suria

Belajar dengan baki PTPTN RM400 satu semester, pelajar miskin pernah part time jadi guard lega result cemerlang... tak perlu bayar balik pinjaman

Shah menghabiskan masa cuti semester dengan melakukan kerja sambilan.

DUGAAN semasa zaman belajar di universiti atau kolej berbeza-beza bagi setiap orang.

Tidak terkecuali Shah Zakaria, 26, yang berkongsi mengenai usahanya mencari wang untuk menyara diri ketika menyambung pengajian di Universiti Selangor (Unisel), Shah Alam, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Anugerah Dekan bakal guru dihina selepas susah-susah belajar, dianggap tak cukup ‘power’ untuk riyak! - “Masih ada mentaliti ni tahun 2020” Rabu, 12 Ogos 2020 8:00 PM

ARTIKEL BERKAITAN: Dari subjek gagal terus ubah strategi sampai dapat 9A! Pelajar ini anggap ada hikmah di sebalik PKP, jadi ‘guru’ ajar lebih 100 calon SPM

Menurut pemuda yang menetap di Kajang, Selangor ini, dia pernah melakukan 10 jenis kerja sambilan seperti berniaga air di bulan puasa, sales promoter, buggy driver, mengajar kelas tambahan dan banyak lagi semata-mata untuk mencari wang demi meneruskan kehidupannya sebagai mahasiswa.

"Masa saya belajar dulu saya buat pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) sebab keluarga saya orang susah. Ayah saya dah meninggal masa saya umur enam tahun lagi. Adik beradik semua tak nak susahkan mak masa tu sebab dia pun tak kerja. Cuma ambil upah jahit baju dan mengasuh anak jiran-jiran je.

"Walaupun saya buat pinjaman PTPTN, tapi tak cukup. Setiap semester saya dapat RM4,000 jumlah pinjaman, tolak yuran setiap semester RM3,600 ada baki RM400 sahaja untuk saya survive.



Shah rela cari duit sendiri dengan bekerja sambilan daripada menyusahkan keluarganya.

"Macam orang lain boleh minta dekat mak ayah kalau tak ada duit, tapi saya tak sanggup pula nak bebankan mak, jadi saya ambil keputusan untuk kerja part time," katanya yang mesra disapa Shah.

Mengimbas tentang kehidupannya di kampus, Shah yang kini bertugas di sebuah syarikat gas dan minyak di Kuala Lumpur pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat beli belah.

Ketika itu jugalah dia berdepan kesukaran apabila telefon pintar miliknya rosak selama lebih dua bulan.

Masalah ini menyebabkan Shah sukar untuk berhubung atau berkomunikasi, sama ada untuk urusan belajar atau bekerja yang mana pada zaman serba moden ini telefon pintar ibarat nyawa bagi setiap individu.

Sehari saya hanya makan satu bungkus mi segera sahaja.

SHAH

"Kebetulan phone rosak tu cuti semester jadi saya kerja sebagai guard nak cari duit baiki phone saya. Kerja jadi guard dekat mall ni kena berkomunikasi dengan rakan setugas lain... dah tak pakai walkie talkie macam dulu. Sekarang guna aplikasi dalam phone sahaja.

"Disebabkan masalah tu, guard lain terpaksa datang dekat saya kalau nak bagitahu apa-apa info. Masa tu ada kawan saya juga kerja sekali jadi saya banyak pinjam phone dia sampai naik segan jadinya.



Shah pernah bekerja sambilan melebihi 10 jenis pekerjaan.

"Saya siap bagi nombor telefon kawan saya tu dekat mak. Nasib baik kawan saya tu OK je boleh faham masalah saya.

"Bila tak ada telefon masa tu bosan jugalah. Balik kerja saya termenung je. Laptop abang bagi pinjam untuk buat assignment pun rosak juga," kata Shah sambil menambah dia bekerja selama dua bulan dengan gaji bulanan RM1,800.

Lebih pilu apabila dia yang dilahirkan di Perak ini mengimbas cuma membawa kentang dan nugget sahaja sebagai bekalan semasa pergi bekerja.

Menurut Shah yang merupakan anak keempat daripada lima beradik, ada kalanya dia terpaksa menolak pelawaan rakan untuk melepak di kedai makan demi berjimat.

"Pernah juga satu pek mi segera yang ada lima bungkus tu, saya jimat makan untuk seminggu. Sehari saya hanya makan satu bungkus sahaja.

"Bila kawan ajak lepak bukan saya tak nak tapi saya nak jimat. Saya segan nak cakap saya tak ada duit. Ada juga kawan cakap mix and match dekat Mc'Donalds tu baru RM6, tak kan tak boleh kot?

"Bagi mereka mungkin tak besar jumlah tu, tapi saya makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan... memang berbeza dengan mereka. Tapi saya OK je bila mereka cakap macam tu sebab tak tahu apa yang saya alami," ujarnya.

Namun di sebalik kesusahan dan susah payah berusaha untuk berjaya serta mendapatkan sesuatu sejak kecil lagi, apa yang dilaluinya ternyata banyak mengajarnya mengenai erti kehidupan yang sebenar.



Jejaka ini memperoleh keputusan cemerlah sehingga mendapat pengecualian bayaran semula PTPTN.

Melalui perkongsian di akaun TikTok yang tular baru-baru ini, dia berjaya memperoleh anugerah dekan kelas pertama dan mendapat pengecualian bayaran balik PTPTN.

"Alhamdulillah rezeki saya tak payah bayar balik pinjaman. Walaupun perjalanan zaman belajar saya perit tapi Allah dah atur cantik dan adil untuk saya sebab Dia nampak usaha saya.

"Salah satu sebab saya tekun belajar sampai boleh dapat dekan ni saya fikir mak saya juga. Saya tetapkan dalam kepala saya, jangan putus asa dalam apa juga saya buat. Saya belajar untuk berjaya, saya kerja sambilan pun saya fikir nak buat betul betul. Bagi saya, kalau bukan diri sendiri, siapa lagi nak tolong saya, tambahnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain