suria

Bapa baru meninggal, 3 beradik sempat buat video trend TikTok sebelah jenazah - “Aku tak boleh brain...”

Tangkap layar video menunjukkan tiga beradik membuat video bersebelahan jenazah bapa mereka.

SIAPA yang tidak sedih apabila insan tersayang meninggal dunia? Macam-macam cara dibuat untuk meluahkan kesedihan termasuk berkongsi perasaan menerusi platform media sosial.

Namun kecoh apabila satu video menunjukkan tiga gadis dipercayai adik-beradik membuat rakaman di sebelah jenazah bapa mereka.

Menerusi video berdurasi 18 saat itu, ia menunjukkan trend 'sebelum dan selepas' yang menjadi ikutan di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak mengaku tak fikir panjang, dedah cerita sebenar di sebalik perkongsian video TikTok sebelah jenazah bapa

Rakaman 'sebelum' pada Oktober 2021 menunjukkan ketiga-tiga mereka sedang menari ketika duduk, dan seorang lelaki dipercayai bapa mereka berdiri di belakang.

Ia disusuli rakaman 'selepas' iaitu pada Februari 2022 di mana ketiga-tiganya memakai tudung dan berjubah dengan kedudukan sama, namun kali ini berdiri bersebelahan dengan jenazah bapa mereka.

Di akhir video, ketiga-tiga mereka kemudian berpaling ke arah jenazah yang telah ditutup dengan kain kapan.

"Rasa sekejap sangat bersama papa. Perginya papa pada hari Jumaat setelah bertarung 33 hari di ICU (unit rawatan rapi).

"Semoga syurga tempatmu papa bersama para hambaNya yang soleh. Amin," tulisnya menerusi keterangan video, tanpa mendedahkan lokasi rakaman.

trend tiktok jenazah ayah 3

Tangkap layar video mengikut trend media sosial 'sebelum dan selepas'.

Berdasarkan semakan, bapa mereka menghidap kanser tahap empat dan sebelum ini menjalani kemoterapi.

"Hargailah mereka selagi ada. Sakit dan sedih yang terdalam. Terima kasih Allah berikan kami ayah terhebat! Kami akan menyusulmu. Al-Fatihah untuk papa," tambahnya.

Tidak sepatutnya bagi seseorang muslim itu menyebar video atau gambar si mati di dalam media sosial atau kepada masyarakat umum. Ini kerana ia bertentangan dengan etika dan akhlak bagi seorang muslim.

PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Video yang dimuat naik di aplikasi TikTok pada awal pagi Isnin itu menimbulkan pelbagai reaksi dengan rata-rata netizen menyifatkan rakaman bersama jenazah yang dibuat mengikut trend media sosial itu sebagai tidak sensitif.

"Macam mana boleh teringat nak video ni waktu tengah sedih."

"Aku tak boleh brain, dia mampu buat TikTok kat sebelah jenazah."

"Ayah saya meninggal bulan 10 tahun lepas. Tak pernah terfikir nak buat macam ni. Nak tengok gambar-gambar dia waktu sakit atau sihat pun saya tak mampu lagi," demikian antara komen-komen netizen.

komen trend jenazah ayah compile B

Antara komen-komen netizen.

Susulan dikecam ramai, video tersebut bagaimanapun telah dipadamkan daripada akaun TikTok yang mempunyai lebih 91,000 pengikut.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada Januari 2021 memberi penjelasan berhubung pertanyaan tentang menyebar video orang yang telah meninggal dunia yang dirakamkan bagi tujuan kenang-kenangan dan dikongsi di media sosial.

"Tidak sepatutnya bagi seseorang muslim itu menyebar video atau gambar si mati di dalam media sosial atau kepada masyarakat umum. Ini kerana ia bertentangan dengan etika dan akhlak bagi seorang muslim.

"Selain itu, perbuatan itu juga boleh mengundangkan kepada fitnah dan perasaan tidak selesa terhadap keluarga si mati. Bahkan ia juga perlu dihentikan daripada terus tersebar dengan kadar segera.

"Namun, perbuatan menyebarkan video atau gambar tersebut diharuskan bagi tujuan tertentu untuk menjaga kebaikan dan manfaat bagi pihak yang berautoriti dengan syarat mendapat keizinan pihak keluarga serta menjaga aib si mati," menurut penjelasan 'Irsyad Al-Fatwa Siri Ke 540: Hukum Merakam Video Orang Yang Meninggal Dunia?'

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain