MAJLIS Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA ke-12) pada Selasa turut dimeriahkan dengan kehadiran seorang graduan yang sedang berpantang. Menurut Yus Amira Mohd Yusuf, 26, dia tetap bersemangat untuk menerima segulung ijazah biarpun baru sahaja melahirkan anak sulung secara pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Khamis lalu. Senang disapa Amira, lepasan bidang Teknologi Maklumat (Informatik Media) itu tidak bersendirian, sebaliknya ditemani suami Mohamd Amirul Hakim Mohd Sanusi, 26, yang turut diraikan dalam majlis sama. ARTIKEL BERKAITAN: 2 kali majlis ditunda, graduan melaram jubah konvo demi cipta kenangan sendiri... paling tak lupa kisah hampir putus asa di Jepun ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa saya tak macam orang lain?” - Pemuda ini pasrah sendirian di majlis graduasi, dah 2 kali konvo mak ayah tak dapat datang "Saya dan suami belajar dalam jurusan yang sama. Jadi, saya nak konvo sekali dengan dia. Nak raikan hari bahagia ini dengannya. "Biarpun baru beberapa hari bersalin, saya dah minta nasihat doktor untuk hadir ke majlis ini. Saya hadir majlis konvo dengan berhati-hati, mengikut nasihat yang diberikan doktor. "Sepanjang majlis itu, suami tolak saya dengan kerusi roda. Saya cuma berjalan ketika naik pentas sambil diiringi seorang urusetia majlis. Selebihnya, memang saya duduk atas kerusi roda," ujarnya. Menurut Amira yang berasal dari Langkawi, Kedah, dia dan suaminya berkenalan di kampus UnisZa Besut pada 2017 sebelum mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021. Amira dan suami bernikah pada 1 Januari 2021. Bercerita lanjut, Amira mengakui kehadirannya berkerusi roda turut mencuri tumpuan orang sekeliling, khususnya para pensyarah dan rakan-rakan sekuliah. Malah kata Amira, dia terharu apabila menerima ucapan tahniah berganda atas kejayaan menamatkan pengajian serta kehadiran cahaya mata pertamanya. "Sebenarnya ramai yang terkejut. Ramai kawan tak tahu saya hamil selama ni. Mereka juga terkejut sebab saya masih datang ke konvo walaupun baru saja menjalani pembedahan untuk lahirkan anak beberapa hari lalu. Saya dijangka bersalin pada 14 Februari depan, tapi terpaksa bersalin pada minggu 37 kehamilan. AMIRA "Pensyarah pun ramai yang turut bertanya khabar. Kiranya saya dapat ucapan tahniah dua dalam satu. Selain ucapan tahniah kerana dah tamatkan pengajian, saya juga dapat ucapan tahniah kerana baru mendapat bayi pertama," ujar Amira lagi. Dalam pada itu, Amira memaklumkan bayi lelakinya masih berada dalam pemantauan doktor di HUSM dan dijangka dibenarkan discaj pada Khamis. Jelas Amira lagi, dia terpaksa bersalin secara pembedahan kerana kandungannya berada dalam keadaan songsang selain kadar degupan jantung bayinya yang tinggi pada Khamis lalu. Pasangan ini berkenalan di kampus UniSZA Besut pada tahun 2017. "Saya memang alahan teruk sejak awal sehinggalah bulan kelima. Sering muntah, sampai tiga kali kena drip. Saya dijangka bersalin pada 14 Februari depan, tapi terpaksa bersalin pada minggu 37 kehamilan. "Ketika pemeriksaan, doktor mendapati kandungan saya songsang dan jantung bayi berdegup laju. Disebabkan itu, mereka buat keputusan agar saya dibedah pada Khamis lalu," ujarnya. Amira kini sedang menyambung pengajian peringkat Sarjana di UniSZA, manakala suaminya bekerja sebagai pengusaha restoran di Pasir Puteh, Kelantan. Sebahagian daripada 3,345 graduan yang diraikan dalam majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-12. (Foto: Instagram uniszaedumy.) Tambah Amira, dia berharap cahaya mata sulungnya yang diberi nama Muhammad Umar Al-Fateh dapat membesar dengan sihat dan menjadi anak yang baik untuk dia dan suami. Untuk rekod, majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-12 berlangsung di kampus induk di Gong Badak selama lima hari, bermula 23 sehingga 27 Januari 2022. Majlis itu meraikan 3,345 graduan dan diadakan dalam suasana patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI