suria

Rombongan pakai sari iringi pengantin lelaki, rupa-rupanya ada kaitan darah campur... pemuda ini kongsi kisah di suatu pagi ke masjid cari tok imam

Rombongan keluarga mengiringi pengantin lelaki. Gambar kecil Zakhlis (kiri) dan isteri.

PALUAN kompang mengiringi pengantin lelaki yang segak berbaju Melayu songket, sarat dengan elemen tradisional yang enak mata memandang.

Menerusi video yang tular di media sosial, pengantin persis pahlawan apabila lengkap dengan tengkolok dan keris.

Turut mencuri tumpuan tentunya rombongan yang mengiringi pengantin lelaki, dengan rata-ratanya dalam persalinan kaum India, memakai sari. Begitulah indahnya Keluarga Malaysia!

ARTIKEL BERKAITAN: "Selepas masjid, dia mimpi jumpa lelaki berjubah putih" - Doktor dedah suami mualaf alami dua mimpi aneh sebelum mengucap syahadah

ARTIKEL BERKAITAN: Setiap tahun wanita India ini tak pernah 'missed' datang surau, "Dia sedekah, hantar borang minta buat tahlil..."

Bercakap kepada mStar, pengantin lelaki, Muhammad Ruhillen Zakhlis Sinnathamby berkata, ia merupakan hari persandingannya di Batu Pahat, Johor pada 11 Disember lalu, selepas bernikah pada hari sama.

Pemuda berusia 32 tahun itu memberitahu, rombongan yang memakai sari yang mengiringinya ketika itu adalah ibunya bersama saudara-maranya yang berbangsa India.

"Ibu saya berbangsa India dan beragama Hindu, manakala ayah saya pula berbangsa Cina. Ibu dan ayah berpisah sejak saya masih kecil.

"Jadinya saya berdarah India-Cina dan bergelar mualaf setelah memeluk Islam pada 25 November 2020," katanya ketika dihubungi.

pengantin rombongan india 3

Zakhlis (kiri) dan isteri pada hari persandingan.

Mesra dengan panggilan Zakhlis, katanya, dia mula mengenali isterinya, Adibah Mohd Kadir, 29, ketika bekerja di tempat sama pada 2017.

Bermula hanya sekadar rakan, Zakhlis bagaimanapun memberitahu dirinya berasa cukup selesa dan menyenangi wanita itu yang banyak berkongsi ilmu mengenai agama Islam.

"Isteri saya baik dalam soal agama, didikan daripada keluarganya. Masa berkawan tu, dia banyak bercerita tentang agamanya.

"Saya yang mendengar seperti terbuka hati untuk mendalaminya. Saya dari kecil memang rapat dengan kawan-kawan Melayu dan beragama Islam," ujar anak kelahiran Klang, Selangor itu.

Lama-kelamaan hatinya semakin 'jatuh cinta' dengan agama Islam sehingga membuatkan anak tunggal itu nekad untuk memeluk Islam.

pengantin rombongan india 1

Zakhlis (dua, kiri) dan isteri (dua, kanan) bersama ibu kandung (kiri) dan ibu mentua.

"Suatu pagi saya tergerak hati untuk pergi ke masjid nak jumpa tok imam, juga nak tanya mana-mana pihak yang boleh bantu saya masuk Islam.

"Saya kemudian dipertemukan dengan seorang ustaz yang membantu saya mengucap dua kalimah syahadah beserta saksi di sebuah restoran," katanya sambil menambah ustaz berkenaan berpengalaman membimbing saudara baharu dalam Islam.

Masa berkawan tu, dia banyak bercerita tentang agamanya. Saya yang mendengar seperti terbuka hati untuk mendalaminya.

MUHAMMAD RUHILLEN ZAKHLIS SINNATHAMBY

Zakhlis yang baru selesai majlis persandingan bagi keluarganya di Klang pada 12 Februari berkata, keputusannya untuk memeluk Islam pada awalnya tidak diketahui sesiapa termasuk ibu kandung dan gadis yang disukainya.

"Pada mulanya saya takut ibu sedih. Selepas seminggu peluk Islam baru saya beritahu ibu. Tapi syukur Alhamdulillah ibu tak sedih, sebaliknya dia gembira.

"Dia (kini isteri) juga baru diberitahu. Saya syukur mendapat penerimaan yang baik daripada dia dan keluarganya terutama ayahnya yang sentiasa mengingatkan saya walau apapun, jangan sesekali tinggal solat," tambahnya.

pengantin rombongan india 4

Majlis persandingan bagi keluarga lelaki pada 12 Februari 2022.

Zakhlis yang kini berniaga berkata, dia kemudian nekad untuk merisik rakannya itu sebelum majlis tersebut bertukar menjadi pertunangan pada 10 April 2021.

"Saya terpikat dengan isteri yang bersederhana dan lemah-lembut. Sebelum masuk Islam, banyak kali juga saya ajak dia kahwin, tapi mungkin dia anggap saya tak serius.

"Bila dah enam bulan saya peluk Islam, barulah dia sudi nak kahwin dengan saya. Mulanya nak merisik dulu, terus bertunang. Alhamdulillah dia kini sah isteri saya!" katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain