suria

Tak sia-sia melukis sampai 3 hari, gadis Sabah akui ‘blushing’ selepas MK respon... next nak hasilkan potret Tangmo Nida

Khadijah bersama potret wajah MK yang dihasilkannya.

BUKAN biasa-biasa.

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai gadis dari Beaufort, Sabah ini yang berbakat besar dalam penghasilkan lukisan wajah manusia.

Terbaharu, potret memaparkan wajah penyanyi rap MK K-Clique oleh Khadijah Ariffin turut menjadi tular dan menerima pujian ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar ini tenang dituduh acah jadi MK K-Clique, ada nampak macam try hard ke? - “Memang muka macam ni, saya buat natural saja”

ARTIKEL BERKAITAN: Pelukis luah hasrat jadikan Neelofa pemilik lukisan Kaabah ini - “Ada perasaan istimewa bila hasilkan lukisan tu...”

Menurut Khadijah, 25, dia juga terharu apabila penyanyi kacak kesayangan ramai itu memberi reaksi terhadap lukisan yang dikongsikannya menerusi Instagram dan TikTok.

Lebih manis, dia mendedahkan MK turut menghantar mesej menerusi Instagram, bertanya untuk membeli lukisan tersebut.

"Potret wajah MK dihasilkan untuk koleksi persendirian saya. Saya memang meminati MK serta lagu-lagunya. Potret ini disiapkan dalam masa tiga hari, dibuat di atas kertas bersaiz A3.

"Bila MK repost lukisan itu di Instagram, saya rasa blushing. MK juga ada hantar direct message (DM) kepada saya, dia kata nak beli lukisan itu. Dia baru tanya, belum confirm lagi," ujar Khadijah.

khadijah5

MK berkongsi hasil karya Khadijah menerusi Instagram Story.

Tambah Khadijah, pengikutnya di media sosial turut bertambah selepas video potret wajah MK tular di aplikasi TikTok miliknya.

Dalam pada itu, ramai netizen turut meninggalkan komen, meminta Khadijah menghasilkan lukisan wajah aktres Thailand, Tangmo Nida yang maut selepas dipercayai akibat terjatuh di Sungai Chao Phraya pada 24 Februari lalu.

Saya awal-awal dulu pun ada orang kritik. Orang kata, wajah sebenar tak sama dengan lukisan yang saya hasilkan.

KHADIJAH

"Saya juga memasang impian untuk buat potret wajah artis Malaysia yang lain. Di TikTok, ada juga yang cadangkan saya buat potret wajah Tangmo Nida.

"InsyaAllah saya akan buat dalam masa terdekat kalau ada kelapangan waktu," ujarnya yang mula bekerja sebagai pelukis sejak tahun 2017.

Bercerita mengenai dirinya, Khadijah akui mula berminat dalam cabang seni itu sejak kecil lagi.

Malah, dia turut menyebut siri kartun Jepun, Dragon Ball sebagai inspirasi utamanya dalam perjalanan seni.

khadijah2

Khadijah kini bekerja sebagai pelukis sepenuh masa.

"Saya minat melukis sejak kecil lagi. Masa tu suka tengok kartun Dragon Ball. Jadi saya pun ikut sama suka lukis kartun, ia jadi hobi.

"Ketika tingkatan enam, saya juga ambil subjek Seni. Pernah juga masuk pertandingan melukis dan dapat nombor tiga," ujarnya.

Menjadikan ia sebagai kerjaya sepenuh masa, Khadijah bersyukur apabila dia turut menerima permintaan pelanggan dari luar Sabah.

khadijah4

Antara potret yang pernah dihasilkan Khadijah.

"Harga ikut saiz kertas dengan jumlah muka orang. Contohnya, kalau satu muka dan dibuat di atas kertas A4, harga upah RM135 termasuk frame dan postage.

"Alhamdulillah, dalam sebulan saya jual tujuh ke 10 potret. Satu potret biasanya ambil masa dua ke tiga hari untuk disiapkan. Pernah juga tak tidur malam demi siapkan potret.

"Cabaran utama, ia bergantung kepada mood. Kalau mood tak baik, maka tak menjadi lukisan tu. Nak lukis details pada wajah juga sangat susah," ujarnya lagi.

Akhir kata, Khadijah turut menitipkan pesan kepada mana-mana pelukis muda di luar sana agar terus yakin dengan bakat yang dimiliki.

khadija2

Khadijah merupakan peminat MK.

"Percaya pada diri dan kebolehan yang kita ada. Kalau bukan kita yang push diri sendiri, siapa lagi? Kebolehan mesti ditonjolkan.

"Saya awal-awal dulu pun ada orang kritik. Orang kata, wajah sebenar tak sama dengan lukisan yang saya hasilkan. Komen-komen itu beri semangat untuk saya belajar.

"Melalui kritikan, ia buatkan kita jadi lebih matang dan bagus dan perbaiki diri, cuba hasilkan yang lebih baik berbanding sebelumnya," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain