suria

Tersondol Honda Accord, wanita ini baca bermacam doa terbayang samseng bawa parang... saspens saat bahunya dipegang

Kereta Shuhada terlanggar kenderaan milik seorang wanita Cina gara-gara masalah brek.

SIAPA yang tidak panik apabila terlanggar kereta milik individu lain?

Begitulah juga situasi yang dialami oleh wanita ini apabila dia tanpa sengaja terlanggar kereta di hadapannya gara-gara pad brek kenderaannya 'haus'.

Mungkin bagi sesetengah kes yang kurang bernasib baik, si pemandu pasti akan dimaki oleh pemilik kereta yang dilanggar kerana dianggap cuai.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlanggar kereta lain ketika kalut hantar anak ke sekolah, ada hikmah jumpa pemandu lelaki bengis - “Kami nak dia bawa isteri, anak-anak untuk jadi saudara dunia akhirat”

ARTIKEL BERKAITAN: Hikmah jumpa kain putih bawah kereta selepas terlanggar bangkai anjing - “Ada yang fikir kami langgar mayat atau pocong”

Namun mungkin 'rezeki' wanita ini, pemilik kenderaan tersebut sama sekali tidak menengking malah cuba menenangkannya yang jelas panik dan rasa bersalah kerana menjadi punca kemalangan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Shuhada Mohamad berkata, insiden tersebut berlaku pada pagi Rabu lalu ketika dia sedang melalui Lebuhraya Persekutuan untuk ke tempat kerjanya.

"Waktu itu sekitar pukul 10 lebih, jalan sesak dan semua kereta bergerak perlahan.

"Kebanyakan pemandu perempuan termasuk saya kurang tahu sangat bab maintenance kereta. Entah macam mana, bila dalam jem tu, saya tekan brek tapi entah kenapa tak 'makan'... maka tersondol kereta depan model Honda Accord.

"Dalam perjalanan sebelum ini, saya tekan brek macam biasa okay saja. Cuma ketika itu, brek kurang 'makan' sebab brek emergency... kalau tekan lambat memang tak 'pick-up'. Saya tak sedar pad brek kereta dah haus," ceritanya mengimbas kembali insiden tersebut.

Mengakui itu pengalaman pertama terlanggar kereta milik individu lain, Shuhada berkata dia agak panik dan perasaan bimbang menyelubungi dirinya.

langgar 1

Pemandu wanita berbangsa Cina berkenaan menenangkan Shuhada yang agak panik kerana tidak sengaja 'tersondol' kereta miliknya.

"Saya cuba bertenang dengan beristighfar, baca doa moga semuanya dipermudahkan sebelum turun dari kereta. Takut juga yang keluar tu samseng atau bawa parang. Tengok-tengok, pemandunya adalah seorang wanita Cina berusia dalam lingkungan 40an.

"Sebaik saya keluar, terus saya mohon maaf berkali-kali. Dia tengok keretanya dan tanya apa yang perlu dilakukan. Saya cakap 'jom kita pergi bengkel'. Tapi dia kata tak free masa tu.

"Jadi kami bertukar nombor telefon dahulu dan sebaik saya tiba di pejabat, terus saya WhatsApp untuk bincang perkara seterusnya," ujar wanita dalam lingkungan usia 20an ini.

Shuhada berkata, disebabkan insiden tersebut, kereta milik wanita berkenaan tertanggal klip pada bumper manakala keadaan bonet keretanya pula kemek dan tidak boleh ditutup rapat.

Dia tak marah dan tak tengking langsung. Lebih terharu, dia kemudian mesej saya dan beritahu, saya tak perlu bayar apa-apa.

SHUHADA MOHAMAD

"Waktu dia tengok kereta saya, dia terus pegang bahu dan tenangkan saya. Waktu dia pegang bahu untuk tenangkan saya tu buat saya terharu. Katanya, 'kita manusia memang tak lari dari kesilapan'.

"Dia tak marah dan tak tengking langsung. Kalau kena tengking, memang ke laut mood nak bekerja hari itu. Lebih terharu, dia kemudian mesej saya dan beritahu, saya tak perlu bayar apa-apa sebab bengkel hanya betulkan klip saja.

"Alhamdulillah, memang rezeki saya dipertemukan dengan orang yang baik," katanya yang bekerja sebagai perancang kewangan di sebuah syarikat pengurusan aset di Damansara.

Menurut Shuhada, perkongsiannya di aplikasi TikTok bertujuan untuk mengingatkan betapa pentingnya pemandu untuk kerap memeriksa kenderaan masing-masing, dan dalam masa yang sama menunjukkan betapa harmoninya hubungan sesama masyarakat jika tidak berlandaskan emosi.

komen langgar

Antara komen netizen pada perkongsian video Shuhada.

"Moralnya, maintenance kereta kena jaga. Bukan itu saja, bagi saya, maintenance diri sendiri kena jaga dari segi kesihatan dan kewangan. Bayangkan kalau kemalangan terjadi sebab kita tak sihat, tak cukup tidur.

"Dalam pada itu, kena sentiasa menjaga emosi. Bila jadi macam ini, banyakkan istighfar.

"Dan, doa itu memang penting sama ada doa ibu dan doa sekeliling. Saya memang selalu amalkan, kalau langkah kaki nak keluar, baca doa dan mina Allah jumpakan saya dengan orang yang baik-baik.

"Tak sangka pula jadi viral dan Alhamdulillah, banyak sangat komen yang positif. Tapi terselit juga komen yang tuduh saya main telefon bimbit. Untuk pengetahuan, saya tak main atau pegang telefon pun masa memandu ketika itu.

"Tapi mungkin sebab tak terkena pada batang hidung sendiri, ada yang sewenang-wenangnya buat andaian," ujarnya lagi.

Sehingga kini perkongsian video tersebut di aplikasi TikTok meraih lebih 510,000 jumlah tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain