suria

Payung bengkok dibadai angin kuat, tukang jahit 30 tahun tetap gigih buka gerai nasi ayam... terkejut usaha anak angkat menjadi, nasib pasang 2 ‘bodyguard’

Kak Nurul mahu setiap pelanggan gembira dengan air tangannya yang dihasilkan dengan seikhlas hati.

SELEPAS 30 tahun mengabdikan diri sebagai tukang jahit, wanita ini mengambil langkah berani untuk terjun ke dunia perniagaan makanan.

Menurut Nurul 'Ain Duaris, 53, gerai nasi ayam yang dibuka di Jalan Bayu 1, Nusa Bayu, Gelang Patah, Johor berhadapan pelbagai dugaan sejak memulakan operasi pada Julai tahun lalu.

Menurut ibu kepada tujuh cahaya mata itu, bukan senang untuk memikat hati pelanggan, tambahan pula dia masih bertatih dalam bidang tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Gerai musnah dibadai ribut, jualan habis berterabur... reda diuji di hari pertama Ramadan, tindakan 2 rakan niaga selepas itu nyata berbaloi

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga terkejut ramai mesej tanya nasi kerabu, rupa-rupanya diri dah viral sebab tak kedekut - “Kalau boleh nak jumpa depan-depan”

"Awal-awal berniaga, tiada orang datang. Mula-mula tu memang susah. Saya pun berniaga bawah payung saja, hujan ribut semua saya hadapi.

"Cuaca menjadi cabaran utama. Pernah berlaku kejadian angin kuat sampai bengkok payung gerai saya. Tapi saya ikat semula. Walau apa pun yang berlaku, saya percaya dengan rezeki Allah.

"Saya sabar menanti. Nak dapatkan pelanggan kena ambil masa. Orang kena cuba makan dulu. Bila dah rasa sedap, InsyaAllah mereka datang lagi," ujarnya yang senang disapa Kak Nurul.

nurl2

Wanita itu memulakan perniagaan nasi ayam pada Julai tahun lalu.

Perlahan-lahan mencari rentak dalam perniagaan, gerai diusahakan wanita itu tiba-tiba meraih perhatian luar biasa selepas kisahnya tular di laman Twitter.

Ia susulan tweet hebahan yang dibuat oleh anak angkatnya, Nurul Fairuzah Jaffar, 30, yang meraih lebih 7,300 ulang kicau (Retweet) di platform media sosial itu.

Menurut Kak Nurul, dia terkejut menerima kehadiran pelanggan yang lebih ramai berbanding kebiasaan, sekaligus menyiaftkan ia sebagai permulaan yang baik untuk tahun 2022.

Kami dah tua, tak elok duduk-duduk saja. Kena aktif. Kerja pun satu ibadah juga.

NURUL 'AIN DUARIS

"Ramai yang datang, tak putus-putus. Saya tak ada Twitter, tak tahu anak nak masukkan dalam Twitter. Alhamdulillah, syukur pada Allah. Tak tahu pula kuasa viral sampai macam ni.

"Paling terharu bila ramai netizen doakan saya. Doa-doa mereka semua sangat saya hargai. Moga mereka juga dikurniakan rezeki yang lebih baik," ujarnya.

Tambah Kak Nurul, dia juga sangat berterima kasih kepada anak angkatnya atas insiatif membuat hebahan mengenai gerai tersebut sehingga ia meraih perhatian netizen.

Bercerita lanjut, Kak Nurul akui gembira dapat berjumpa pelabagai jenis pelanggan dengan ragam berbeza setiap kali dia menjalankan perniagaan.

nurul3

Kak Nurul bersyukur gerai miliknya mula mendapat perhatian ramai.

Paling penting katanya, dia mahu setiap pelanggan gembira dengan air tangannya yang dihasilkan dengan seikhlas hati.

"Saya berniaga bermula pukul 11.30 pagi sampai 3 petang. Tapi proses memasak dah bermula selepas solat Subuh. Nasi ayam di gerai saya dijual pada harga RM6 saja.

"Seronok dapat jumpa orang hari-hari. Ramai yang positif. Saya dibantu dua anak ketika berniaga di gerai ini. InsyaAllah kalau ada rezeki, saya nak buka kedai suatu hari nanti," ujarnya.

Tambah Kak Nurul lagi, dia juga memulakan perniagaan itu sebagai persediaan untuk hari pencen suaminya, Mohd Hidzir Md Tap, 58, tidak lama lagi.

nurul4

Hebahan di Twitter yang dibuat oleh anak angkatnya.

"Pakcik kerja dalam bidang pengurusan di sebuah kolej kejururawatan. Jadi, adalah aktiviti dia lepas pencen nanti, dia boleh berniaga di gerai ini.

"Kami dah tua, tak elok duduk-duduk saja. Kena aktif. Kerja pun satu ibadah juga," ujarnya lagi.

Selepas meninggalkan dunia jahitan, legasi Kak Nurul dalam bidang itu tetap diteruskan oleh dua anaknya.

Tambah Kak Nurul, salah seorang anaknya turut mengusahakan sebuah butik di Nusa Idaman, Nusajaya, Johor.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain