suria

Adik pelik bisnes masakan utara kakak tak laku walau sedap, ramai lalu lalang tapi tak singgah... semuanya berubah selepas guna ‘ilmu universiti’

Fakrul berkongsi video mengenai suasana sepi di kedai kakaknya menerusi TikTok.

SEMENTARA menunggu panggilan bekerja, bakal guru ini selesa menimba pengalaman di kedai makan milik kakaknya sendiri.

Menurut Mohamad Fakrul Razi Shafie, 25, dia sedih melihat perniagaan makanan utara itu sepi tanpa sambutan sejak ia mula diusahakan pada April tahun lalu.

Menurut lepasan bidang Pendidikan Ekonomi itu, kakaknya Noor Shahirah Shafie, 37, mengetengahkan menu-menu utara, namun premis tersebut yang terletak di Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang masih sepi tanpa kehadiran pelanggan.

ARTIKEL BERKAITAN: Berhenti kerja bank, jual brownies! Pemuda ini mampu buka kedai kek walau cuma belajar di YouTube, sekali pergi kelas asas - “Baju raya pun tak beli”

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini tinggalkan kerja offshore demi jaga ibu sakit di kampung, bermula dengan jual cream puff, rezeki diperoleh selepas itu sukar dipercaya

"Mula-mula kakak buka kedai untuk waktu sarapan tapi tiada sambutan. Jadi dia buka untuk makan tengah hari, kemudian dia buka untuk makan malam pula. Akhirnya kedai itu beroperasi dari 7 pagi sehingga 11 malam.

"Kakak berniaga dengan suaminya. Tapi mereka mampu bayar seorang pekerja saja. Pekerja itu pun bekerja sehingga jam 2 petang. Untuk waktu selepas 2 petang sampai malam, saya yang akan bantu.

"Saya pun baru konvo, jadi baru dua minggu saya bantu kakak sebab kesiankan dia. Sebelum ni kakak pernah cerita, susah nak dapat pelanggan. Bila sekarang saya sendiri ada di kedai, saya memang boleh rasa apa yang dia cakap.

fakrul2

Antara makanan yang ditawarkan di kedai tersebut.

"Bila berada dalam kedai, saya rasa sangat sunyi. Dalam keluarga, kakak memang suka memasak. Masakannya pun sedap. Jadi saya terfikir, kenapa orang tak sudi rasai masakan dia? Saya duduk di kedai, saya tengok orang lalu-lalang ramai, tapi mereka sekadar lalu.

"Keadaan kedai pun bersih dan teratur, tapi masih tak ada orang. Kakak dan suami yang masak sendiri, mereka menawarkan menu utara seperti nasi kandar, laksa utara, bihun sup dan banyak lagi," ceritanya panjang lebar.

Senang disapa Fakrul, anak ketujuh daripada sembilan beradik itu mencuba pelbagai cara untuk memperkenalkan premis perniagaan kakaknya kepada masyarakat setempat.

Sebelum ini, nak penuhkan lima meja pun susah. Sejak viral, saya rasa tak boleh duduk diam, mesti ada saja kerja yang perlu dibuat.

FAKRUL

Pada Jumaat lalu, satu rakaman video yang memaparkan kesunyian premis tersebut yang dikongsi ke aplikasi TikTok meraih perhatian ramai sehingga membuka pintu rezeki buat mereka sekeluarga.

"Saya perasan tiada sistem pengurusan di kedai kakak saya. Dengan ilmu yang saya pelajari, saya tolong dia dari segi perakaunan, marketing dan perkhidmatan. Sebab saya belajar ekonomi, jadi saya cuba guna ilmu itu untuk bisnes kakak.

"Jadi saya hasilkan satu video, tak sangka ia viral di TikTok. Selepas insiden viral, ramai yang komen bagi sokongan. Ramai warga Kuantan turut komen di posting video itu.

"Esoknya saya perasan ada peningkatan dalam sales kedai kakak. Sebelum ini, nak penuhkan lima meja pun susah. Sejak viral, saya rasa tak boleh duduk diam, mesti ada saja kerja yang perlu dibuat. Alhamdulillah, kaedah itu berhasil.

fakrul4

Fakrul merupakan graduan Pendidikan Ekonomi dari Upsi.

"Saya sangat tersentuh dengan sokongan mereka. Ada juga yang datang ke kedai, mereka kata kenal bisnes kakak melalui video di TikTok. Mereka pun turut bagi kata-kata semangat agar jangan berputus asa.

"Saya nak ucap terima kasih kepada sesiapa saja yang kongsi video itu. Saya harap makanan di kedai kakak saya meninggalkan kesan yang baik sehingga mereka nak datang lagi selepas ini," ujar Fakrul lagi sambil menambah mereka sekeluarga berasal dari Kedah.

Video di akaun TikTok miliknya itu sehingga kini sudah menerima lebih 78,000 tontonan.

Mengenai dirinya, Fakrul yang juga penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sudah menamatkan pengajiannya dengan keputusan kelas pertama pada tahun 2020.

fakrul3

Kakak sulung Fakrul mengusahakan kedai itu sejak April tahun lalu.

Namun katanya, majlis graduasi baru sahaja dilangsungkan pada November lalu selepas lama tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Paling gembira kata Fakrul, dia gembira dengan hasil kerja kerasnya sehingga meraih keputusan cemerlang, sekali gus dapat mengubah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi biasiwa.

"Saya tengah tunggu panggilan untuk jadi cikgu. Untuk subjek Ekonomi belum buka lagi, jadi saya mohon untuk jadi cikgu sejarah. Masih tunggu keputusan sekarang.

"Sejujurnya saya gembira apabila dapat keputusan kelas pertama. Bila ambil pinjaman PTPTN, saya cuba usaha belajar bersungguh-sungguh agar tak perlu bayar, selain saya kerat kudrat untuk belajar," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain