suria

“Dia rendah, saya pun ada kekurangan” - Isteri dedah suami comel ‘beli jiwa’ ibu dulu masa berniaga, kemudian pikat anak!

Pasangan mempelai ini menjadi 'popular' di media sosial selepas video hari bahagia mereka menjadi tular.

JIKA jodoh sudah tertulis, tiada apa yang dapat menghalang dua hati untuk bersatu.

Biar berdiri tidak sama tinggi tapi duduk sama rendah, namun jelas terpancar kebahagiaan di wajah Afiqah Shahira Ruhizad, 21 dan suaminya, Ahmad Syuhairi Mohd Razali, 28.

ARTIKEL BERKAITAN: Perangai gila-gila ‘muncul’ masa majlis kahwin, pengantin comel selamba angkat abang tentera - “Tujuh tahun bercinta tapi putus...”

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin veteran saling tak mengenali, bersatu di pelamin bagai pinang dibelah dua - “Mulanya segan nak nikah usia tua”

Menurut wanita yang mesra disapa Syahira ini, cinta mereka berputik sejak suaminya Syuhairi kerap membeli Pelam Asamboi Makrose yang dijualnya berhampiran sebuah lampu isyarat di Taiping, Perak.



Perkenalan selama setahun lebih telah membawa mereka ke jenjang pelamin.

"Dulu suami saya rajin singgah beli pelam asam boi saya jual. Tapi masa tu dia tak bercakap dengan saya pun. Dia ‘tackle’ mak saya dulu sebab mak saya pun berniaga dengan saya juga kat situ. Dia banyak borak dengan mak saya je.

“Ada satu hari tu dia datang, tiba-tiba dia beranikan diri minta nombor telefon saya. Mula dari situlah kami berhubung.

“Mula-mula tu memang niat saya nak kawan je. Dia pun dah cakap, tak nak kahwin lagi sebab rancang nak beli rumah dulu tapi makin lama saya makin serasi dengan dia yang pandai ambil hati saya," katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut wanita yang berasal dari Taman Simpang Kota Jaya, Taiping, Perak itu, dia semenangnya suka melihat lelaki rendah kerana menganggap ia sebagai 'comel.

Masa nak kahwin dulu, ada terfikir macam mana nak ambil gambar dengan keadaan kami macam ni.

SHAHIRA

Shahira yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu memiliki ketinggian 170cm, manakala suaminya yang bekerja sebagai penghantar barang di syarikat J&T Taiping, Perak pula mempunyai ketinggian 160cm.

Mereka mendirikan rumah tangga pada November tahun lalu yang mana pasangan tersebut diijabkabul di Pejabat Agama Taiping, Perak setelah berkawan selama lebih satu tahun.

Menurut Shahira, disebabkan perbezaan ketinggian dia dan suami, ramai juga sering memandang mereka apabila keluar bersama tetapi dia tidak menganggapnya sebagai satu isu besar kerana baginya kebahagiaan sendiri adalah lebih penting.



Pasangan ini tidak hirau pandangan orang lain, mereka bahagia hidup bersama.

"Masa kami pergi honeymoon lepas kahwin dulu, saya rasa orang sekeliling anggap kami sebagai adik dengan kakak tengah berjalan, bukan suami isteri.

"Masa nak kahwin dulu tu, ada juga terfikir macam mana la nak ambil gambar nanti dengan keadaan kami macam ni tapi tak sangka pula hasilnya jadi elok je," kata Shahira.

Wanita ini bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan Syuhairi yang mana mereka saling menerima kekurangan diri masing-masing.

"Saya tertarik dengan peribadinya yang peramah dan kadang-kadang kelakar, hormat orang tua, selain fizikalnya yang comel. Dia punya peramah tu sampai boleh berborak dengan pekerja kedai stesen minyak macam dah kenal lama.

"Saya tidak melihat ketinggian suami sebagai satu kekurangan kerana dia pun boleh menerima saya seadanya... saya ada kekurangan juga. Dia pun manusia biasa, bukan orang kerdil," seloroh Shahira.

Berikutan video yang tular di akaun Tiktok miliknya, mereka menerima banyak komen positif yang mendoakan kebahagiaan dan memuji keikhlasan mereka dalam menerima pasangan dengan hanya tidak melihat pada luaran sahaja.

"Dalam banyak-banyak komen tu semua rata-rata cakap pasal suami yang pendek dari isteri ni murah rezeki. Ada yang beri komen cakap bahawa jodoh akan panjang.



Pasangan sama cantik sama padan ini diijabkabulkan pada 19 November tahun lalu.

"Ada juga yang minta tip dan pendapat macam mana nak terima pasangan suami yang pendek kepada kami," ujar pasangan ini.

Menurut Shahira, perkongsian video tersebut hanya sebagai simpanan untuk kenangan sahaja sebagai persediaan jika telefon mereka rosak, justeru segala gambar dan kenangan masih ada di media sosial namun tidak menyangka akan menjadi perhatian netizen.

Dalam pada itu, Shahira turut menitipkan nasihat buat mereka yang mempunyai fizikal tidak normal agar tidak mudah berasa rendah diri atau kurang berkeyakinan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain