rakam... kemudian bila perasan, dia minta saya berhenti rekod sebab segan. Saya memang suka menyakatnya sejak dari dalam perjalanan ke rumah keluarga bakal isterinya lagi," cerita gadis berusia 21 tahun ini.

Senang disapa sebagai Bibi, gadis ini berkata abangnya yang bekerja sebagai jurulatih kecergasan di gimnasium sememangnya seorang lelaki yang pemalu.

"Abang saya sememangnya seorang yang pemalu dari zaman sekolah lagi. Rutinnya pergi sekolah, balik sekolah. Tak ada masa nak bersosial sangat.

"Sebelum dipertemukan dengan wanita pilihan keluarga, dia sememangnya single dan available.

abang 2

Keluarga Bibi berkunjung ke rumah bakal isteri abangnya untuk berkenalan pada minggu lalu.

"Bukannya tak ada peminat, tapi abang ni pemalu benar. Pernah je ada kawan-kawan saya atau kawan-kawan kakak nak berkenalan tapi hatinya belum terbuka. Pernah juga dia kata tak mahu kahwin sebab nak jaga mak dan abah.

"Mungkin kali ini bila mak kata nak carikan calon, hatinya terus terbuka," katanya yang berasal dari Ipoh.

Sementara itu Muhammad Haziq yang turut serta dalam temu bual berkata, dia menganggap pilihan ibu dan keluarganya adalah pilihan yang terbaik.

Mengakui dirinya gementar ketika pertama kali bertemu bakal isteri baru-baru ini, lelaki ini berkata dia bersyukur kerana majlis berkenaan berjalan dengan lancar.

Bukannya tak ada peminat, tapi abang ni pemalu benar. Pernah je ada kawan-kawan saya atau kawan-kawan kakak nak berkenalan tapi hatinya belum terbuka.

BIBI MAIDIANA MARIAM MAHADI

ADIK

"Sebenarnya dari rumah lagi saya gementar tapi masa tu masih okay. Tapi semakin dekat nak sampai rumah keluarganya, saya makin berdebar. Masa tu terasa macam boleh patah balik rumah tak.

"Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Saya juga nak berterima kasih kepada netizen yang turut sama doakan agar urusan keluarga kami selepas ini dipermudahkan," ujarnya sambil menambah, majlis pertunangan dijangka diadakan awal tahun hadapan.

Dalam pada itu, Bibi yang juga seorang penuntut Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar berkata dia tidak menyangka perkongsiannya di aplikasi TikTok menjadi tular.

"Mula-mula saya post video dekat Instagram saja dan abang tahu. Tapi saya post dekat TikTok, dia tak tahu, Saya fikir nak letak saja-saja. Sekali kawan beritahu masuk FYP (For You Page). Terkejut saya.

abang 1

Bibi yang merupakan anak keempat daripada lapan adik beradik sememangnya rapat dengan Muhammad Haziq yang merupakan anak ketiga.

"Abang saya lagi terkejut dia jadi 'famous' tiba-tiba. Alhamdulillah, ramai yang doakan baik-baik malah mereka siap 'approve' lagi abang saya dengan bakal kakak ipar.

"Malah ada juga yang minta saya post video abang lagi untuk majlis seterusnya. Terima kasih untuk semua komen positif dan doa," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain