suria

Minat budaya Melayu, model Rusia ikut jejaka Pekan balik kampung... selamba makan petai belalang buat ramai terpegun, jurugambar tak tolak kalau dah jodoh

Kristina mencuba pelbagai jenis makanan dan aktiviti semasa mengikuti Fakhruddin pulang ke kampung di Pekan, Pahang.

"DIA makan macam tu je biar betul"

Gelagat seorang wanita mat salih, Kristina Barskaya sedang makan petai belalang yang menjadi tular di laman sosial mendapat pujian netizen.

Menerusi video berdurasi 15 saat yang dimuat naik oleh Fakhruddin Abd Rahim, 28 ini, dia mengenali wanita ini semasa mereka bekerjasama dalam satu tugasan kerja di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Sweet! Lelaki ini kejutkan rakan mahu pulang ke Myanmar, akhirnya dapat juga foto di KLCC - “Balik kerja, saya minta dia bersedia”

ARTIKEL BERKAITAN: Mula kahwin, sendawa pun jadi isu! Wanita ini tak impi nikah lelaki asing, segalanya berubah saat bertemu famili jejaka Iran - “Kalau sebab rupa, saya tak suggest”

"Saya kenal dia pun melalui seorang kawan. Masa tu juga kami bekerja sekali kira-kira enam bulan lepas. Dia jadi model dan saya pula photographer.



Wanita ini mencuba pakaian tradisi Melayu.

"Sejak itu kami rapat sampai sekarang. Salah satu sebabnya, saya boleh cakap bahasa Rusia. Dah lebih empat tahun saya belajar, itu pun di Youtube saja. Saya tak ada ambil mana-mana kelas khas belajar.

"Kristina ni dia memang suka nak mendalami culture Melayu, jadi saya pun bawa dia balik ke rumah saya di Pekan, Pahang selepas baru empat hari berkawan. Masa tu lah saya ajar dia makan macam-macam.

Dari situ juga terjadinya video makan petai belalang tu. Dia tak pernah tengok sebelum ni sayur tu. Kristina ni jenis vegie jadi dia memang suka makan ulam-ulam kat sini. Sebab tu dekat video tu dia petik dan makan macam tu je" ujarnya.

Menurut Fakhruddin, dia telah memberi peluang wanita ini merasai sendiri pengalaman mencuba banyak jenis makanan yang terdapat di kampungnya termasuk ikan patin masak tempoyak.

"Masa saya bagi dia rasa makan masakan tempoyak tu dia kurang gemar. Bagi dia, makanan Melayu banyak yang pedas. Kita pun tahu mat salih banyak tak tahan pedas, lagipun Kristina ni lebih kepada suka makan sayur," katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan wanita berdarah Rusia yang telah dua tahun menetap di ibu negara ini, Fakhruddin berkata dia menganggap Kristina sebagai kawan baiknya.

"Walaupun dia dah ikut saya balik rumah jumpa keluarga, tapi saya dengan dia kawan je. Boleh jadi rapat pun mungkin sebab saya boleh berbahasa Rusia. Keluarga saya pun ok je. Mak siap bagi Kristina cuba baju kurung dia.



Kristina mencuba pakaian tradisi Melayu iaitu baju kurung.

"Bab jodoh tu, kalau memang saya ditakdirkan dengan dia saya tak menolak tapi kalau tengok dari segi ekonomi dan kewangan, saya tak berani juga," seloroh Fakhruddin.

Tambahnya lagi, dia sememangnya suka dengan konsep gabungan lokal dan budaya luar ketika berkarya sebagai jurugambar atau lebih tepat lagi 'mobile photography'.

Bercerita lanjut mengenai tugasnya, Fakhruddin mengakui sudah terbiasa menggunakan telefon pintar sahaja berbanding kamera professional seperti DSLR seperti jurufoto-jurufoto lain.

Namun, ia tidak sedikit pun menjadi penghalang untuknya berekspresi kerana dia banyak mencari peluang dan pengalaman baru.

"Saya jenis suka travel sebab saya memang minat nak cuba benda baharu dalam hidup. Sama lah macam Kristina ni. Budaya luar memang suka nak cuba benda-benda yang lain dari culture mereka," ujar Fakhruddin.



Antara gambar-gambar yang diambil Fakhruddin menggunakan teknik mobile photography.

Berikutan video yang menjadi tular setelah wanita ini memakan petai belalang di TikTok, netizen mula meminta Fakhruddin untuk memuat naik lebih banyak video Kristina dalam mengenali budaya Melayu.

Susulan itu, beberapa content lain telah dihasilkan seperti Kristina memakai baju kurung, memandu kereta antik dan Proton Saga, meninjau sawah serta memanjat pokok kelapa.

Namun menurut Fakhruddin, disebalik keseronokkan yang dipertontonkan, dia sudah lali dan bersedia dengan komen-komen manusia yang tidak 'open-minded'.

"Video-video saya post tu ada je komen-komen negatif. Ada yang mempersoalkan kenapa dia pakai salib, sedangkan kita di Malaysia ni diversity.

"Sepatutnya kita boleh hormat dan terima je budaya lain. Jangan pula kita kecam paksa suruh dia masuk Islam. Sebenarnya kita yang buat orang lagi jauh dan tak hormat kita kalau macam tu.

"Macam saya, memang suka berkawan dengan bangsa asing. Saya tak kisah pun cara mat salih ni, janji kita sendiri tahu jaga maruah dan batas. Jadi bila orang tengok kita ni berprinsip, mereka pun akan respect kita," jelas Fakhruddin.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain