PENGUASAAN bahasa asing sememangnya mampu memberi nilai tambah dalam diri seseorang. Selain mengikuti pengajian secara formal, banyak medium turut ditawarkan menerusi internet, membolehkan anda mempelajari pelbagai bahasa secara percuma. Begitu juga kisahnya mengenai gadis ini yang mula mempelajari bahasa Korea melalui internet sejak tahun 2017. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya pernah usik mak cakap Korea sebelum ni” - ‘Oppa’ UiTM gembira lakonan ajak rakan solat diterima ramai ARTIKEL BERKAITAN: Asyik migrain, tak pergi sekolah, translator konsert Blackpink ini dedah result SPM ‘haprak’ sebelum belajar sendiri bahasa Korea di internet Ketika dihubungi mStar, Sarah Sofea Mahayuddin, 18, mendedahkan minatnya terhadap drama Korea Selatan (K-Drama) menjadi antara pengaruh utama untuk dia mendalami bahasa itu. "Saya mempelajari bahasa Korea secara tidak sengaja pada tahun 2017. Masa tu saya umur 14 tahun. Saya rasa antara punca utama kerana selalu tengok K-Drama. "Saya jadi tertanya-tanya apa yang mereka bercakap sebenarnya. Pada masa sama, saya memang dah belajar bahasa Jepun di sekolah. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Jadi saya nak tengok sekiranya dua bahasa itu sama atau tidak. Dan bila saya belajar, saya dapati bahasa Jepun dan Korea hampir sama. "Dengan adanya asas bahasa Jepun, ia memudahkan untuk saya belajar bahasa Korea. Cuma pada pandangan saya, bahasa Jepun lebih susah sebab ada tiga jenis huruf, bahasa Korea pula ada satu jenis huruf sahaja," ujarnya. Bercerita lanjut, dia yang mesra disapa Sarah mengakui enjin carian Google dianggap sebagai guru dalam mendalami bahasa itu sejak beberapa tahun lalu. Selain itu, Sarah turut mengambil pendekatan untuk berkawan dengan warga asal Korea melalui internet untuk memperkasakan lagi penguasaan bahasanya. Sarah pernah ke Korea sebanyak dua kali pda tahun 2010 dan 2018. "Saya memang belajar sendiri saja bahasa Korea. Mula-mula saya cari bahan di Google, tengok bentuk huruf, tatabahasa dan sebagainya. Di YouTube dan Instagram pun ramai orang ajar bahasa Korea. "Selain itu, saya juga cari kawan online dari negara Korea. Kita buat pertukaran bahasa. Saya belajar bahasa Korea dengan mereka, pada masa sama mereka nak belajar bahasa Inggeris dengan saya," ujarnya. Bila tengok drama atau show dari Korea, saya boleh faham tanpa tengok sarikata. Itu kepuasan bagi saya. SARAH Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, dia gembira dapat bertutur dalam bahasa Korea, sekaligus memudahkannya setiap kali menonton drama negara itu. "Banyak kelebihan belajar bahasa asing. Pertamanya, senang kalau nak melancong ke negara orang. Saya sendiri pernah ke Korea pada tahun 2010 dan 2018. "Pada tahun 2018, saya cuba bercakap dalam bahasa Korea dengan peniaga-peniaga di sana dan mereka boleh faham saya. "Selain itu, saya juga rasa puas bila tengok drama atau show dari Korea, saya boleh faham tanpa tengok sarikata. Itu kepuasan bagi saya," ujar penuntut bidang Pemasaran dari Johor itu. Selain bahasa Korea, Sarah juga pernah mempelajari bahasa Jepun. Dalam pada itu, video-video memaparkan Sarah sedang bertutur dalam bahasa Korea turut tular di TikTok sehingga meraih lebih sejuta tontonan. Malah kata Sarah, dia menerima banyak soalan daripada netizen yang turut berminat mempelajari bahasa itu. "Saya gembira dapat beri galakan kepada orang ramai untuk mempelajari bahasa asing, semoga video saya dapat beri motivasi bagi mereka kejar impian dan belajar lagi. "Belajar bahasa ambil masa lama. Saya sendiri belajar sehingga tiga ke empat tahun. Jangan stres kalau awal-awal masih tak faham, kita belajar perlahan-lahan. Anggap ia sebagai hobi. "Selain belajar percuma, anda juga boleh ikuti kelas. Lebih mudah sebab ada cikgu untuk bertanya. Kalau tak ambil kelas, hanya internet yang jadi cikgu," ujarnya lagi. Untuk rekod, Sarah memiliki lebih 90,000 pengikut di TikTok. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI