suria

Baru seminggu masuk darjah satu, anak balik sekolah menangis teresak-esak... rupa-rupanya ada kisah sedih di sebalik baki duit belanja RM3

Tangkap layar video anak Elly menangis selepas dijemput dari sekolah.

LULUH hati melihat seorang anak kecil yang masih berpakaian seragam sekolah menangis tersedu-sedu.

Begitulah yang terjadi pada seorang kanak-kanak perempuan yang baru seminggu memulakan sesi persekolahan 2022/2023.

Bercakap kepada mStar, ibu kepada kanak-kanak itu, Hasnoor Hashim berkata, insiden berlaku selepas dia dan suami menjemput anak perempuan mereka berusia tujuh tahun pulang dari sekolah rendah, pada Ahad petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada sebab murid ini tiada buku latihan, kisah anak penjual ulam bikin ramai sayu... tindakan guru selepas itu memang tak dijangka

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar sanggup tak makan KFC ketika jamuan, alasannya buat warden asrama nak menitik air mata

Wanita berusia 27 tahun itu memberitahu, anaknya sebelum ini tidak pernah menangis sejak memasuki sekolah rendah bagi tahap satu.

"Sejak hari pertama sekolah, saya dan suami beri anak RM5 untuk duit belanja. Anak biasanya belanja RM2 untuk beli makanan sebab bawa bekal minuman dari rumah.

"Manakala RM3 lagi anak buat simpanan jika tak dibelanjakan. Tapi ayah dia pula kebetulan tak ada duit kecil hari ni (Ahad) jadi beri RM10.

"Masa balik dari sekolah dalam kereta, anak hulur baki RM3 pada ayah dia. Bila ayah dia tanya secara baik mana baki lagi RM5, terus dia menangis," katanya ketika dihubungi.

anak menangis sedekah 4

Seorang anak yang mudah tersentuh dengan kesusahan orang lain.

Lebih mesra disapa Elly, dia bagaimanapun menegaskan bahawa anak sulung daripada tiga beradik itu bukan menangis disebabkan pertanyaan suaminya mengenai duit belanja sekolah.

"Masa tu saya dan suami risau anak kena buli di sekolah ke? Tapi bukan, anak sebenarnya menangis bila dia bercerita tentang seorang rakan sekelasnya yang susah.

"Anak cakap masa semua murid tengah makan dalam kelas semasa waktu rehat, ada seorang murid tak makan dan hanya pandang je kawan-kawan lain makan.

"Lepas anak beri RM5 kat kawan tu, barulah budak dapat makan sama-sama dengan kawan-kawan yang lain," ujarnya yang berasal dari Dungun, Terengganu.

anak menangis sedekah 3

Elly akui sebak dan terharu dengan tindakan anaknya membantu rakan sekelas.

Menurut Elly, anaknya memaklumkan bahawa rakannya itu kelihatan seperti orang susah kerana tidak membawa duit belanja dan menggunakan beg sekolah lama.

"Paling sebak dan terharu bila anak cakap dia cuma belanja makan RM2, tapi dia beri RM5 kat kawan dia. Saya ada tanya kenapa beri RM5? Jawapan anak buat saya tambah sebak.

Saya selalu berpesan kepada anak-anak supaya berkongsi rezeki. Kalau ada duit RM2, bagi RM1 untuk orang yang susah, kalau bukan kita yang bantu, siapa lagi.

ELLY

"Anak jawab dia kasihan kat kawan dia. Mana tahu kalau kawan dia memang susah, jadi masih ada baki duit belanja untuk digunakan pada hari lain.

"Anak saya ni mudah kasihankan orang. Walaupun dia boleh berdikari di usia mudanya, tapi dia juga mudah tersentuh," tambahnya mengenai anaknya lebih dikenali sebagai Sofia atau Pia yang mempunyai hobi melukis dan mewarna.

anak menangis sedekah 2

Elly (kiri) sentiasa mengingatkan anak-anak mengenai kesusahan yang pernah dialaminya.

Penjelasan tersebut ternyata mengundang sebak jurusolek (MUA) itu kerana mengingatkan mengenai kesusahan sendiri ketika usia sebaya anaknya.

"Saya dulu juga hidup susah, mak kerja sambilan di kedai makan dan ayah bertugas sebagai pemandu lori. Walaupun masa tu harga makanan dan minuman di sekolah lebih murah berbanding sekarang, saya hanya bawa duit paling banyak 30 sen ke sekolah.

"Duit 30 sen tu cukup untuk beli air. Kalau beli makanan, dapatlah beli seketul karipap dan memang tak beli air. Saya akan pergi ke tandas dan minum air paip senyap-senyap," ujarnya.

Walaupun anaknya tidak pernah hidup susah, namun Elly sentiasa bercerita mengenai kisah kesusahannya kepada anak-anak untuk dijadikan sebagai pengajaran.

"Saya selalu berpesan kepada anak-anak supaya berkongsi rezeki. Kalau ada duit RM2, bagi RM1 untuk orang yang susah, kalau bukan kita yang bantu, siapa lagi," katanya.

Video mengenai anaknya yang dikongsi Elly pada Ahad petang meraih lebih 1.4 juta tontonan di aplikasi TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain