suria

Pernah baca kisah orang, ibu muda tak sangka dapat rasai lahirkan bayi ‘kembar tahun’... semuanya penangan nak merancang sendiri!

Qis menimang dua cahaya mata pada 2021.

PERNAH mendengar kisah para ibu yang melahirkan 'kembar tahun', wanita ini juga sama sekali tidak menyangka mengalami pengalaman yang sama.

Dikurniakan dua cahaya mata dalam tempoh setahun semestinya amat mencabar, namun menurut Nurul Balqis Redzuan, dia dan suami, Mohd Saiful Johare, 30, menerima anugerah Allah dengan lapang dada dan hati terbuka.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita berusia 22 tahun ini berkata, dia melahirkan cahaya mata sulung, Muhammad Aryan Qalish pada tanggal 22 Januari 2021 sebelum mendapat perkhabaran dirinya hamil cahaya mata kedua selang empat bulan berikutnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat! Baru je timang cucu, atuk usia 58 tahun buat kejutan isterinya pula lahirkan anak kembar... ramai minta kongsi tip

ARTIKEL BERKAITAN: 5 tahun kahwin, 5 kali gugur dan wanita ini diuji lagi... keguguran bayi kembar 6 bulan, kanser rahim buat pasangan ini bawa diri balik kampung

"Selepas bersalin bayi sulung, saya pilih untuk merancang sendiri. Saya tak guna pil perancang atau sebagainya kerana bimbang berat badan naik.

"Bila anak dah masuk usia empat bulan, saya ingat lagi, ketika itu kita baru menyambut Aidilfitri. Saya lambat datang period... memang kitaran saya 'on time'. Tunggu punya tunggu, tak datang... seminggu juga dah lewat.

"Saya tak sedap hati, lalu bercadang nak buat ujian sendiri. Terkejut bila tengok dua garisan pada alat ujian kehamilan tu. Perasaan waktu itu bercampur-baur. Terkejut, gembira, menggigil pun ada.

"Saya beritahu suami dan dia pun speechless bila tengok alat ujian kehamilan tu. Kami sama sekali tak menjangka dapat baby lagi sebab anak kecil lagi," ujarnya yang senang disapa sebagai Qis.

Wanita ini menambah, pada peringkat awal kehamilan kedua, emosinya agak kurang stabil memandangkan dia mengalami alahan yang agak teruk.

QIS

Qis dan suaminya mendapat perkhabaran bakal menimang cahaya mata kedua ketika bayi sulung mereka hampir berusia empat bulang.

"Memang pada mulanya saya happy sebab dapat baby lagi. Tapi bila alami alahan yang teruk, saya mula down.

"Saya muntah-muntah dan terpaksa berhenti kerja di bahagian pentadbiran sebab tak dapat fokus kerana alahan teruk. Saya pernah dimasukkkan ke hospital untuk tambah air sebab badan lemah.

"Alahan semasa hamil bayi kedua berlarutan sehingga tiga bulan lamanya.

"Saya juga alami trauma kerana pengalaman bersalin bayi pertama di sebuah hospital kerajaan masih lagi menghantui fikiran, kerana mendapat layanan yang tidak bagus," ujar wanita yang menetap di Bayan Lepas, Pulau Pinang ini.

Terkejut bila tengok dua garisan pada alat ujian kehamilan tu. Perasaan waktu itu bercampur-baur.

NURUL BALQIS REDZUAN

Qis berkata dia selamat melahirkan bayi keduanya, Nur Aryana Dahlia, pada tanggal 30 Disember 2021 di sebuah hospital swasta.

Mempunyai dua cahaya mata yang masih kecil pada masa sama, Qis yang kini menjalankan bisnes 'surprise box' berkata dia dan suami cuba sedaya upaya untuk mengagihkan tugas masing-masing dan mencurahkan kasih sayang yang sama rata buat putera dan puteri mereka.

"Anak sulung kecil lagi tiba-tiba ada adik. Memang dia memerap sikit. Jadi kami pastikan beri perhatian sama rata. Suami yang banyak tolong jaga anak-anak dan menaikkan semangat saya.

BABY 1

Pengarang jantung Qis dan suami, Muhammad Aryan Qalish (kiri) dan Nur Aryana Dahlia.

"Tak sangka bila share video di TikTok, jadi viral pula. Ramai juga share pengalaman dapat kembar tahun.

"Apa yang boleh saya kongsikan, jangan down andai kata diberi rezeki baby baru dalam tempoh yang pendek. Pastikan beri kasih sayang sama rata kepada anak-abak.

"Apapun, rancang keluarga elok-elok. Perancangan keluarga tu penting," ujar ibu muda ini lagi.

Sehingga kini perkongsian Qis di aplikasi TikTok meraih lebih 196,000 jumlah tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain