suria

Simpan duit macam main game! Pasangan ini dedah cara ‘menabung bebas stres’, dalam setahun kumpul lebih RM13,000

Pasangan suami isteri ini berjaya mengumpul lebih RM13,000 dalam masa setahun sahaja.

PENULARAN wabak Covid-19 ketika ini cukup memberi kesan buruk malah kenaikan harga barang mendadak menuntut semua orang perlu bertindak bijak menguruskan kewangan dalam keadaan kritikal ini.

Namun, mengeluarkan perbelanjaan yang banyak memang tidak dapat dielakkan apatah lagi jika anda hidup berpasangan atau berkeluarga.

Menurut Kher Ying, dia dan suaminya telah berjaya mengumpul lebih RM13,000 dalam masa 365 hari sahaja iaitu dalam tempoh setahun.



Kaedah yang digunakan oleh Ying dalam bentuk rajah.

"Kaedah simpanan saya guna bukan sahaja mudah, malah menarik dan boleh diikut oleh semua golongan tidak mengira usia.

"Apa yang anda perlu lakukan hanyalah mengikut bilangan hari dan simpan wang anda berdasarkan nombor yang sepadan.

"Apatah lagi jika anda hidup berpasangan. Begini cara anda boleh mula menabung bersama pasangan anda!" ujarnya.

Pasangan suami isteri dari Malaysia ini telah berkongsi tip berguna tentang pengurusan wang di satu platform dikenali sebagai Xiao Hong Shu.

Lihat ini sebagai satu permainan tanpa tekanan apabila anda menyimpan wang, ia akan menjadi lebih mudah untuk anda

YING



Wanita ini menceritakan bagaimana cara untuk menjimatkan lebih banyak wang dalam menghadapi masa yang sukar ini.

"Sebagai contoh, andaikan anda memulakan pelan simpanan pada 1 Januari, kemudian mulakan dengan RM0.10.

"Diikuti dengan RM0.20 pada hari berikutnya dan seterusnya. Apabila sudah mencecah setahun, anda boleh menyimpan sejumlah RM6,679.50.

"Ditambah pula apabila miliki pasangan, anda akan dapat mengumpul sehingga RM13,359 dalam masa setahun sahaja.

"Secara purata, anda cuma perlu menyimpan sebanyak RM18.30 setiap hari, bersamaan dengan harga satu cawan air Starbucks," kata Ying.



Setiap perbelanjaan Ying direkodkan dalam sebuah buku nota miliknya.

Tambah Ying, tidak kira berapa jumlah anda peroleh dalam pendapatan, kaedah ini boleh diguna pakai jika anda komited terhadap kaedah penyimpanan ini.

Membuat simpanan wang tidak sesukar yang selalu kita anggap, apatah lagi kaedah ini boleh menjadi rutin dengan selesa dan tidak terbeban.

"Lihat ini sebagai satu permainan tanpa tekanan apabila anda menyimpan wang, ia akan menjadi lebih mudah untuk anda," jelasnya.

Bukan itu sahaja, Ying turut mengingatkan orang ramai supaya merekod dan mencatat aliran wang tersebut bagi mengelak sebarang perbelanjaan yang tidak perlu dan secara melulu.

Wanita ini juga menjelaskan bahawa kebaikan kaedah ini juga mampu membantu kita dalam mengenal pasti tabiat buruk kita berbelanja.

Kita tidak tahu apa yang akan berlaku masa akan datang, sama seperti tiada seorang pun daripada kita meramalkan wabak yang telah menyebabkan ramai orang terbeban dengan kewangan.

Pastinya masih belum terlambat untuk kita mula menabung untuk kegunaan pada waktu-waktu sukar dan kecemasan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain