KETIKA isu amukan di kedai serbaneka 7Eleven hampir reda, nama Kak Long atau Wan Nor Baizura sekali lagi menjadi perbualan gara-gara kehadirannya ke stesen TV Al Hijrah pada Isnin. Ketika dihubungi mStar, wanita dari Terengganu yang berusia 34 tahun itu mendedahkan sudah berada di ibu negara sejak Ahad bagi memenuhi jemputan berkenaan. Jelas Kak Long, dia peka dengan kecaman berterusan yang dilemparkan netizen terhadap dirinya, pihak produksi serta Pencetus Ummah (PU) Amin selaku pengacara rancangan, namun berharap ia dihentikan segera. ARTIKEL BERKAITAN: Kak Long akhirnya akui tak pandai didik anak, sedang ikhtiar bawa Adam jumpa ustaz... bukan kejar wang tapi mahu didikan agama ARTIKEL BERKAITAN: Kak Long makin ‘famous’, siap keluar TV! Netizen tak puas hati PU Amin jemput jadi tetamu "Kak Long dah sampai sini pada hari Ahad... datang dengan suami, anak-anak, anak saudara dan mak. Datang untuk rakaman program semalam. "Saya terharu bila dijemput. Sebelum ini, saya dah rasa kecewa dengan kecaman berterusan, saya fikir rezeki saya akan tersekat. Tapi, Allah uji saya macam ni pun, rezeki tak putus. "Sudah-sudah kecam saya, TV Al Hijrah dan PU Amin. Saya mohon netizen hentikan kecaman terhadap TV Al Hijrah dan PU Amin. Saya nak hidup bebas. Kes dengan 7Eleven pun dah berakhir," ujar Kak Long. Kak Long sekeluarga berada di ibu negara sejak Ahad. Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, dia juga berharap namanya akan sepi daripada sebarang kecaman memandangkan bulan suci Ramadan bakal membuka tirainya tidak lama lagi. "Tak lama lagi dah nak puasa. Saya tak nak baca kecaman bila dah dekat nak puasa. Saya nak jalani hidup normal. Saya kena berniaga dan teruskan hidup dengan suami serta anak-anak. Kesian anak-anak saya. Masuk TV pun orang kecam lagi. Mestilah pihak mereka dah selidik dulu sebelum panggil Kak Long. KAMSAH HAIZAM IBU KAK LONG "Sejujurnya saya dah penat. Saya banyak kerja lagi nak buat. Kita ni orang Islam. Saya risau orang yang benci saya, suatu hari nanti mereka jadi sayang pula kepada saya," ujar Kak Long lagi. Sementara itu, ibu Kak Long yang dikenali sebagai Kamsah Haizam, 54, turut menyeru netizen agar berhenti mengecam anaknya memandangkan kekecohan yang berlaku sudah lama selesai. Menurut peniaga pasar yang juga ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia faham situasi yang dihadapi Kak Long dan berharap ia reda dengan segera. PU Amin (kanan) selaku pengacara program turut dikecam netizen. "Nak kata sedih, makcik tak sedih. Tapi Kak Long ni dia jenis tak pandai simpan benda-benda yang berlaku. Kalau ada masalah, dia akan terus selesaikan. Bila simpan, dia akan sakit kepala, sebab itu dia luah. "Makcik faham perasaan dia. Dia ibu, makcik pun ibu. Makcik sendiri pun dapat banyak mesej lepas video Kak Long viral. Hal dah selesai, kenapa nak kecam? "Makcik buka Facebook, nampak macam-macam cerita Kak Long. Ada juga orang yang kami kenal pun ikut mengecam termasuklah jiran dan kawan-kawan. Jadi makcik slide laju-laju Facebook tu. "Masing-masing ada keluarga. Begitu juga Kak Long. Kesian, banyak benda dia nak kena uruskan. Tak apalah, makcik nak ucap terima kasih kepada sesiapa yang memahami. Yang kecam tu, selagi ada tangan dan mulut, biarlah mereka. Rezeki Kak Long mencurah-curah," ujarnya. Kak Long bersama anak-anaknya. Menurut Kamsiah lagi, dia juga beranggapan tidak salah anak sulungnya itu dijemput untuk muncul dalam rancangan TV. "Masuk TV pun orang kecam lagi. Mestilah pihak mereka dah selidik dulu sebelum panggil Kak Long. Itu rezeki dia. Kak Long pun nak betulkan keadaan, dia pun ada masa depan. "Makcik tahu Kak Long berbakat. Makcik doakan agar dia dapat mengharumkan nama negara suatu hari nanti," ujarnya mengakhiri bicara. Untuk rekod, nama Kak Long panas baru-baru ini apabila tular video amukannya di kedai 7Eleven dan restoran makanan segera KFC. Biarpun sudah berulang kali memohon maaf dengan linangan air mata, sebilangan netizen masih tidak berhenti mengecam sehingga mengganggu emosi Kak Long sekeluarga. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI