suria

Ewah! Selamba pengantin lelaki menari inang masuk dewan, rupa-rupanya cuak kalau isteri terpijak kain... tapi kenapa janggal ‘perform’ berdua?

Pasangan pengantin menyusun langkah tarian inang pada majlis perkahwinan.

ALUNAN lagu Selendang Mak Inang menggamatkan sebuah dewan ketika sepasang pengantin berarak masuk ke majlis perkahwinan.

Ternyata irama Melayu asli tetap menyerikan majlis tanpa sesi pembukaan dengan paluan kompang mahupun lagu-lagu bertemakan pengantin atau cinta.

Bagaimanapun, kejutan berlaku apabila pengantin lelaki tiba-tiba membuka langkah tarian inang sebelum pengantin perempuan turut mengatur langkah dengan lemah gemalai.

ARTIKEL BERKAITAN: Ewah! Pengantin lelaki bergelek masuk dewan... isteri diminta siap sedia hanya tersenyum, sebabnya kain songket ketat, sanggul berat

ARTIKEL BERKAITAN: Darah gemuruh belum hilang, tiba-tiba pengantin kena tarik 'buka silat' di majlis sendiri... terpaksa 'control' aksi lasak sebab baju, seluar ketat

Berkongsi pengalaman, pengantin lelaki, Muhammad Zakwan Abdul Rahim berkata, majlis diadakan di Dewan Laman Bestari di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, pada 2 Januari lalu.

Pemuda berusia 27 tahun itu memberitahu, pemilihan lagu tradisional Melayu bagi sesi berarak masuk ke dewan dibincangkan bersama keluarga, seminggu sebelum majlis.

"Saya cari lagu-lagu tradisional Melayu di YouTube dan lagu Selendang Mak Inang menarik perhatian saya. Lepas dengar lagu tu, saya membayangkan cara berjalan masuk ke dewan.

"Keluar idea spontan yang saya nak menari semasa lagu tu dimainkan. Bila saya beritahu famili, mereka ingat saya hanya bergurau dan gelakkan... yelah kan, mana ada pengantin berarak sambil menari," katanya kepada mStar.

pengantin menari inang 3

Muhammad Zakwan (kiri) dan isteri, Nur Danina Fasha.

Zakwan yang dikenali sebagai Wan berkata, rancangan tersebut turut dimaklumkan kepada isteri, Nur Danina Fasha Abdul Malik, 25, sehari sebelum bersanding.

"Masa hari kejadian tu saya dah tak fikir apa. Nak masuk dewan, saya ingatkan isteri lagi sambil berbisik pasal menari tu. Kami memang tak beritahu sesiapa termasuk famili dan pengapit, sampaikan pengapit tegur saya ‘jangan jalan laju sangat’.

"Kemudian terhasillah kejutan yang tak dijangka daripada kami bagi menghiburkan famili dan semua tetamu. Alhamdulillah surprise menjadi," katanya sambil menambah pemilihan lagu tradisional bersesuaian dengan busana pengantin dan majlis.

pengantin menari inang 2

Zakwan dan isteri berseri dalam persalinan busana songket kuning.

Siapa sangka di sebalik gerak tari yang tersusun, pengantin lelaki sebenarnya berpengalaman bergiat dalam dunia seni tari selama 19 tahun sejak zaman kanak-kanak.

Menurut Zakwan, dia mula menari di usia 10 tahun dan belajar di Swatari atau dikenali Pak Ngah Production, dan kini merupakan artis budaya di bahagian kebudayaan, kemasyarakatan, kesenian dan sosial di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Momen tu memang tak akan kami lupakan dan dijadikan sebagai kenangan manis bagi saya dan isteri, famili serta semua tetamu

MUHAMMAD ZAKWAN ABDUL RAHIM

Mengimbas kembali saat menari tarian inang di majlis perkahwinan sendiri, pemuda berasal dari Kuala Lumpur itu mengakui malu dan gemuruh.

"Sebelum ni saya selalu perform beramai-ramai, tapi kali ini dua orang saja bersama isteri. Ada rasa janggal sikit," ujarnya secara berseloroh.

pengantin menari inang 4

Pasangan ini mencipta kenangan manis pada majlis perkahwinan.

Namun, apa yang lebih dirisaukannya adalah keadaan isteri kerana kain busana pengantin yang dipakai panjang ke bawah selain memakai kasut tumit tinggi.

"Takut betul saya kalau dia terpijak kain dan terjatuh masa tu. Isteri saya segan-segan sikit dengan gerak tarinya juga spontan semasa menari inang secara solo,” katanya sambil menambah isterinya merupakan artis budaya di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Bagi Zakwan, menari semasa berarak bersama isteri merupakan keputusan yang tepat kerana ia dapat memberi kenangan manis buat semua yang hadir pada hari bermakna itu.

"Momen tu memang tak akan kami lupakan dan dijadikan sebagai kenangan manis bagi saya dan isteri, famili serta semua tetamu," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain