suria

“Lebih indah daripada rancangan” - Pelajar UiTM kagum tengok kafe fantasi hasil kreativiti diri sendiri dan team

Azam turut terlibat dalam projek pengubahsuaian dan reka bentuk dalaman premis Gelora Coffee & Tea.

DI mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Mungkin begitulah yang dapat digambarkan mengenai usaha gigih pelajar Seni Bina ini dalam mendalami bidang yang diceburi.

Biarpun sibuk dengan tugasan hakiki sebagai penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak, dia turut memanfaatkan kelapangan waktu ketika pandemik Covid-19 untuk melakukan kerja sambilan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 5 kali interview arkitek tak dapat, pelajar master tak persia bakat seni... Yuna, Neelofa pun perasan! - “Rasa macam menang anugerah”

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula dengan lukis rumput, diberi upah 50 sen... kini pemuda ini puas potret Ariana Grande menjadi! - “Dah banyak kali lukis, tapi buruk”

Sejak lebih setahun lalu, Abdullah Azam Rozaini, 24, bekerja sebagai pembantu arkitek di firma seni bina Azmin Architect yang berpangkalan di Alor Setar, Kedah.

Terbaharu, penglibatannya dalam projek pengubahsuaian dan reka bentuk dalaman premis Gelora Coffee & Tea di Kubang Semang, Pulau Pinang turut meraih perhatian ramai.

Kedai tersebut yang belum lagi memulakan operasi diberi sentuhan unik dengan menjadikan ia sebagai lukisan dua dimensi, sekali gus menawarkan pengalaman seolah-olah berada di dunia fantasi buat pengunjungnya kelak.

"Disebabkan pandemik, saya ambil peluang untuk bekerja sambilan sebagai pembantu arkitek. Sepanjang dengan syarikat ini, saya dah diberi peluang untuk terlibat dalam beberapa projek.

"Saya juga diberi peluang dan kepercayan untuk menjadi sebahagian yang bertanggungjawab dalam rekaan dan proses melukis di kedai Gelora Coffe & Tea. Untuk kedai ini, prosesnya sudah bermula sejak November tahun lalu.

azam4

Antara lukisan yang pernah dihasilkan Azam.

"Bermula dengan peringkat rekaan, kemudian kami lukis dinding sehinggalah perabot dimasukkan. Ia berjaya disiapkan dalam 45 hari dan dijangka beroperasi tidak lama lagi.

"Konsepnya, mereka nak bawa pengunjung merasai satu dunia fantasi, dunia dua dimensi dan dunia di dalam kertas," ujarnya.

Dulu bermula harga RM10, sekarang ada potret saya yang dijual pada harga lebih RM200. Alhamdulillah, boleh bantu perbelanjaan saya untuk belajar.

AZAM

Senang disapa Azam, dia mengakui proses tersebut tidaklah semudah yang disangka, malah mereka turut berdepan banyak cabaran sebelum ia dilengkapkan dengan sempurna.

"Prosesnya agak sukar. Apa yang saya lukis dan masukkan dalam komputer, ia berbeza apabila tiba di lokasi sebenar. Kami juga ada kekangan masa. Kadang-kadang saya tidur di kedai.

"Tapi bila dah siap, saya rasa ia lebih indah berbanding apa yang saya cadangkan dan rancang sejak awal. Saya teruja dengan hasilnya.

"Pengalaman ini membolehkan saya merasai situasi sebenar dalam industri seni bina. Banyak sangat yang saya dapat belajar," ujarnya yang turut menjalani latihan industri di syarikat sama.

Menurut Azam, projek tersebut merupakan kolaborasi syarikat Rekarumah bersama Rohaizad Othman, pengasas Lukisan Art Studio yang juga alumni UiTM Seri Iskandar dan pasukan Lukisan Art Studio serta Azimin Architect.

azam2

Azam merupakan penuntut UiTM Seri Iskandar.

Malah, video proses pengubahsuaian dan reka bentuk dalaman kedai itu turut dikongsi menerusi Instagram miliknya sehingga meraih lebih 13,800 tontonan.

Bercerita mengenai dirinya, Azam berkata dia tidaklah begitu meminati bidang seni ketika berada di bangku sekolah.

Namun, penglibatannya dalam projek lukisan mural di sekolah telah menjadi titik tolak kepada perjalanannya dalam cabang kerjaya berkenaan.

"Sejak kecil, saya tak berapa suka melukis. Cuma ketika di sekolah menengah, saya terlibat dengan projek melukis mural. Saya perlu buat lukisan pemandangan air terjun.

"Tak sangka saya boleh buat. Ia menjadi titik permulaan kepada minat saya. Ketika belajar, saya juga jual lukisan potret untuk cari pendapatan sampingan. Setakat ini, lebih 100 lukisan potret telah dijual.

azam3

Pengunjung yang hadir bakal merasai kelainan apabila kafe ini beroperasi tidak lama lagi.

"Dulu bermula harga RM10, sekarang ada potret saya yang dijual pada harga lebih RM200. Alhamdulillah, boleh bantu perbelanjaan saya untuk belajar. Nak minta duit dengan mak ayah pun segan, bidang saya memang banyak kena pakai duit," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Azam yang menetap di Permatang Pauh sempat menitipkan pesan kepada para pelajar yang bercadang mengikuti bidang itu agar sentiasa cekal dalam mengejar impian mereka.

"Pertama sekali kena ada minat. Minat merupakan enjin untuk kita bergerak. Ada kawan saya yang berhenti separuh jalan kerana tak minat.

"Kalau ada minat, pointer jatuh pun tetap kita nak teruskan. Yang kedua kena rajin sebab banyak kerja yang perlu kita buat. Yang penting, kena ada minat dan semangat, kena sentiasa latih kemahiran melukis," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan