suria

Pelajar tak sangka ‘masyuk’ duduk kampung! Bermula dengan video kutip buah, tangkap lobster... semuanya ‘sold out’ jual online

Udang yang dijual Syahir mendapat permintaan yang tinggi sejak tahun lalu.

KEGIGIHAN pelajar dari Kluang, Johor ini yang berkongsi video berkaitan kehidupan kampung ternyata membawa rezeki buatnya.

Sepanjang berada di rumah ketika pandemik Covid-19 melanda, Muhamad Nur Syahir Mohd. Nordin, 21, banyak menghabiskan masa dengan mengutip buah-buahan tempatan dan menangkap udang.

Penangan video yang tular di media sosialnya membolehkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) itu meraih pelanggan dari serata negeri.

ARTIKEL BERKIATAN: Tak nak susahkan mak ayah, sejak SPM lagi siswa Upsi hasilkan video cun tapi guna telefon je... pernah rasa down semasa job majlis kahwin

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar nakal, kelas tercorot bangkit ketika STPM sampai mak ayah tak percaya dapat masuk U... sekarang rasa nak peluk cikgu!

Paling laris tentunya buah pulasan yang dijual pada harga RM16 sekilogram menerusi Shopee serta udang kara air tawar yang ditangkap di sungai berhampiran rumahnya.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya tak tahu nak buat apa. Jadi saya buat video di sekeliling rumah. Saya bermula dengan video kutip buah. Kebetulan musim buah dan di sekeliling rumah saya ada pokok pulasan.

"Ramai pula yang minta nak beli buah pulasan selepas video saya viral. Jadi saya jual secara online menerusi Shopee. Pelanggan saya ada dari Terengganu, Kelantan dan beberapa negeri lain. Memang laris, sampai sold out.

"Selain video kutip buah, saya juga buat video tangkap udang kara air tawar menggunakan bubu. Sungai terletak 200 meter di belakang rumah saya. Sejak itu, ramai juga yang mesej nak beli udang.

syahir3

Selain udang, Syahir turut berniaga buah pulasan.

"Tapi saya jual untuk orang setempat dalam negeri Johor saja. Sekurang-kurangnya saya boleh buat duit sebagai persiapan untuk masuk kampus," ujarnya yang senang disapa Syahir.

Menurut penuntut bidang keusahawanan itu, proses menangkap ikan tidaklah semudah yang disangka, malah ia memerlukan kesabaran tahap tinggi.

Saya awalnya sekadar buat video saja, tak ada niat pun nak jual udang atau buah pulasan.

SYAHIR

Namun katanya, dia tidak kisah untuk melalui proses itu memandangkan sudah terbiasa melakukan kerja-kerja itu bersama bapanya, sejak sekian lama.

"Sejak kecil saya selalu tangkap udang dengan keluarga, dengan ayah. Bila dah besar, saya pergi tangkap sendirian saja. Cuma kena pandai carilah, misalnya di kawasan berumput, berlumpur dan berpasir.

"Saya akan letak bubu dalam jam 6 petang, saya kena tinggalkan satu malam, esok pagi baru saya pergi angkat bubu. Memang saya guna kaedah tradisional," ujarnya.

Menurut anak keempat daripada enam beradik itu, dia juga terharu dengan sokongan netizen terhadap video kehidupan kampung yang dihasilkannya.

syahur4

Syahir mempunyai lebih 273,000 pengikut di TikTok.

Menggunakan tagline ‘Kampung People Be Like’ di media sosial seperti Instagram dan TikTok, Syahir juga menerima rezeki lain apabila dia diupah para peniaga untuk membuat produk reviu.

"Saya tak jangka akan jadi begini. Saya awalnya sekadar buat video saja, tak ada niat pun nak jual udang atau buah pulasan. Saya hanya orang kampung biasa.

"Sebelum ini saya tiada pendapatan. Sekarang saya juga ada terima produk reviu. Jadi ada rezeki di situ. Terima kasih kepada semua yang menyokong sejak awal," ujarnya.

syahir2

Syahir banyak berkongsi video kehidupan kampung menerusi TikTok dan Instagram.

Kini, dia yang berada di semester dua pengajian sudah kembali ke kampus di Tanjung Malim, Perak dan mula mengubah content kerana jauh dari kampung halamannya.

"Dulu semester satu belajar di rumah. Kini, saya dah masuk kampus. Saya mula buat video berkaitan kehidupan kampus. Alhamdulillah, masih ramai yang sokong.

"Malah, video baharu saya dapat lebih sejuta tontonan dalam tempoh singkat. Saya cuba hasilkan video secara konsisten untuk beri kepuasan kepada semua," ujarnya yang memiliki 273,000 pengikut di TikTok.

Selain itu, ada beberapa lagi video Syahir turut meraih sehingga lebih dua juta tontonan di akaun TikTok miliknya.

Tambah Syahir, content berkaitan kehidupan kampung sudah tentu akan disambung semula ketika dia pulang bercuti, tidak lama lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain