SIAPA sangka, niat untuk membantu kucing terbiar akhirnya bertukar menjadi satu episod yang tidak dapat dilupakan oleh wanita ini. Gara-gara gigitan si bulus, wanita ini terpaksa menjalani pembedahan kecil untuk menghalang jangkitan kuman. "Drama menyelamatkan kucing terbiar di tengah-tengah lebuh raya, yang pengakhirannya di dewan bedah," tulisnya dalam satu perkongsian di media sosial. ARTIKEL BERKAITAN: Tak berdarah pun! Isteri terkejut doktor beritahu gigitan manja kucing di tangan suami boleh bawa maut... tanda bermula dengan lemah satu badan ARTIKEL BERKAITAN: Oyen buat hal lagi! Kesian kakak kerja di butik terpaksa baring atas jalan raya - “Tak tau nak buat apa, banyak kali dia gigit tangan Berkongsi cerita dengan mStar, Zawani Zakaria berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang selepas selesai menyertai misi bantuan banjir di perkampungan Orang Asli di Sepang, pada 30 Disember lalu. "Saya menyertai misi bantuan itu sebagai wakil daripada Thermomix. Di sana, saya memasak untuk sukarelawan dan mangsa-mangsa banjir. Sekitar pukul 6 petang masa dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, tiba-tiba ada dua kenderaan di depan saya brek kecemasan. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Saya pun automatik brek dan lori di sebelah saya tunjuk ke arah kanan. Barulah saya nampak seekor kucing yang dekat lorong kanan dan nak melompat ke lorong bertentangan. "Masa itu saya cuma fikir nak cepat-cepat selamatkan kucing tu sebab bimbang ia dilanggar kenderaan lain. Spontan saya keluar, tangkap ia dari belakang. "Tapi mungkin sebab kucing tu terkejut dan sedang dalam 'full force' nak melompat, terus digigitnya tangan kanan saya. Memang sakit sangat tapi saya tetap tak lepaskannya. Saya cepat-cepat bawa masuk dalam kereta," cerita wanita berusia 37 tahun ini. Keadaan tangan Zawani pada hari kedua selepas digigit kucing berkenaan. Menurut Zawani, ketika itu dia masih belum terasa sakit namun darah sudah mengalir dengan banyaknya daripada bekas gigitan kucing berkenaan. Jelas wanita ini, situasinya di tengah-tengah lebuh raya menyukarkannya untuk segera mencari air bagi mencuci kesan gigitan berkenaan. "Dalam kereta, memang kucing tu agresif sangat sebab nak keluar. Saya hanya mampu berdoa ia tak datang dekat saya dan gigit lagi sekali. Saya akhirnya berhenti di sebuah masjid yang terletak 10 minit dari lokasi tadi. "Masa saya keluar, belum sempat saya tutup pintu semula, kucing tu melompat keluar dan lari. Saya terus cuci luka betul-betul dan teruskan pemanduan ke Shah Alam sebab masa tu belum rasa sakit lagi. Sehari selepas pembedahan membuang nanah dan tisu rosak. "Tapi tak lama selepas itu, bahagian didigit tu membengkak dan merah. Saya terus buat keputusan untuk pergi ke klinik. Benda pertama doktor buat adalah beri saya suntikan Tetanus. "Kemudian dia cuci luka, beri ubat antibiotoik dan tahan sakit," ujarnya yang juga seorang ahli perniagaan. Disebabkan bisa gigitan si bulus, Zawani berkata tangannya berdenyut dan membuatkannya tidak mampu lena pada waktu malam kejadian walaupun sudah mengambil ubat seperti yang disarankan. "Esok pagi, kesan gigitan itu bernanah. Saya pergi ke klinik lagi sekali dan doktor cuci. Namun masih sama, malam tu saya tak boleh tidur juga sebab sakit. "Esoknya, bapa saya hantar pergi hospital dan doktor terpaksa tahan di wad kerana jangkitan kuman agak teruk. Bila picit kawasan di sekitar luka, dah banyak nanah. Saya bersyukur kerana bukan penghidap kencing manis. Kalau tidak, doktor kata terpaksa potong tangan. ZAWANI ZAKARIA "Apabila keadaan tetap tak ada perubahan, hari ketiga saya di hospital, doktor kata saya perlu jalani minor surgery untuk buang nanah dan sel tisu yang rosak. "Saya bersyukur kerana bukan penghidap kencing manis. Kalau tidak, doktor kata terpaksa potong tangan sebab untuk pesakit kencing manis, bisa gigitan haiwan sangat berbahaya," katanya sambil menambah, doktor mengesahkan kecederaannya diklasifikasikan sebagai Selulitis. Hampir dua minggu selepas rawatan, Zawani berkata keadaan tangannya sudah beransur pulih. "Saya tak sangka pun perkongsian di TikTok jadi viral. Saya saja nak imbas momen tak dapat dilupakan pada penghujung 2021 dan hari pertama tahun baru 2022, saya masuk hospital. Zawani (kiri) sewaktu menyertai misi bantuan banjir di perkampungan Orang Asli, iaitu sebelum kejadian digigit kucing. "Macam-macam komen netizen, ada tanya kenapa tak basuh cepat, kenapa tak pakai sarung tangan dan macam-macam. Tapi dalam situasi saya, ia sangat spontan dan berlaku di tengah-tengah lebuh raya. Saya kurang bernasib baik hari itu. Tapi mungkin mereka tak tahu cerita sebenar. "Kejadian ni buatkan saya sedikit fobia namun ia takkan buat saya berhenti untuk sayangkan kucing. Saya memang pencinta kucing. Di rumah saya ada lapan ekor kucing yang dipelihara macam anak sendiri. Sama juga macam kucing-kucing lain. "Apa pun, saya harap perkongsian pengalaman saya ini boleh sebarkan kesedaran kepada orang lain. Jangan sesekali ambil remeh kalau digigit haiwan terutama haiwan terbiar. Dapatkan rawatan segera," katanya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI