suria

Baru seminggu kahwin, suami sanggup ‘korbankan’ dumbbell untuk isteri senggugut teruk jam 1 pagi

tungku dumbbell 1

HANYA wanita yang mengalami senggugut tahu betapa seksanya kesakitan itu.

Penggunaan tungku antara kaedah popular bagi menghilangkan rasa sakit senggugut yang berpanjangan.

Tungku besi atau batu merupakan perkara biasa, namun lain pula bagi seorang wanita apabila menggunakan besi pengangkat berat atau dumbbell yang dibalut dengan kain.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri dalam pantang menjerit cemas satu bilik berasap gara-gara tungku usia 38 tahun, cadar dan tilam terbakar... apa suami dah buat?

ARTIKEL BERKAITAN: Suami merungut isteri minta beli tuala wanita, senggugut pulang rumah mentua - "Kau fikir tak jatuh air muka suami ke?"

Bercakap kepada mStar, wanita berkenaan, Nur Hidayah Asrah Ahmad berkata, insiden sakit senggugut yang teruk itu berlaku pada awal pagi di rumahnya di Banting, Selangor, minggu lalu.

Lebih dikenali sebagai Asrah, katanya, batu sungai yang sering digunakannya untuk bertungku tertinggal di rumah ibunya di daerah sama.

"Saya sebenarnya baru kahwin 2 November lalu. Ketika kejadian, suami buat pertama kali melihat saya mengalami senggugut yang sakit teramat sangat.

"Sebelum kahwin, saya guna batu sungai untuk bertungku. Batu yang dipanaskan dan dibalut dengan kain, bantu melegakan rasa sakit kalau letak di perut dan kawasan sekitar," katanya ketika dihubungi, mengulas videonya bertungku tular di media sosial.

tungku dumbbell 2

Asrah (kanan) dan suami bernikah pada 2 November 2021.

Asrah yang berusia 23 tahun berkata, kesakitan yang dialaminya akibat senggugut itu ternyata membimbangkan suaminya yang berumur 26 tahun.

"Walaupun jarak perjalanan rumah kami dan rumah ibu hanya kira-kira setengah jam, tapi dah lewat masa tu pukul 1 pagi. Semua orang dah tidur.

"Nak bertungku, tapi tak ada batu. Suami kasihan tengok saya mengadu sakit. Dia cuba ikhtiar dengan cara lain untuk hilangkan kesakitan saya," katanya yang berasal dari Banting.

tungku dumbbell 3

Salah satu dumbbell kepunyaan suami Asrah.

Namun, dia yang bekerja di sebuah kilang tidak menyangka suaminya menggunakan plat besi dumbbell yang digunakan untuk senaman angkat berat di rumah sebagai pengganti batu untuk tungku.

"Saya nampak suami ambil salah satu plat dumbbell seberat 1.75 kilogram. Dia secara spontan jadikannya sebagai ganti kepada batu sungai.

Suami kasihan tengok saya mengadu sakit. Dia cuba ikhtiar dengan cara lain untuk hilangkan kesakitan saya

NUR HIDAYAH ASRAH AHMAD

"Suami tak panaskan plat dumbbell atas dapur sebab caj pada besi tu boleh buatkannya hangus. Jadi, suami letak plat tu dalam baldi yang dituangkan dengan air mendidih.

"Plat dumbbell yang panas dibalut dengan kain batik, dan saya bertungku seperti biasa di bahagian perut.

"Walaupun tidak bertahan lebih lama berbanding batu sungai dan tidak dicampur daun kunyit macam selalu, tapi ia membantu melegakan rasa sakit senggugut saya," tambahnya.

tungku dumbbell 4

Suami Asrah sering melakukan senaman angkat berat di rumah.

Asrah yang juga merupakan ejen produk kesihatan berkata, suaminya aktif melakukan senaman angkat berat sejak 10 tahun lalu, dan kini mempunyai peralatan sendiri di rumah.

"Suami dulu memang rajin workout sejak zaman sekolah. Memang sado orangnya masa sebelum kahwin sebab selalu workout dan biasanya bersenam sendiri," katanya.

Menyifatkan suaminya seorang yang penyayang dan penyabar, Asrah menghargai idea spontan suaminya menggunakan dumbbell untuk dijadikan alat bertungku.

"Suami kaki workout, tapi dia okay guna plat dumbbell dia untuk saya bertungku. Memang plat dumbbell tu boleh guna balik, tapi usaha dia tu seharusnya dihargai," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain