suria

Usia belum pun 4 tahun tapi dah 3 kali kena Covid-19... ibu muda kesal percutian ke Melaka bawa musibah, doa penyakit 'pindah' kepadanya

Nurul Miftahul Jannah dijangkiti Covid-19 buat kali ketiga pada Sabtu lalu dan kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

MELANGKAH ke bulan Februari 2022, angka jangkitan Covid-19 di negara ini terus meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat.

Antara yang turut terkesan tentunya kanak-kanak comel berusia tiga tahun sembilan bulan, Nurul Miftahul Jannah yang sudah tiga kali dijangkiti virus Covid-19.

Menurut Nurul Syafika Supardah, 19, anaknya pernah dijangkiti virus berkenaan pada Mac dan Mei 2021 sehinggalah episod duka itu kembali berulang pada Sabtu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Menangis urus jenazah pesakit Covid-19 di Sabah, dalam bersedih tak boleh sikit pun silap langkah - “Kalau tak buat, siapa lagi nak bantu?”

ARTIKEL BERKAITAN: Menangis berdua dengan ibu... anak tunggal sebak kenang pemergian bapa akibat Covid-19, tiada lagi teman bergaduh manja

"Saya, suami dan anak pernah dijangkiti Covid-19 pada Mac 2021. Pada waktu itu, kami berjangkit dengan suami. Saya dan anak menjalani kuarantin di rumah manakala suami di Maeps (Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang).

"Kali kedua pada pertengahan tahun lepas, hanya saya dan anak yang dijangkiti Covid-19. Pada waktu itu pun kami hanya kuarantin di rumah.

"Pada Disember tahun lepas, anak saya pernah masuk hospital kerana demam dan batuk, doktor kata ada jangkitan kuman pada paru-paru. Nafasnya juga laju. Masa tu dia dimasukkan ke hospital selama enam hari, tapi dia negatif ujian Covid-19.

"Bagaimanapun Sabtu lalu, kami sekeluarga sekali lagi buat ujian saringan Covid-19 dan hanya anak saya yang positif. Maknanya ini kali ketiga dia positif Covid-19.

eyka3

Eyka bersama suami dan anaknya.

"Pada Isnin petang, anak saya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh kerana nafasnya jadi laju. Kemungkinan ada jangkitan pada paru-paru lagi," imbas ibu muda itu.

Senang disapa Eyka, dia tidak dapat mengenalpasti faktor jangkitan kali ini, namun beranggapan kunjungan mereka sekeluarga ke Melaka sempena cuti Tahun Baru Cina sejak 31 Januari sehingga 5 Februari sebagai punca utama.

Tengok anak jadi macam ni, kalau boleh saya nak penyakit itu dipindahkan kepada saya.

EYKA

Menurut suri rumah sepenuh masa itu, dia dan suami, Kharill Syahzzwan Abdullah, 22, hiba dan menyesal dengan kunjungan tersebut yang dianggap sebagai punca penderitaan anak tunggal mereka yang sekali lagi dijangkiti wabak berkenaan.

"Kami baru balik holiday di Melaka. Selepas balik, kami buat ujian saringan Covid-19 sendiri, hanya anak saya yang positif. Hari ini (Selasa) kami sekeluarga akan buat saringan sekali lagi.

"Sebagai ibu, sudah tentu perasaan saya sedih. Tengok anak jadi macam ni, kalau boleh saya nak penyakit itu dipindahkan kepada saya.

"Biar saya sendiri yang kena. Benda nak jadi, kita pun tak tahu dan tak nampak. Bila tengok dia kena cucuk dan menangis, kita sebagai ibu yang rasa seksa.

eyka2

Si kecil ini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh sejak minggu lalu.

"Kalau tahu nak jadi macam ni, kami tak ada pergi. Kami bertiga bercuti ke Melaka dan kawan-kawan suami pun ikut sekali," ujar Eyka yang menetap di Kuala Langat, Selangor itu.

Menurut Eyka yang sangat terkesan dengan kejadian kali ini, dia berpesan kepada ibu bapa di luar sana agar terus berwaspada agar anak-anak mereka tidak dijangkiti wabak berkenaan.

"Pesanan saya kepada ibu bapa di luar sana, elakkan pergi bercuti. Fikir anak dan situasi sekarang. Benda tak nampak tapi boleh terjadi sekelip mata, boleh terjadi bila-bila masa.

"Orang kata, jangan dah jadi baru nak menyesal. Ini merupakan pengajaran untuk saya juga.

"Ujian kali ini membuatkan saya sedar untuk tidak sesuka hati bawa anak keluar," ujarnya yang sudah berumah tangga sejak tahun 2019.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain